Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang wanita di Pesta Perdana: Jaya dalam pelbagai kerjaya

May 28, 2025 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pesta Perdana ke-18 yang berlangsung pada 24 Mei 2025 sekali lagi mengangkat martabat insan seni tempatan, bukan hanya yang berada di hadapan kamera bahkan juga yang berbakti di sebalik tabir.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang – lelaki dan wanita – yang telah menunjukkan dedikasi luar biasa dalam menghidupkan industri hiburan Melayu di Singapura.

Namun, dalam ruangan ini, saya ingin memberi tumpuan kepada wajah-wajah wanita yang mencuri perhatian saya pada malam anugerah tersebut.

Ada sesuatu yang menyentuh hati apabila melihat dramatis yang dulunya menghiasi kaca televisyen (TV) sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara kini tampil semula – bukan sekadar sebagai nostalgia, bahkan sebagai lambang kecekalan dan kebijaksanaan wanita dalam menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman.

Dahulu, ada tanggapan bahawa kerjaya seni wanita tidak akan bertahan lama.

Populariti dianggap sementara, dan apabila tiba masanya untuk berkeluarga, mereka kononnya akan “mengundur diri”.

Namun, wanita-wanita itu membuktikan sebaliknya. Mereka tidak hanya bertahan, malah kerjaya mereka berkembang.

Contohnya, Norseha Sani, yang pernah mencuit hati penonton sebagai Mummy Ruby, kini adalah seorang ejen hartanah yang berjaya.

Sebelum itu, beliau pernah menjadi pramugari – satu lagi bidang yang menuntut keyakinan dan kebolehan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Nurul Aini Abdul Rahman, yang sering menggondol anugerah Personaliti Wanita Paling Popular, tidak hanya kekal relevan sebagai pelakon, malah turut menyerlah sebagai usahawan dalam dunia maya.

Ketekalannya di media sosial menjadikannya antara figura paling dikenali dan dihormati dalam kalangan peminat.

Begitu juga Nura J, pelakon siri drama, Soldadu, dan pengacara rancangan kanak-kanak, kini mengusahakan salon rambut selain menceburi bidang hartanah.

Beliau melambangkan versatiliti seorang wanita seni yang tidak terikat pada satu peranan sahaja.

Rakan pengacara malam itu, Oniatta Effendi, yang juga pengasas jenama batik moden dan pendidik, menunjukkan bahawa cinta pada seni tidak perlu terhenti pada lakonan.

Ia boleh diterjemahkan dalam bentuk warisan dan pendidikan.

Sharon Ismail, pelakon berkaliber tinggi, pernah menjadi pensyarah di Politeknik Ngee Ann dan kini masih bergiat sebagai pendidik – satu contoh bahawa bakat dan ilmu boleh berjalan seiring.

Huda Ali pula bukan sekadar pengacara dan pelakon. Bersama suaminya, Den Sabari, beliau mengasaskan Laloolalang – syarikat penganjuran acara yang sering membawa konsep unik yang menarik minat generasi muda, terutamanya Gen Z.

Apa yang mengagumkan ialah bagaimana wanita-wanita ini menggunakan pengaruh dan pengalaman mereka untuk mencorak laluan baharu, membangun perniagaan dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Mereka membuktikan bahawa perjalanan seorang wanita dalam dunia seni tidak harus berakhir apabila lampu sorot semakin malap.

Sebaliknya, ia boleh menjadi cahaya yang memandu ke arah pencapaian yang lebih luas.

Kepada kaum wanita dalam industri hiburan – sama ada anda sedang memulakan langkah atau sudah lama berjuang – percayalah bahawa bakat anda bukan sekadar untuk dinikmati di kaca TV. Ia adalah asas untuk membina legasi.

Teruskan berkarya, teruskan bermimpi, dan teruskan memberi inspirasi.

Dunia seni masih memerlukan sentuhan wanita yang berani dan bijaksana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg