Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu, anak dan skrin, ikatan dalam dunia digital

Sep 24, 2025 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seorang kawan pernah mengadu kepada saya tentang anak remajanya.

“Aku kadang-kadang kena WhatsApp anak aku sendiri untuk panggil dia keluar makan malam,” katanya.

Saya terdiam, separuh terkejut, separuh ketawa.

Bayangkan… duduk sebumbung, tapi terpaksa berutus mesej macam jiran sebelah.

Sebenarnya, bukan anaknya saja yang terikat dengan skrin.

Si ibu pun serupa – tersangkut dengan tugasan kerja, leka melayan K-drama, dan sesekali, seronok menambah koleksi di TikTok Shop.

Jadi, hendak salahkan siapa?

Inilah wajah teknologi hari ini; ibarat pedang bermata dua.

Di satu sisi, ia pencuri masa paling licik.

Skrin boleh mencuri masa, merenggangkan hubungan, dan membuatkan anak-anak (malah kita sendiri) ketagih.

Lebih merisaukan, dunia maya ini tidak selalu mesra.

Anak boleh terdedah kepada kandungan berbahaya, daripada pornografi sehinggalah ‘tutorial’ yang mengajar benda berbahaya.

Tanpa disedari, nilai peribadi pun boleh terhakis, dibentuk perlahan-lahan oleh algoritma yang lebih memahami selera anak kita berbanding ibu bapanya sendiri.

Dan jangan lupa: Berita palsu yang berlegar seakan-akan satu bentuk kebenaran.

Namun, tidak adil juga kalau kita menutup mata pada sisi baiknya.

Teknologi ibarat pintu ke dunia luas. Anak-anak boleh belajar sains, sejarah, atau bahasa baru hanya dengan beberapa klik.

Kita boleh berhubung dengan keluarga jauh, melancong secara maya, atau mencari resipi penggoreng kering atau ‘air fryer’ terkini yang dapat menjimatkan masa.

Malah, kerja rumah pun lebih senang diuruskan, daripada membeli barang dapur hingga mengurus jadual keluarga.

Secara teorinya, semua itu boleh membuka ruang untuk kita menghabiskan masa bermutu bersama insan tersayang.

Masalahnya: teori tidak selalu jadi realiti.

Maka, di sinilah peranan ibu, si penyaring maklumat atau gatekeeper digital.

Kita tidak perlu jadi ‘ibu singa’ yang merampas gadget, tetapi cukup kalau kita menetapkan sempadan yang jelas.

Contohnya, masa skrin yang terhad, aplikasi kawalan ibu bapa, dan peraturan mudah seperti “tiada gadget semasa makan”.

Jika anak gagal patuhi, ada akibatnya.

Jika mereka berjaya, jadikan teknologi itu sebagai ganjaran.

Lebih penting, gantikan sebahagian masa skrin dengan kegiatan yang menyeronokkan – permainan keluarga, aktiviti luar rumah, atau sekadar berjalan-jalan di taman.

Percayalah, jalinan ikatan yang tercipta lebih tular daripada apa jua isi kandungan TikTok.

Dan jangan lupa – ibu pun perlu jadi teladan.

Kalau kita sendiri leka dengan skrin, anak-anak akan belajar perkara yang sama.

Akhir kata, teknologi bukan musuh. Ia sekadar alat.

Yang menentukan sama ada ia merapatkan atau merenggangkan hubungan ialah kita, ibu yang bijak mengemudi.

Soalnya sekarang: adakah kita mahu jadi ibu yang hanya berhubung dengan anak melalui WhatsApp, atau ibu yang makan bersama sambil berkongsi cerita tanpa skrin sebagai penghalangnya?

Laporan berkaitan
Bersara bukan bererti bersisaSep 7, 2025 | 4:47 PM
Guru, jejak yang kekal di hatiSep 1, 2025 | 1:51 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg