Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belajar aromaterapi demi kesejahteraan keluarga

Pengasas pati minyak aromaterapi Suciganic harap dapat wujudkan kumpulan penggemar bagi kongsi kaedah rawatan semula jadi
May 14, 2025 | 5:30 AM
Cik Fadirah fitri jamal, suciganic, essential oil
Cik Fadirah Fitri Jamal, pengasas Suciganic, memulakan perjalanannya ke dalam aromaterapi pada 2013 apabila mencari penawar semula jadi untuk anaknya dan kini beliau telah menghasilkan 30 produk untuk kesejahteraan kesihatan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pengalaman mencari rawatan alternatif yang lebih selamat untuk anak perempuannya menjadi titik tolak buat Cik Fadirah Fitri Jamal menubuhkan jenama aromaterapi tempatan, Suciganic.

Ketika anak tunggalnya yang berusia hampir dua tahun sering diserang demam dan batuk, Cik Fadirah – yang pernah bertugas sebagai guru prasekolah – mula mendalami kaedah rawatan semula jadi setelah doktor menasihatkan agar ubat-ubatan dielakkan kerana usia anaknya yang masih terlalu muda.

“Sebagai ibu bapa baru, apabila anak tidak sihat, memang cemas. Tetapi doktor kata tidak boleh memberi ubat kerana masih terlalu muda. Jadi saya mula mencari alternatif,” kongsi Cik Fadirah, 48 tahun, yang kini melihat anak perempuannya itu membesar sihat pada usia 14 tahun.

Dari detik itulah bermulanya perjalanan Suciganic, yang kini menawarkan lebih 30 produk buatan tangan berasaskan bahan semula jadi dan organik, dan terus mendapat tempat di hati pengguna tempatan.

Pencariannya membawanya kepada dunia aromaterapi, yang pada awalnya hanya dianggap sebagai haruman ruang semata-mata.

Namun selepas mencuba minyak pati tulen (pure grade essential oils) yang diperkenalkan oleh seorang rakan, Cik Fadirah melihat perubahan positif terhadap kesihatan anaknya – batuknya reda, demamnya terkawal dan masalah keresahan ketika ke sekolah juga berkurangan.

Didorong keberkesanan rawatan semula jadi ini, beliau mendalami ilmu aromaterapi melalui kelas-kelas, termasuk yang ditawarkan oleh jenama antarabangsa, Young Living.

Dari situ, timbul ilham untuk menghasilkan produk sendiri — bermula dengan balm atau salap semula jadi untuk batuk dan selesema yang dihadiahkan kepada keluarga dan sahabat.

Pada 2017, Suciganic secara rasmi dilahirkan, membawa misi “kembali ke asas”, iaitu mengutamakan kesihatan melalui pendekatan holistik yang selamat untuk seisi keluarga.

Nama Suciganic itu sendiri adalah gabungan kata “Suci” dan “Organic”, ilham yang hadir selepas solat asar pada suatu petang.

Antara keunikan produk Suciganic adalah pemilihan bahan yang teliti – minyak pati tulen diekstrak menggunakan kaedah penyulingan wap, minyak kelapa tanpa bau yang membantu mengekalkan kualiti bau serta lilin lebah semula jadi yang digunakan sebagai agen pengeras balm.

“Kalau kita biasa dengan bau lavender komersial, bau minyak pati tulen agak berbeza. Ia bau sebenar tumbuhan, bukan bau tiruan yang dibuat di makmal,” jelas Cik Fadirah.

Namun, perjalanan ini tidak tanpa cabaran.

“Produk kami melalui banyak proses R&D (Penyelidikan & Pengembangan). Saya pastikan bukan sahaja berkesan, tetapi bau juga mesti sedap dan menyenangkan,” katanya sambil ketawa kecil.

Setiap formulasi baru dicuba oleh dirinya sendiri dan juga rangkaian pengedar setianya sebelum dipasarkan.

Kini, koleksi Suciganic merangkumi pelbagai jenis balm dan minyak sapuan roll-on untuk pelbagai tujuan – daripada balm batuk dan balm perut untuk bayi, hingga campuran khusus untuk masalah migrain dan vertigo.

Salah satu kegemaran peribadi Cik Fadirah ialah campuran untuk migrain, memandangkan beliau sendiri pernah menderita sakit kepala kronik.

Dari segi harga, produk Suciganic mempunyai harga purata sekitar $20.

Sebagai panduan buat para pembaca, Cik Fadirah turut berkongsi beberapa tip penggunaan minyak pati:

Lavender: Sesuai untuk membantu tidur dan mengurangkan keresahan.

Peppermint: Berkesan melegakan sakit kepala dan loya.

Eucalyptus: Baik untuk masalah pernafasan seperti batuk dan selesema.

Lemon: Meningkatkan mood dan membantu tumpuan.

Walaupun Suciganic, yang pernah mempunyai ruang fizikal kedai tetapi kini beroperasi dari rumah dengan pelanggannya boleh membuat tempahan secara dalam talian, Cik Fadirah memastikan setiap produk dihasilkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menjaga kualiti dan keselamatan.

“Saya sendiri yang membuat setiap produk sekarang. Ini penting bagi saya, kerana saya mahu pastikan setiap satu memenuhi standard Suciganic,” katanya.

Beliau juga sering mencari peluang menyertai reruai dalam acara-acara kemasyarakatan dan keluarga di serata Singapura demi mendekati pelanggannya.

“Ramai datang mengucapkan terima kasih kerana produk kami membantu anak mereka tidur lena, melegakan batuk atau menghilangkan pening. Itulah yang menguatkan semangat saya untuk teruskan,” katanya penuh syukur.

Impian beliau?

Mewujudkan satu komuniti mesra untuk sesiapa sahaja – sama ada yang baru ingin mencuba atau yang sudah biasa – agar dapat belajar, berkongsi dan mendalami kaedah rawatan semula jadi dalam suasana santai.

“Bukan semata-mata untuk jualan,” jelasnya. “Tetapi untuk berkongsi, minum teh bersama, berbual, dan faham apa yang sesuai untuk anda.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg