Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beli barang jenama daripada pembekal China di TikTok: Realiti atau risiko?

Jun 18, 2025 | 5:30 AM
The Shoppes,  Marina Bay Sands
Orang ramai membeli-belah di kedai mewah di The Shoppes di Marina Bay Sands, 5 Mac 2025 (gambar hiasan). - Foto ST

Baru-baru ini, industri fesyen dikejutkan dengan gelombang video TikTok dari China yang mendedahkan ‘rahsia’ di sebalik jenama mewah terkenal.

Ia sebagai susulan berhubung tarif 145 peratus oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, terhadap China.

Video tular itu memaparkan individu yang mendakwa sebagai pekerja kilang, pemilik jenama, dan ejen sumber dari China, yang juga merupakan pengeluar di sebalik jenama mewah terkemuka Eropah.

Mereka mendakwa merupakan pengeluar sebenar di sebalik jenama mewah Eropah seperti Hermès, Chanel, dan Louis Vuitton.

Di samping itu, mereka turut mendedahkan alamat kilang yang dikatakan membekalkan produk kepada jenama seperti Lululemon, Birkenstock, dan Zara.

Salah satu video yang kini dipadam, daripada akaun Sen Bags, menunjukkan kos sebenar pembuatan beg Hermès Birkin – hanya AS$1,400 ($1,801), kurang satu persepuluh harga runcit, lapor akhbar The Straits Times.

Namun apakah produk itu asli?

Jawapan ringkasnya: Tidak. Walaupun mungkin ada jenama mewah yang mengeluarkan sebahagian produk mereka di China, pengeluar rasmi pasti terikat dengan perjanjian menyimpan rahsia yang ketat.

Mereka tidak boleh menjual produk secara langsung kepada pengguna atau mendedahkan maklumat pengeluaran.

Apa yang mungkin berlaku ialah ini merupakan sebahagian rangkaian produk tiruan bermutu tinggi, atau superfake.

Pasaran barang tiruan sejagat dianggar mencecah AS$1.79 trilion menjelang 2030, dengan permintaan semakin meningkat ekoran harga produk asal yang melambung tinggi.

Mutu Produk Buatan China yang Mengejutkan

Satu perkara positif yang terbit daripada tengkarah itu ialah pengiktirafan terhadap mutu pembuatan di China.

Video tular tersebut menunjukkan kilang yang bersih, moden, dan teratur – jauh dari stereotaip ‘kilang kotor’ yang sering digambarkan.

Bagi pengguna yang biasa membeli di wadah e-dagang, Taobao atau Shopee, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Banyak jenama tempatan turut mendapatkan produk dari Guangzhou, pusat pengilangan fesyen terkenal.

Tanda Mewah: Nilai atau Hanya Logo?

Isu ini mencetus persoalan: Apakah sebenarnya yang menentukan nilai sesebuah produk mewah?

- Adakah ia bahan dan mutu pembuatan?

- Adakah lokasi pengeluaran?

- Atau sekadar logo dan status yang dibayar?

Ramai pengguna kini lebih terbuka membeli barang tiruan bermutu tinggi kerana harga produk asal dianggap tidak berpatutan.

Namun, bagi mereka yang menghargai sejarah, reputasi, dan nilai jenama, produk dari China – walau bermutu – tidak akan dapat menggantikan yang asli.

Risiko Beli dari TikTok

Walaupun tawaran harga langsung dari kilang kelihatan menarik, pengguna perlu berhati-hati dengan:

1. Penipuan – Akaun boleh hilang selepas wang dihantar.

2. Mutu tidak tekal – Tidak semua ‘superfake’ sempurna.

3. Isu hak cipta – Membeli barang tiruan masih menyokong pasaran haram.

Jika anda mahu barang mewah untuk status atau nilai jenama, belilah dari butik rasmi.

Tetapi jika anda hanya mahukan rekaan yang serupa dengan harga berpatutan, pastikan anda membuat kajian dan sedar risiko yang mungkin dihadapi.

Akhirnya, pilihan di tangan anda – tetapi jangan tertipu dengan dakwaan ‘kilang rasmi’ di TikTok tanpa bukti kukuh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg