Pasaran Singapura kecil. Malah, Malaysia juga kecil.
Jika wanita ingin berjaya dalam perniagaan, mereka mesti berani keluar, bukan hanya keluar dari zon selesa, malah keluar dari sempadan negara.
Itulah pesanan penuh makna daripada Presiden Ikon Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed, atau lebih dikenali sebagai Datuk Azie.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Berita Harian (BH) sempena pelancaran rasmi Kelab Wanita Ikon Singapura (IkonSG), yang diadakan pada 24 Oktober di dewan De Villa, di Centrium Square, Serangoon Road.
Datuk Azie hadir sebagai tetamu terhormat majlis pelancaran tersebut.
Sebagai usahawan berjaya dalam industri perpaipan, bidang yang dikuasai lelaki, Datuk Azie, 55 tahun, bukan sekadar bercakap soal teori.
Dikenali sebagai, The Pipe Lady of Malaysia, beliau memimpin syarikat sistem air dan perpaipan terbesar di negaranya, Megapadu Sdn Bhd, sekali gus membuktikan wanita boleh menembusi apa jua industri sekiranya memiliki keyakinan diri dan keberanian mencuba.
“Jangan hadkan diri kepada perniagaan yang dianggap ‘untuk wanita’ sahaja. Saya berada dalam industri perpaipan, dan saya satu-satunya wanita di situ.
“Jika saya boleh, anda juga boleh. Apa yang penting adalah ilmu, keyakinan, dan kesungguhan,” tegasnya dalam ucaptama bertajuk, Kerana Setiap Wanita Adalah Kisah Kuasa.
Menurut beliau, wanita perlu membina rangkaian serantau bersama rakan sejawatan dari Indonesia, Filipina, Thailand, dan Brunei.
Ini disebabkan hubungan lintas sempadan bukan sahaja memperluas peluang perniagaan, malah memperkukuh sokongan antara sesama wanita dalam bidang keusahawanan.
“Kita harus berfikir besar. Wanita Malaysia pun saya nasihatkan agar keluar dari Malaysia kerana pasaran kita terlalu kecil.
“Bayangkan potensi yang boleh dicapai jika kita berganding bahu dengan wanita-wanita hebat dari rantau ini,” ujarnya, yang juga pengasas bersama produk kecantikan SimplySiti yang dijalankan bersama Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Mohd Khalid Jiwa.
Presiden IkonSG, Cik Fadilah A. Majid, dalam ucapan pembukaannya menyifatkan pelancaran kelab itu sebagai bukti setiap wanita mampu berkembang di mana-mana sahaja mereka berada, walau dalam keadaan yang tidak sempurna sekalipun.
“Kadang-kadang ‘tanah’ tempat kita tumbuh tidak subur, tetapi seperti bunga yang sentiasa mencari matahari, wanita tetap memiliki daya tahan dan keindahan dalam diri mereka,” ujar beliau.
Cik Fadilah mengimbau kembali tercetusnya IkonSG, hasil perbincangan santai di sebuah kafe di Johor bersama rakan usahawan dari Malaysia, Cik Liyana Omar, pemilik syarikat percetakan.
Daripada idea kecil itu, IkonSG kini menjadi kelab wanita yang berdiri sendiri dengan pasukan kepimpinan seramai 13 wanita daripada pelbagai latar belakang.
Ia menjadi wadah memperkasa wanita bukan sahaja sebagai usahawan, bahkan sebagai individu yang mempunyai nilai, potensi dan kisah tersendiri.
Bagi Cik Fadilah, yang juga pengasas Spa Jelita, Hamidah’s Kitchen dan De Villa, penubuhan IkonSG adalah kesinambungan semangat perjuangan wanita yang pernah digerakkan di bawah Dewi@DPPMS (Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura).
Beliau adalah mantan pengerusi Dewi@DPPMS.
Menurut Cik Fadilah, IkonSG adalah sebuah kelab yang berperanan sebagai ruang sokongan, pembelajaran, dan pembangunan diri untuk wanita daripada segenap lapisan masyarakat.
IkonSG berlandaskan lima teras utama dalam memperkasa wanita:
Ekonomi dan Keusahawanan – membantu wanita menjana pendapatan melalui latihan dan bimbingan perniagaan.
Pendidikan dan Pembangunan Diri – menyediakan bengkel dan sesi bimbingan untuk meningkatkan kemahiran digital dan kepimpinan.
Kesihatan Fizikal, Mental dan Emosi – menggalakkan keseimbangan hidup dan penjagaan diri.
Budaya dan Nilai – mengekalkan jati diri wanita Melayu dan nilai kekeluargaan.
Keselamatan dan Perlindungan – memperjuangkan hak wanita dan menyediakan sokongan bagi mereka yang terkesan oleh cabaran hidup.
Antara program yang telah dirancang termasuk bengkel kecelikan kewangan bulanan, forum inspirasi ‘high tea’, projek kebajikan, serta kerjasama dengan agensi pemerintah dan swasta.
“Kami mahu setiap wanita tahu mereka tidak keseorangan. IkonSG ialah tempat untuk belajar, berkembang dan saling menyokong,” kata Cik Fadilah dalam ucapan yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Dalam ucapannya, Datuk Azie turut memperkenalkan kempen, Are You Okay? yang sedang dijalankan di Malaysia.
Ia merupakan inisiatif yang menggalakkan wanita bertanya dan mendengar dengan empati terhadap diri sendiri dan sesama wanita.
“Kalau kita tidak okey, anak-anak dan suami pun tidak akan okey.
“Maka, tanya diri, ‘Adakah saya berasa okey?’, dan beranilah mencari kekuatan itu semula,” katanya penuh emosi.
Kempen tersebut mencerminkan semangat sebenar gerakan kelab Ikon, betapa setiap wanita adalah kisah kuasa, dan apabila mereka bersatu, tidak ada halangan yang tidak dapat ditempuhi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg