Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu, anak juang julang warisan kuih Melayu

Pengasas Santan by Auntie Bedah gigih tarik minat generasi muda pada kuih lama, beri sentuhan cita rasa terkini
Jun 18, 2025 | 5:30 AM
 Siti Nadirah Hassan, Cik Zubaidah Abdul Jalal,  Santan By Auntie Bedah
Pengasas, Santan by Auntie Bedah, Cik Siti Nadirah Hassan (kiri), bersama ibunya, Cik Zubaidah Abdul Jalal, yang banyak menurunkan ilmu membuat kuih tradisional Melayu yang digemari sehingga hari ini. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Di zaman generasi muda lebih mudah tertarik kepada manisan dari luar negara seperti boba, kroisan, pankek sufle dan kek Korea, kuih tradisional Melayu seperti gandus, kaswi dan nagasari seakan-akan kian dilupakan.

Namun, hasil usaha gigih insan seperti Cik Siti Nadirah Hassan, warisan itu bukan sahaja dihidupkan semula, malah mencipta peminat baru yang tidak menyangka betapa indah dan uniknya rasa kuih warisan nenek moyang kita.

Bagi Cik Siti Nadirah, 37 tahun, pengasas jenama Santan by Auntie Bedah, memperkenalkan semula kuih tradisional kepada generasi kini menjadi misi peribadinya.

Misi itu berakar daripada kasih terhadap ibunya, Cik Zubaidah Abdul Jalil, atau lebih mesra dikenali sebagai Auntie Bedah, 66 tahun, dan kenangan zaman kanak-kanaknya di dapur keluarga.

“Dulu saya tak minat pun nak buat kuih. Tapi bila kawan-kawan keluar hujung minggu, saya pula kena tolong ibu bakar kuih lapis, kuih kole-kole dan buat tahi minyak.

“Tapi itulah ilmu yang paling mahal. Sekarang, saya hargainya,” ujar Cik Siti Nadirah, anak kedua dalam tiga orang beradik.

Dari Jualan Rumah ke Jenama Profesional

Perniagaan itu bermula lebih 30 tahun dahulu di Bukit Batok, apabila ibu beliau mula menjual kuih dengan menghantarnya sebagai dalal ke kedai kejiranan.

Cik Zubaidah juga mengajar kelas membakar secara kecil-kecilan.

Selepas terhenti selama 10 tahun disebabkan kekangan tenaga kerja, perniagaan itu dihidupkan semula oleh Cik Siti Nadirah pada 2016 – yang ketika itu baru sahaja melahirkan anak pertamanya.

“Suami dan kakak saya beri galakan. Katanya, ramai pelanggan lama ibu masih tertanya-tanya kalau Auntie Bedah masih buat kuih.

“Jadi saya cuba ambil pesanan kecil-kecilan, dan dari situ, ia berkembang,” singkap Cik Siti Nadirah.

Suaminya, Encik Rozaimi Abdul Rahman, turut membantu membangunkan perniagaan itu, sebagai pembakar kuih dan juga pemandu.

Cik Siti Nadirah memilih untuk tidak hanya menghidupkan semula resipi lama, malah memberi nafas baru agar lebih terkait dengan cita rasa semasa.

Kuihnya kini lebih lemak, kurang manis dan lembut – satu penyesuaian yang dibuat berdasar cita rasa dirinya sendiri dan maklum balas pelanggan.

“Kuih lama memang sedap, tapi generasi sekarang sukakan tekstur yang lembut dan kurang manis. Saya tambah santan, telur – dan hasilnya lebih berkrim.

“Kami juga mainkan persembahan. Kuih kami dibungkus cantik-cantik dalam kotak hadiah, bukan lagi dalam stirofoam (bekas makanan polistirena) biasa. Kuih boleh jadi hadiah!”

Jambatan Rasa Antara Generasi

Nama jenama Santan by Auntie Bedah sendiri adalah gabungan dua nilai teras.

Santan sebagai bahan asas utama dalam banyak kuih tradisional, dan Auntie Bedah, sebagai penghormatan kepada ibu dan guru masakannya.

Cik Siti Nadirah juga percaya bahawa untuk menarik minat anak muda, unsur visual amat penting.

“Contohnya, kuih lapis pelangi. Kanak-kanak tertarik sebab warna-warni. Mereka akan cakap, ‘Mommy, I want this!’ (Ibu, saya mahu ini!). Jadi dari situ, mereka mula kenal kuih Melayu.”

Namun bukan hanya generasi muda yang beliau dekati. Pelanggan berusia turut berasa tersentuh apabila dapat menikmati semula kuih yang pernah menjadi kegemaran mereka.

“Ada seorang pelanggan, ayahnya sangat rindukan talam lauk tapi susah nak cari.

“Bila saya hantar, seminggu kemudian dia beritahu ayahnya telah meninggal dunia, tapi dia bersyukur sempat merasa kuih kesukaan tu buat kali terakhir.”

Warisan yang Hidup, Bukan Sekadar Nostalgia

Walaupun dahulu beliau bekerja dalam bidang jualan dan pernah menjadi penyanyi sambilan, jiwa beliau tetap tertarik kepada dunia masakan.

Ilmu masakan diasah sejak kecil, namun untuk bahagian pengurusan dan pemasaran, Cik Siti Nadirah, tidak ragu-ragu untuk belajar semula,

Beliau mula menghadiri kelas memasak dan mengikuti perkembangan media sosial untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Sejauh ini beliau belum mempunyai kedai secara tetap tetapi beliau sering menyertai acara pop-up dan bazar, termasuk bersama syarikat penganjur siri ekspo Celebfest dan Twilight, Adi Media dan di reruai pusat-pusat membeli belah serata Singapura kerana saban tahun pelanggan mencari kuih-muih asli.

Pelanggan juga boleh memesan kuih secara dalam talian setiap hari. Beliau menyiapkan kuih-muihnya di dapur pusat di bangunan perusahaan di kawasan Woodllands.

Beliau percaya pendekatan bersemuka itu membantu mewujudkan hubungan istimewa antara penjual dengan pelanggan.

“Kita tahu siapa pelanggan tetap kita. Ada yang mesej awal-awal untuk tempah. Bila mereka datang, kita dapat tanya, ‘Sedap tak kuih semalam?’.

“Itu buat saya rasa dihargai,” tambah beliau.

Harapan Masa Depan

Sebagai ibu kepada dua anak, berusia enam dan sembilan tahun, Cik Siti Nadirah, sudah mula menanam minat memasak dalam diri mereka – walaupun salah seorang masih takut pada api dapur.

“Saya nak mereka tahu tentang makanan tradisional kita.

“Kalau tak belajar sekarang, bila lagi? Saya pun dulu tak minat, tapi bila dah besar, saya sedar inilah ilmu yang berharga,” ujarnya.

Bagi Cik Siti Nadirah, cabaran bukan sekadar dalam bentuk persaingan manisan moden atau harga bahan yang kian meningkat, tetapi bagaimana untuk terus menjaga mutu, rasa dan nilai budaya dalam setiap kuih yang dihasilkan.

“Bagi saya, warisan kuih Melayu bukan untuk dipamerkan sahaja, tapi untuk dimakan, dirasai dan dihargai.

“Bila orang makan kuih kami, saya harap mereka bukan saja rasa sedap – tapi rasa ‘balik kampung’.”

Santan by Auntie Bedah bukan sekadar perniagaan – ia adalah usaha murni untuk memastikan rasa, nilai dan semangat kuih tradisional Melayu terus hidup dan dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Dan di tengah-tengah usaha itu, berdiri seorang anak perempuan yang kini menjadi peneraju warisan ibunya – satu santapan jiwa dan rasa buat seluruh masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg