Terdapat banyak pilihan kosmetik di pasaran dan wanita semakin bijak memilih produk yang sesuai dengan kulit mereka dan cuaca.
Namun, ramai masih tidak sedar bahawa sesetengah bahan kimia dalam produk kosmetik boleh memberi kesan jangka panjang yang membahayakan kesihatan.
Walaupun kosmetik bertujuan mencantikkan penampilan, penggunaannya boleh mendatangkan risiko jika tidak diteliti kandungannya.
Menurut laman web, Environmental Working Group (EWG), dari Amerika Syarikat, lebih 88 bahan kimia dalam kira-kira 73,000 produk kosmetik dikaitkan dengan risiko kesihatan seperti barah, kerosakan sistem pembiakan, serta masalah hormon.
Oxybenzone – Digunakan dalam tabir suria dan solekan dengan Faktor Pelindung Matahari (SPF) boleh mengganggu hormon.
Triclosan – Ditemui dalam pencuci antibakteria berupaya menjejaskan fungsi tiroid dan sistem endokrin.
Paraben (seperti isobutil dan isopropil paraben) – Bertindak sebagai bahan pengawet dalam pelembap dan gincu, tetapi boleh memberi kesan pada hati dan tiroid serta dikaitkan dengan barah buah dada.
Sodium lauryl sulfate (SLS) – Dalam pencuci muka berbuih boleh mengikis lapisan pelindung kulit.
Formaldehid dan terbitannya (seperti quaternium-15) – Dikenali sebagai karsinogen (penyebab barah).
Phthalate (seperti dibutyl dan diethylhexyl phthalate) – Boleh menjejas sistem pembiakan dan perkembangan janin.
Perfluoroalkyl and Polyfluoroalkyl Substances (PFAS) – Bahan kimia kekal ini sukar terurai dan dikaitkan dengan barah serta kerosakan sistem imun.
Apakah yang boleh dilakukan?
Periksa Label Produk
Biasakan diri membaca label sebelum membeli. Elakkan produk dengan bahan kimia berisiko tinggi seperti yang dinyatakan di atas.
Pilih Produk Semula Jadi
Gunakan produk dengan bahan semula jadi seperti minyak jojoba, aloe vera, kamomil dan minyak argan yang lebih selamat untuk kulit.
Guna Aplikasi Penilaian Produk
Aplikasi seperti EWG’s Skin Deep® membolehkan pengguna menilai tahap keselamatan sesuatu produk.
Dapatkan Nasihat Pakar
Jika anda pernah menggunakan produk mengandungi bahan kimia berbahaya, temui pakar dermatologi untuk pemeriksaan dan saranan produk gantian yang selamat.
Detoks Kulit
Berhenti sementara daripada menggunakan kosmetik selama beberapa hari untuk membolehkan kulit ‘bernafas’. Gunakan produk yang menyokong pemulihan kulit seperti masker tanah liat atau serum antioksidan.
Peningkatan permintaan terhadap kosmetik semula jadi dan organik menunjukkan kesedaran pengguna yang kian meningkat.
Namun, pengawalseliaan terhadap industri kosmetik masih longgar di banyak negara, termasuk Amerika, berbanding Kesatuan Eropah yang telah melarang penggunaan bahan kimia tertentu dalam kosmetik.
Sebagai pengguna, wanita perlu bijak dan berani membuat pilihan.
Kesihatan tidak sepatutnya dikorbankan demi kecantikan sementara.
Sila rujuk kepada pakar kesihatan atau dermatologi untuk nasihat lanjut mengenai keperluan individu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg