Bagi individu yang terlatih dalam dunia deria bau, satu haruman yang melintasi hidung boleh membawa kepada imaginasi yang luar biasa.
Individu itu berupaya mengenal pasti tempat, meneka jenis minyak yang digunakan, malah membayangkan bagaimana untuk menghasilkan semula aroma itu dengan campuran bahan-bahan tertentu.
Itulah kelebihan yang kini dimiliki oleh Cik Nurhafizah Ab Hamid, 30 tahun, hasil bimbingan dan latihan tekun daripada suaminya, Raja Muhammad Miikaaiil Raja Shahdan, 32 tahun – seorang peminat dunia minyak wangi sejak 2013.
Pasangan itu menjalankan perniagaan wangian buatan tangan, Liquee Earth And Pure, yang mereka asaskan semasa pandemik Covid-19.
Ketika pekerjaan mereka dalam bidang penasihat kewangan terjejas, pasangan itu menjadikan minat terhadap dunia bau-bauan sebagai sumber pendapatan utama.
Cik Nurhafizah mengakui beliau sendiri bukan peminat tegar minyak wangi sebelum ini.
Namun setelah mendalami seni pembuatan minyak wangi, cintanya terhadap dunia aroma semakin mendalam.
Menariknya, suaminya telah mula mendalami bidang itu hasil pendedahan bapanya, Allahyarham Raja Shahdan Raja Mizan, yang semasa hayatnya dikenali sebagai pengumpul keris di Singapura, selain mengumpul wangi-wangian dan mahir dalam perubatan tradisional.
Kepakaran yang diwarisi kini digabungkan dalam menghasilkan produk yang bukan sahaja wangi, bahkan juga mesra kulit sensitif.
“Dulu saya sendiri tak pernah pakai minyak wangi. Tapi apabila suami kerap bercerita dan berkongsi tentang campuran bahan, saya mula teruja.
“Sekarang saya pula yang boleh agak bau sesuatu tempat dan tahu bahan apa yang digunakan,” kongsi Cik Nurhafizah, ibu dua anak.
“Saya lebih suka bau yang lembut dan tidak mencolok. Tetapi setelah faham tentang struktur nota haruman dan kelebihan bahan semula jadi, saya lebih menghargai keunikan setiap ramuan,” tambah beliau.
Pasangan itu belajar secara dalam talian – mengikuti kursus berkaitan deria bau, sifat bahan, dan teknik pencampuran – lalu mencipta koleksi wangian mereka sendiri daripada konsep sehinggalah ke tahap pembotolan.
Pasangan itu membahagikan tugas dengan jelas.
Cik Nurhafizah berperanan sebagai pengasas bersama, ketua sumber manusia, kawalan mutu dan pencipta kandungan, manakala suaminya lebih tertumpu kepada penghasilan dan rumusan produk.
Dalam banyak hal, Cik Nurhafizah juga menjadi deria penilaian utama untuk mencuba dan menyesuaikan campuran yang dihasilkan suami mengikut kehendak pasaran.
“Saya akan cuba dahulu bau yang suami hasilkan, dan beri maklum balas kalau ada yang terlalu kuat atau tidak sesuai.
“Kadangkala idea untuk campuran baru datang bila saya rasa sesuatu bahan itu boleh seimbangkan satu aroma tertentu,” jelas beliau.
Produk mereka merangkumi pelbagai jenis format seperti semburan bilik, semburan bantal, dan minyak wangi deodoran berbuli.
Keunikan mereka terletak pada penggunaan atar – iaitu minyak wangi tulen tanpa alkohol – yang memerlukan masa pengadunan lebih lama (empat hingga lapan minggu) berbanding minyak wangi berasaskan alkohol.
“Minyak wangi kami ada kepekatan sekurang-kurangnya 60 peratus minyak, jauh lebih tinggi daripada EDP (Eau de Parfum) biasa yang banyak bergantung pada alkohol,” ujar beliau.
Mengimbangi kehidupan sebagai ibu dan usahawan bukanlah perkara mudah.
Cik Nurhafizah pernah melalui pengalaman menguruskan reruai ketika hamil, dan akhirnya melahirkan bayi pramatang.
“Waktu itu memang mencabar. Mujur kami ada bantuan pekerja sambilan.
“Ada ketika saya perlu teruskan ‘live’ TikTok selepas anak-anak tidur atau semasa mereka di sekolah.
“Ia memerlukan disiplin dan pengorbanan, tapi kami yakin pada apa yang kami bina bersama. Masa sangat terhad, jadi setiap saat perlu dimanfaatkan,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai kedai fizikal di Singapura, mereka aktif menjual secara dalam talian dan melalui wadah seperti TikTok secara ‘live’.
Strategi itu terbukti lebih berkesan daripada segi kos dan fleksibel berbanding menyewa ruang gerai fizikal.
Cik Nurhafizah percaya bahawa wangian yang baik bukan hanya menyenangkan hidung, bahkan mampu membangkitkan emosi, memori, dan ketenangan.
“Ada pelanggan yang kata bau kami mengingatkan mereka kepada kampung halaman atau seseorang yang mereka sayang. Itu yang kami mahukan – bukan sekadar menjual produk, tapi menyentuh hati,” katanya.
Beliau menasihatkan mereka yang berminat untuk menceburi bidang itu agar bermula dengan mengenali wangian sedia ada dan cuba meniru untuk belajar struktur haruman.
Memahami perbezaan antara atar, minyak pati, dan ekstrak minyak sangat penting.
Atar ialah minyak wangi tulen, biasanya lebih pekat dan tidak mengandungi alkohol, manakala banyak minyak wangi komersial berasaskan alkohol dan bahan sintetik.
“Jangan terburu-buru. Belajar dari kesilapan. Perniagaan ini perlukan ilmu, kesabaran dan kejujuran. Pelanggan boleh bezakan antara produk yang jujur dengan yang hanya mahu kaut untung.
“Kami percaya bau boleh jadi terapi. Kami mahu cipta suasana yang tenang, menyenangkan dan menggembirakan… walaupun hanya dengan satu semburan kecil.”
Petua bagi Peminat Haruman
Untuk mereka yang baru ingin menceburi dunia wangian, Cik Nurhafizah, menyarankan:
Fahami asas: Kenali jenis nota (atas, tengah, asas) dan sifat setiap bahan.
Cuba tiru dahulu: Mulakan dengan meniru wangian popular untuk kenali struktur bau.
Jujur dan tekal: Jangan sekadar ikut trend. Pastikan bahan bermutu dan selamat digunakan.
Baca reaksi pelanggan: Gunakan maklum balas sebagai panduan memperbaiki produk.
“Kami percaya pada kejujuran dalam perniagaan. Jangan takut untuk belajar daripada kesilapan. Pernah juga botol kami rosak – pelanggan marah, tapi kami ganti tanpa banyak soal,” kongsi beliau.
Melihat sokongan pelanggan yang semakin meningkat, pasangan itu berharap dapat terus memperkaya koleksi mereka – termasuk menghidupkan kembali tradisi ‘bakhur’ (mengharumkan rumah dengan wangi-wangian semula jadi seperti kayu wangi dan minyak pati) – dan mungkin suatu hari nanti membuka butik kecil untuk pengalaman bau yang lebih bersifat peribadi.
Menurut Cik Nurhafizah, jika kulit sensitif atau anda ingin wangian tahan lama dan mesra solat, pilihlah atar bebas alkohol.
Pasangan itu dijadual berada di reruai di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura, Dewan 403 dan 404, pada 31 Mei (Sabtu) dan 1 Jun (Ahad).
INFO PANTAS: Atar vs Minyak Beraroma
Atar: Minyak wangi tulen, tanpa alkohol, biasanya lebih pekat dan tahan lama.
Minyak Beraroma iaitu Eau de Parfum (EDP) atau Eau de Toilette (EDT): Dicampur alkohol, lebih ringan dan mudah mengisi ruang udara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg