Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadilah sahabat yang faham cabaran teman

Jul 16, 2025 | 5:30 AM
hanim mohd saleh
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila seorang sahabat rapat tiba-tiba menjauhkan diri – keluar daripada kumpulan WhatsApp tanpa sebarang penjelasan, tidak lagi membalas mesej seperti biasa, atau mengambil masa yang lama untuk memberi respons – kita mudah rasa tergores, keliru, atau tertanya-tanya: “Apa salah saya?”

Malah, ada juga yang mula mengaitkan pelbagai andaian negatif tentang perubahan sikap sahabat itu.

Mungkin dia sombong. Mungkin sudah ada kelompok sahabat baru. Mungkin dia tidak lagi mahu berkawan.

Namun, di sebalik perubahan itu, kita jarang berhenti dan bertanya kepada diri:

Mungkinkah sahabat kita sedang melalui sesuatu yang berat, yang tidak mampu dikongsi?

Tidak semua perkara dalam hidup ini mudah diluahkan, apatah lagi jika ia melibatkan isu keluarga, anak-anak, atau kesihatan mental.

Ada wanita yang terpaksa mendiamkan diri kerana terlalu malu menjawab soalan yang kerap dianggap biasa:

“Anak kau macam mana sekarang?” Sedangkan anak itu sebenarnya sedang bergelut dengan masalah disiplin, tercicir dalam pelajaran, atau terlibat dalam perkara yang memalukan keluarga.

Mana mungkin seorang ibu berkongsi hal sebegitu dengan mudah, walaupun kepada sahabat paling rapat?

Kadangkala juga, seseorang memilih untuk menyepi bukan kerana dia tidak menghargai persahabatan, tetapi kerana dia sendiri tidak pasti bagaimana mahu memulakan cerita.

Emosi yang bercelaru, tekanan yang menyesakkan dada, dan rasa takut dihakimi membuatkan mereka lebih selesa menyimpan semuanya sendiri.

Dalam dunia yang cepat menilai, diam itu menjadi satu-satunya bentuk perlindungan.

Sebagai sahabat, keikhlasan kita diuji bukan sewaktu semuanya indah, tetapi ketika persahabatan itu sunyi dan seakan menjauh.

Saat mesej tidak berbalas, kita ada pilihan: Mahu terus menagih perhatian, atau memberi ruang dan menghormati kesenyapan itu.

Kadangkala, kita hanya perlu menunggu dan berada di sisi, bukan sebagai penyoal, tetapi sebagai pendengar – apabila mereka bersedia.

Menjadi sahabat yang memahami memerlukan hati yang sabar dan jiwa yang terbuka.

Kita perlu belajar untuk tidak cepat berkecil hati, tidak mudah membuat andaian dan yang paling penting, tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

Sahabat sejati tahu persahabatan bukan tentang siapa yang sentiasa hadir setiap hari, tetapi siapa yang akan tetap ada apabila diperlukan, walaupun selepas tempoh menyepi yang panjang.

Apabila seseorang menjauh, itu tidak bermakna dia sudah melupakan kita.

Mungkin dia hanya sedang menenangkan badai dalam hidupnya.

Dan apabila lautnya kembali tenang, dia pasti akan kembali kepada kita – jika kita benar-benar sahabat yang sentiasa membuka pintu dengan kasih, bukan prasangka.

Dalam dunia yang serba sibuk dan mencabar ini, kehadiran seorang sahabat yang tidak menghakimi, tidak mendesak, dan tidak cepat terasa hati adalah satu anugerah.

Maka marilah kita berusaha untuk menjadi sahabat yang begitu – kerana dalam diam seseorang, mungkin tersembunyi seribu kisah yang belum bersedia untuk dikongsi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg