Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di tengah 2025 iktiraf usaha, kecapi bahagia

May 21, 2025 | 5:30 AM
hanim mohd saleh
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pejam celik pejam celik, kita sudah hampir sampai ke pertengahan tahun.

Pernahkah kita berhenti sejenak, menarik nafas dalam-dalam dan bertanya kepada diri sendiri: “Apa yang telah aku capai setakat ini?”

Dalam kesibukan rutin harian dan mengejar pelbagai matlamat, kita jarang meluang masa untuk merenung perjalanan kita.

Sedangkan separuh 2025 hampir berlalu.

Sama ada anda telah melangkah jauh atau masih bertatih ke arah impian, yang paling penting adalah untuk terus sedar akan arah tuju hidup kita, dan lebih utama untuk memilih bahagia.

Kewangan

Setiap dolar yang disimpan, setiap hutang yang dikurangkan, atau pelaburan kecil yang dimulakan – semuanya adalah langkah ke arah kestabilan kewangan.

Mungkin anda telah belajar merancang bajet dengan lebih bijak, atau berjaya menabung untuk percutian impian. Apa jua bentuknya, hargai setiap usaha itu.

Kesihatan dan Kesejahteraan

Kesihatan bukan hanya soal fizikal, bahkan juga mental dan emosi.

Jika anda telah mula berjalan lebih kerap, memilih makanan lebih sihat, atau mula menjaga tidur dan emosi, itu adalah kejayaan.

Mungkin anda telah berani mendapatkan bantuan kaunseling atau hanya belajar untuk berkata “tidak” demi kesihatan diri. Semuanya langkah penting ke arah hidup lebih seimbang.

Perkembangan Kerjaya

Adakah anda mengambil kursus baru? Mencuba bidang baru? Atau mungkin anda belajar untuk meletakkan batas dalam kerjaya agar tidak keletihan (burnout)?

Sekecil mana pun pencapaian itu, ia tetap membawa anda ke depan.

Dunia kerja sentiasa berubah dan keupayaan kita untuk menyesuaikan diri adalah satu bentuk kekuatan.

Kemahiran dan Ilmu Baru

Bolehkah anda sebut satu perkara baru yang anda pelajari sejak Januari?

Mungkin anda belajar memasak resipi baru, mengambil kelas dalam talian, atau memahami teknologi yang dulunya menakutkan.

Dalam Islam, menuntut ilmu adalah ibadah. Jadi, teruskan belajar walaupun sedikit, kerana setiap ilmu membuka pintu baru.

Kepentingan Penjagaan Diri

Sering kali kita terlalu sibuk menjaga orang lain sehingga lupa menjaga diri sendiri.

Sudahkah anda mengambil cuti hanya untuk berehat, atau merancang percutian ke tempat yang mendamaikan jiwa?

Jika belum, inilah masa terbaik untuk merancangnya. Jangan tunggu hujung tahun baru mencari ruang. Berilah hadiah kepada diri sendiri sekarang.

Nikmati Perjalanan, Bukan Hanya Destinasi

Hidup ini bukan perlumbaan. Ada hari kita menang, ada hari kita jatuh.

Tetapi setiap detik baik atau buruk membawa hikmah. Seperti dalam Surah Al-Insyirah: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 6)

Belajar untuk senyum dalam ujian, kerana dalamnya ada pelajaran dan kekuatan.

Amalkan Kesyukuran

Cuba setiap malam sebelum tidur, senaraikan tiga perkara yang anda syukuri hari itu.

Ia mungkin sekecil secawan kopi yang menyegarkan, atau pelukan daripada anak yang mendamaikan.

Dengan kesyukuran, hati menjadi lapang dan fikiran lebih tenang.

Separuh tahun sudah berlalu, tetapi masih banyak ruang untuk kita tumbuh dan bernafas.

Jangan terlalu menghakimi diri sendiri. Hargai pencapaian, walau sekecil mana. Raikan detik, walau sependek mana.

Tetapkan matlamat realistik, dan bersabarlah dengan proses.

Luangkan masa untuk hadir dalam detik kini.

Jika rasa penat, rehatlah. Jika belum ke mana-mana pada 2025, rancanglah percutian – bukan untuk lari, tetapi untuk kembali dengan lebih tenang.

Dan dalam saat ini, anda layak untuk rasa cukup dan bahagia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg