Makanan bukan hanya penentu kesihatan harian, malah turut menjadi kekuatan semasa melahirkan anak.
Kesedaran itu timbul daripada pengalaman sendiri dan ia menjadi pencetus kepada dua sepupu – Cik Nuraidah Abdul Rauf dan Cik Zakiah Asmawi – untuk memulakan perniagaan makanan bersama.
Mereka percaya pengambilan makanan berkhasiat bukan sahaja penting untuk wanita hamil, malah ia dipercayai dapat memberi kekuatan kepada wanita untuk melalui proses kelahiran dengan lebih yakin di samping mempercepat pemulihan selepas bersalin.
Dengan kepercayaan itu, lahirlah kafe Limaa, yang kini beroperasi di Golden Landmark.
Diasaskan pada 2017 kafe itu bukan sekadar tempat makan, bahkan ia lambang perjuangan, kasih sayang, dan misi untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap makanan sihat.
“Kami dibesarkan dalam keluarga yang suka berniaga, walaupun secara kecil-kecilan seperti mengendalikan gerai di kantin sekolah dan jual kuih-muih Melayu.
“Tetapi apabila kami mulakan perniagaan, pendekatannya berbeza dengan apa yang orang tua kami pernah lakukan… kami memikirkan tentang kesihatan,” kongsi Cik Nuraidah, 41 tahun, yang turut mesra disapa Aidah.
Ibu dua anak berusia sembilan dan 12 tahun itu pernah menjadi wartawan foto sebelum melangkah ke dunia perniagaan.
Bagi Cik Zakiah, 38 tahun, ibu tiga orang anak berusia antara lima dengan 11 tahun, beliau merupakan bekas jururawat.
Inspirasi awal untuk membuka kafe tersebut datang daripada pengalaman Cik Nuraidah ketika beliau hamil dan melahirkan anak sulung.
Ia disifatkan sebagai pengalaman yang penuh cabaran.
Selepas melalui proses bersalin selama 16 jam, beliau diperkenalkan kepada seorang doula – wanita yang mempunyai kemahiran untuk membantu ibu sewaktu melahirkan anak.
Doula itu mencadangkan agar beliau membuat perubahan gaya hidup seperti mengurangkan gula putih, mengelak bahan pengawet, dan mula minum jus hijau.
Apabila beliau melahirkan anak kedua, ia mengambil masa sejam – tanpa komplikasi serius seperti sebelumnya.
“Saya ubah cara pemakanan saya sepenuhnya. Tiada lagi makanan proses. Itulah titik tolak mengapa kami mulakan Limaa.
“Kami mahu ibu-ibu ada tempat yang menyajikan makanan berkhasiat dan selamat,” tambahnya.
Nama ‘Limaa’ diambil sempena lima menu utama yang dikenalkan di kafe tersebut apabila ia mula-mula beroperasi, sementara tambahan satu abjad ‘a’ pada perkataan ‘lima’ pula adalah sebagai identiti kafe tersebut, jelas Cik Nuraidah.
Limaa bermula di Haji Lane – kawasan yang lebih dikenali dalam kalangan pelancong dan anggota masyarakat ekspatriat.
Sesuai dengan misinya untuk memudahkan kaum ibu bersantai, kafe tersebut ketika itu menyediakan ruang tertutup untuk ibu-ibu menyusu.
Malah Cik Nuraidah sendiri menunjukkan bahawa sebagai seorang ibu kepada bayi kecil, ia tidak menghalangnya daripada terus bekerja.
Beliau sering dilihat menggendong bayinya sambil menyiapkan makanan dan melayan pelanggan.
“Sebenarnya ada juga pelanggan menegur saya kerana membawa bayi ke tempat kerja.
“Tetapi ketika itu saya tidak bersedia berpisah dengan bayi saya dan saya bersungguh-sungguh mahu membuktikan saya boleh bekerja sambil menjaga anak,” ujarnya.
Di Haji Lane juga, waktu bekerja mereka juga panjang – melebihi 12 jam – kerana mereka perlu memastikan pendapatan yang diraih dapat menampung kos sewa kedai dan operasi.
Namun, seiring dengan pandemik Covid-19 dan kenaikan sewa, Cik Nuraidah dan Cik Zakiah berpindah ke Golden Landmark.
Di situ, mereka menemui pasaran baru – pelanggan tempatan, terutama keluarga Melayu-Muslim yang menghargai makanan sihat, tetapi tetap menginginkan rasa yang akrab dan tradisional.
Masa bekerja turut disingkatkan. Kafe ditutup pada 4 petang dan mereka tidak bekerja pada setiap Ahad.
Walaupun tidak lagi menyediakan ruang khas untuk ibu menyusu, mereka memastikan suasana kafe mesra pelanggan termasuk kanak-kanak dengan pilihan makanan yang lebih banyak.
“Bila datuk dan nenek datang makan dengan cucu dan ucapkan ‘sedapnya makanan awak’, itu adalah kepuasan terbesar kami,” kata Cik Nuraidah, sambil tersenyum.
Di Limaa, mereka memilih pendekatan lebih sihat dengan tidak menggunakan garam halus, tiada gula putih dan tiada bahan pengawet.
Segala-galanya disediakan sendiri dari awal – daripada sos vinaigrette salad hingga ke sirap pankek dan mentega kacang.
Malah minuman seperti jus acai, turmeric shots dan air serai semuanya dibru segar setiap minggu.
“Kami (lakukan) R&D (penyelidikan dan pengembangan) berkali-kali untuk pastikan rasa masih ‘kena’ dengan tekak orang kita.
“Misalnya, untuk turmeric shots, kami ubah suai rasanya agar lebih mesra generasi muda,” ujar Cik Nuraidah.
Di samping itu, pengalaman Cik Zakiah sebagai jururawat turut membolehkan beliau memastikan gabungan bahan masakan dan minuman yang dicipta, sesuai dengan sistem penghadaman.
Antara hidangan yang mendapat sambutan hangat ialah Acai Smoothie Bowl – campuran puri acai organik dan pisang, dihias dengan granola, mentega badam dan buah segar.
Turut popular ialah Kinky Eggs, ayam panggang berempah, dan Shakshuka versi Limaa yang penuh rasa dan warna.
Walaupun kini hanya 30 peratus daripada menu dianggap ‘sangat sihat’, prinsip asal mereka masih dikekalkan.
Mereka tidak bertolak ansur terhadap mutu bahan dan kesegaran makanan.
Mereka tahu betapa mencabarnya perjalanan keibuan, justeru Limaa Cafe turut memberi sokongan kepada kaum ibu yang ingin mencari mata pencarian tambahan.
Di kafe itu, terdapat rak khas yang menjual produk hasil usaha ibu yang bekerja dari rumah.
Kakitangan mereka juga terdiri daripada kaum ibu yang mencari fleksibiliti dalam pekerjaan.
“Kami pernah jalankan sesi perkongsian tengah hari untuk ibu-ibu yang mahu mula berniaga,” jelas Cik Nuraidah.
Kini, matlamat Cik Nuraidah dan Cik Zakiah lebih besar daripada sekadar menawarkan makanan sihat.
Mereka mahu menyatukan generasi – daripada kanak-kanak hingga warga emas – dalam satu meja makan yang menyajikan sajian seimbang, bersih dan penuh rasa.
“Kami tak mahu makanan sihat dianggap membosankan atau asing. Kami mahu ia jadi sesuatu yang semua orang – termasuk nenek dan atuk – boleh nikmati,” Cik Nuraidah penuh semangat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg