Beberapa minggu kebelakangan ini, saya menerima khabar pemergian beberapa kenalan.
Antara mereka, seorang wanita yang pernah saya kenali dari jauh… seorang yang lembut tutur katanya, namun menyimpan derita yang dalam.
Bertahun-tahun beliau bergelut dengan kemurungan selepas perceraian yang pahit bersama suami yang bersikap kasar.
Saya masih ingat, walau bibirnya tersenyum, matanya menyimpan seribu kisah yang tidak terucap.
Kini beliau telah tiada, dan dalam diam, saya merenung semula: Berapa ramai antara kita yang sebenarnya hidup tapi belum benar-benar sembuh?
Kita sering diajar bahawa semakin banyak kita memberi, semakin baik hati kita, dan semakin berguna kita kepada masyarakat.
Namun, saya sedar ia datang dengan satu prasyarat: Kita mesti bersedia, dari segi minda, tubuh dan jiwa.
Tiada siapa benar-benar mengajar kita bagaimana untuk bersedia.
Tiada siapa yang akan beritahu bahawa untuk benar-benar memberi dengan ikhlas, kita harus terlebih dahulu memiliki ruang dalam diri yang tenang dan sembuh.
Selama ini, saya menganggap “menjaga diri” bermaksud bekerja keras, menabung untuk masa depan, menjadi Muslim yang baik, mempunyai rumah sendiri, membesarkan anak dengan sempurna.
Semua itu penting… tetapi saya akhirnya belajar kejayaan yang ditakrifkan oleh masyarakat hanyalah ilusi kebahagiaan.
Di sebalik senarai pencapaian itu, ada ramai yang keletihan, kosong, dan masih mencari erti ketenangan.
Untuk benar-benar sembuh, kita perlu melepaskan.
Melepaskan bukan bererti melupakan, tetapi menerima bahawa kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku.
Kadangkala, kita begitu mudah mencari siapa yang patut dipersalahkan atas penderitaan kita – bekas pasangan, ibu bapa, rakan, bahkan takdir.
Tetapi selagi jari masih menuding keluar, kita tidak akan menoleh ke dalam.
Penyembuhan bermula apabila kita berani bertanya, “Apa yang boleh aku ubah dalam diri?”
Mereka yang terluka sering menjadi terlalu peka terhadap kekurangan orang lain.
Ia cara tubuh dan jiwa bertahan – untuk tidak disakiti lagi.
Namun, lama-kelamaan, ia menjarakkan kita daripada kasih sayang dan persahabatan sejati.
Ada waktunya, kita terlalu takut disakiti hingga kita membina tembok tinggi di sekeliling hati.
Kita menolak kasih, kita menolak peluang, dengan alasan “aku tak mahu kecewa lagi”.
Tapi bagaimana mahu sembuh jika kita tak izinkan cahaya baru masuk?
Kemarahan, kesedihan, rasa tidak cukup baik… semua itu seperti racun yang perlahan.
Menyembuh bukan sekadar menahan air mata, tetapi membenarkan diri menangis, marah, dan akhirnya... melepaskan.
Kadangkala, kita terlalu keras terhadap diri sendiri.
Kita fikir kita sepatutnya sudah move on, sudah berjaya, sudah kuat.
Tetapi hakikatnya, penyembuhan tidak datang dengan tarikh akhir.
Ia perjalanan dan setiap langkah, sekecil apa pun, tetap bererti.
Dunia akan sentiasa berbunyi. Ada yang menghakimi, ada yang memuji, ada yang tidak faham langsung.
Tetapi penyembuhan sejati bermula apabila kita tidak lagi hidup untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa.
Ramai antara kita menolak kebahagiaan tanpa sedar.
Kita rasa kita tidak cukup baik, tidak cukup cantik, tidak cukup berjaya.
Tetapi kebahagiaan tidak menuntut kesempurnaan.
Ia hadir apabila kita menerima diri, dengan segala luka dan kekurangannya.
Saya belajar penjagaan diri sebenar bukan tentang memanjakan diri, tetapi tentang menghormati diri.
Ia bukan sekadar tentang cuti, spa, atau rehat panjang.
Ia tentang mengenali had, menetapkan sempadan, dan berani berkata “tidak” kepada perkara yang menyakiti jiwa.
Kadangkala, penyembuhan juga memerlukan bantuan – daripada pakar, kaunselor, atau karyawan kesihatan.
Tidak ada salahnya meminta pertolongan. Ia bukan tanda lemah, tetapi tanda berani.
Akhirnya, untuk sembuh, kita perlu berani memaafkan, bukan kerana orang lain layak, tetapi kerana kita layak untuk damai.
Dan dalam perjalanan ini, jangan lupa untuk memaafkan diri sendiri.
Kerana kadangkala, penyembuhan bukan tentang menjadi seperti dulu, tetapi tentang menjadi seseorang yang baru, yang akhirnya belajar untuk mencintai diri, tanpa syarat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg