Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Drama buka mata realiti remaja masa kini

Apr 2, 2025 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sebagai seorang ibu, saya sering berasa bimbang apabila memikirkan tentang remaja masa kini. Dunia mereka begitu berbeza daripada dunia saya dahulu.

Generasi X seperti saya mungkin tidak ambil pusing tentang kod-kod rahsia yang tersembunyi dalam warna emoji, istilah seperti incel (Incel ialah istilah yang dikaitkan dengan kebanyakan subbudaya pengguna dalam talian, yang mentakrifkan diri mereka sebagai tidak dapat mencari pasangan romantik atau seksual walaupun menginginkannya) atau konsep 80/20 yang berlegar dalam dunia maya remaja.

Namun, kebutaan ini bukan sesuatu yang boleh kita banggakan – kerana ia boleh membawa akibat tragik.

Remaja adalah fasa peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa.

Namun, ketika ini, pemikiran mereka masih belum matang sepenuhnya.

Keputusan yang diambil sering kali dipengaruhi oleh rakan sebaya, media sosial, dan dorongan naluri, bukan pertimbangan rasional yang matang.

Sering kali, mereka mempercayai bahawa mereka bebas menentukan kehidupan sendiri, tanpa memahami kesan jangka panjang bagi setiap tindakan.

Saya merujuk kepada drama empat episod yang sedang hangat dibincangkan di media sosial, Adolescence, di Netflix.

Drama ini membongkar sisi gelap dunia remaja moden.

Dalam Episod 3, Jamie, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, dengan tenang berkata: “You do not control what I do in my life.”

Dia ditangkap kerana membunuh rakannya sendiri, Katie, dengan tujuh tikaman.

Seorang kanak-kanak yang baru menginjak usia remaja mampu melakukan sesuatu yang begitu kejam?

Ini satu realiti yang sukar diterima. Tetapi kita tidak boleh menafikan hakikat ia benar-benar boleh berlaku.

Ibu Bapa yang Terluka

Bagi ibu bapa Jamie, Eddie dan Manda, kenyataan itu adalah mimpi ngeri yang tidak berpenghujung.

Anak yang mereka belai dengan kasih sayang kini menjadi seorang pembunuh.

Kesedihan mereka bukan sekadar kerana kehilangan anak yang mereka kenali, malah juga kerana mereka kini menjadi bahan sindiran dan kecaman masyarakat.

Sebagai ibu bapa, sukar untuk tidak membayangkan diri kita di tempat mereka.

Apakah yang telah mereka lakukan salah? Apakah tanda-tanda yang telah mereka abaikan? Soalan-soalan ini menghantui mereka, dan juga kita semua yang menonton.

Salah Siapa?

Kita kerap menyalahkan ibu bapa apabila seorang remaja tersasar.

Namun, siri ini dengan berani menolak naratif biasa itu.

Jamie bukan berasal daripada keluarga bermasalah. Eddie dan Manda bukan ibu bapa yang gagal, pemabuk, atau penyalah guna dadah. Mereka hanyalah ibu bapa biasa yang melakukan kesilapan kecil – seperti kita semua.

Jika kesilapan keibubapaan adalah penyebab utama, mengapa Lisa, kakak Jamie, membesar menjadi seorang anak yang baik dan bertanggungjawab?

Eddie pernah bertanya: “Bagaimana kita membentuk Lisa?” Lalu Manda menjawab: “Dengan cara yang sama kita membentuk Jamie.”

Jawapan itu cukup mendalam. Setiap anak adalah individu berbeza.Tindak balas mereka terhadap persekitaran dan tekanan hidup tidak sama, walaupun dibesarkan dalam rumah yang sama.

Jurang Generasi Terlalu Luas

Anak-anak kita membesar dalam era teknologi yang berkembang terlalu pesat.

Mereka berkomunikasi melalui simbol dan kod yang sering kali kita tidak fahami.

Dalam Episod 2, Adam menjelaskan kepada bapanya, seorang detektif, bahawa warna hati dalam emoji membawa maksud berbeza.

Bagi kita yang lebih tua, hati merah atau biru tidak lebih daripada sekadar simbol kasih sayang.

Tetapi bagi remaja, ia membawa maksud tertentu – mungkin sesuatu yang tidak kita jangka.

Lebih membimbangkan, dunia remaja kini dipenuhi dengan ideologi berbahaya yang tersebar melalui media sosial.

Incel, red pill, blue pill, manosphere, 80/20 rule – istilah yang mungkin tidak pernah kita dengar, tetapi telah lama meresap dalam minda generasi muda.

Adakah Kita Sedar?

Sejauh manakah kita benar-benar tahu apakah yang anak-anak kita hadapi dalam talian?

Sejauh manakah kita memahami apakah yang mereka pelajari? Sejauh manakah ia membentuk pemikiran mereka – ke arah positif atau negatif?

Siri Adolescence bukan sekadar sebuah drama. Ia tamparan realiti kepada ibu bapa zaman ini.

Kita tidak boleh lagi mengambil sikap selesa dan berpura-pura dunia anak-anak kita sama seperti zaman kita dahulu.

Jika kita terus dalam kejahilan, kita mungkin hanya akan sedar apabila semuanya sudah terlambat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg