Hari Ibu kerap diraikan dengan bunga segar, ucapan manis, dan pelbagai penghormatan buat wanita bergelar ibu.
Namun, di balik kemeriahan itu, ada sebahagian kaum ibu yang kekuatan mereka wajar diketengahkan iaitu ibu kepada anak-anak istimewa.
Saya sendiri mengenali saudara yang dianugerahkan tiga anak, kesemuanya dalam spektrum autisme.
Ada pula sahabat yang saban hari membesarkan anak dengan sindrom Down dan spastik.
Mereka ini, di mata kita, tampak kuat dan tabah, sentiasa mengukir senyuman.
Tetapi hanya Allah swt yang benar-benar tahu pergolakan jiwa dan kelelahan tubuh yang mereka tanggung setiap detik.
Mereka bukan sahaja berdepan dengan tugas keibuan yang biasa, malah digandakan dengan cabaran fizikal, mental, dan emosi yang tidak pernah selesai.
Dari malam-malam tanpa tidur kerana anak sukar lelap, ke pagi-pagi yang bermula dengan sesi terapi dan rawatan.
Ada di antara mereka yang terpaksa mengorbankan kerjaya, masa peribadi, bahkan impian sendiri demi memastikan anak mereka mendapat peluang terbaik untuk berkembang mengikut kemampuan unik mereka.
Namun, dalam keheningan perjuangan itu, tersembunyi kekuatan luar biasa.
Kasih mereka tidak bersyarat, tidak mengharap balasan.
Mereka belajar pelbagai ilmu baru demi anak – terapi pertuturan, teknik pengurusan tingkah laku, malah kadang-kadang menjadi pakar dalam bidang yang sebelum ini asing bagi mereka.
Cinta mereka bukan diukur sejauh manakah anak boleh ‘berjaya’ menurut kaca mata dunia, tetapi sejauh manakah anak boleh hidup bahagia dalam dunianya sendiri.
Di sekeliling kita sebenarnya wujud ramai ibu hebat yang secara senyap membina komuniti sokongan agar tiada ibu lain yang berasa keseorangan.
Ada yang lantang berkongsi kisah, memecahkan stigma dan membuka mata masyarakat tentang realiti dunia anak istimewa.
Ada pula yang menjadi suara buat mereka yang tidak mampu bersuara, memperjuangkan hak pendidikan, rawatan, dan peluang hidup yang lebih adil demi semua anak-anak istimewa.
Kita sebagai masyarakat wajar membuka hati dan minda.
Usah cepat menghakimi apabila terlihat anak ‘mengamuk’ di tempat awam – mungkin itu anak autisme, dan si ibu telah seminggu tidak tidur lena.
Hulurkan bantuan walau sekecil senyuman atau kata-kata semangat, kerana ia mampu menjadi cahaya pada hari-hari mereka yang suram.
Didik anak-anak kita agar belajar menghormati dan memahami rakan yang berbeza upaya, supaya dunia esok lebih bersifat terangkum dan penyayang.
Firman Allah swt yang menjadi penenang buat hati kaum ibu ini: “Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu... Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, 2:155).
Janji Allah swt ini menjadi penguat semangat buat mereka yang terus berjalan dalam ujian panjang ini, saban hari, saban tahun.
Pada Hari Ibu yang jatuh pada 11 Mei 2025, marilah kita menzahirkan penghormatan sebenar kepada ibu anak istimewa – yang di sebalik wajah yang tenang, menyimpan lautan kesabaran yang tidak terungkap.
Merekalah wira yang membentuk sebuah masyarakat yang lebih berempati, lebih manusiawi.
Semoga kasih tanpa syarat dan perjuangan senyap mereka mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah swt, dan pengiktirafan sewajarnya di sisi kita – masyarakat yang mereka harapkan agar lebih memahami.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg