Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis kahwin sehari, hutang bertahun

Oct 15, 2025 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita MInggu
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita MInggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beberapa minggu lalu, seorang rakan mengeluh. Bukan tentang menantu, tetapi tentang pinjaman peribadi.

Anaknya yang baru bertunang ingin meminjam $15,000 daripada bank untuk majlis perkahwinan dengan 200 tetamu.

“Belum kahwin, dah nak berhutang,” katanya dengan nada gusar.

Lebih merisaukan, anaknya dan bakal menantu juga sedang menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO), yang bermakna pinjaman untuk rumah dan ubah elok rumah pula menanti di hadapan.

“Saya bukan nak halang majlis besar, tapi biarlah bijak berbelanja,” tambahnya.

Senario ini semakin biasa… pasangan muda yang baru melangkah ke alam rumah tangga, tetapi sudah menggali lubang kewangan sebelum sempat menyambut ulang tahun pertama perkahwinan.

Dulu, mengundang seluruh kampung adalah adat. Tidak menjemput saudara jauh pun boleh jadi isu kecil yang besar. Tapi zaman sudah berubah.

Selepas pandemik, ramai yang belajar bahawa majlis kecil bukan dosa sosial.

Namun, peliknya, bilangan tetamu berkurang, tapi kos tidak pula menyusut.

Kini, kadar sewa dewan dan katering boleh mencecah antara $45 dengan $100 bagi seorang tetamu yang hadir.

Majlis ‘sederhana’ pun boleh menelan belanja $20,000. Itu belum termasuk busana, fotografi dan hantaran yang “harus nampak gah untuk Instagram”.

Ada juga pasangan yang lebih rasional, memilih kenduri sederhana di rumah, dengan menu buatan keluarga sendiri.

Tiada pelamin lima tingkat, tiada lampu berkelip seperti konsert, tetapi bahagia tetap sama.

Yang sering dilupakan, selepas majlis berakhir dan bunga tangan layu, realiti mula menggigit.

Rumah idaman memerlukan kerja ubah elok, bil api air datang tanpa henti dan tak lama kemudian, mungkin ada “orang kecil” pula yang perlu disiapkan bajetnya.

Jika semua itu dibiayai dengan hutang, maka bulan madu boleh cepat bertukar menjadi bulan sendu.

Lebih membimbangkan, ramai pasangan muda tiada simpanan kecemasan walau untuk tempoh tiga bulan.

Pinjaman peribadi atau kad kredit sering dianggap jalan mudah, tetapi sebenarnya seperti gula dalam diet kewangan… manis pada awalnya, tapi lama-lama boleh memudaratkan.

Bayaran minimum hanya menampung faedah, dan jumlah hutang terus ‘membiak’ tanpa disedari.

Tekanan sosial untuk “nampak mampu” sering menjadi punca.

Sedangkan asas sebenar perkahwinan bukan pada pelamin megah, tapi pada keupayaan membina kehidupan bersama dengan tenang, bebas daripada tekanan hutang yang boleh mencetuskan pertengkaran dan tekanan.

Justeru, ibu bapa juga perlu memainkan peranan. Jangan desak anak-anak untuk adakan majlis besar demi menjaga nama.

Sebaliknya, galakkan mereka menyimpan dari muda, merancang bersama pasangan, dan menilai keutamaan hidup dengan realistik.

Kerana pada akhirnya, lebih baik mempunyai rumah yang selesa dan hati yang tenang, daripada pelamin indah tapi dompet sengsara.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg