Kini sudah hari ketiga kita meraikan Hari Raya, dan sudah tentu kegiatan ziarah-menziarahi serta menerima tetamu masih rancak berjalan.
Maklumlah, di rantau ini, selagi belum berakhir Syawal, selagi itulah kita masih berlebaran.
Kesibukan kaum ibu, terutama dalam menguruskan keluarga sepanjang menyambut Hari Raya, adalah kesinambungan daripada kesibukan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan.
Bermula daripada persiapan juadah rumah terbuka dan menerima tetamu, hinggalah menguruskan anak-anak ketika berziarah.
Dalam apa jua kesibukan, terutama ketika berseronok bertemu saudara-mara dan sahabat handai, jangan lupa menjaga kesihatan dan adab agar sambutan Hari Raya berjalan dengan baik dan bermakna.
Berikut panduan A hingga Z yang boleh anda ikuti bagi memastikan Hari Raya anda selamat dan menyeronokkan.
A - Adab
Hormati adat dan budaya seperti tidak berkunjung terlalu lewat malam, dan menjaga adab ketika bertandang ke rumah orang.
B - Baju
Pilih baju yang selesa, terutama bagi ibu yang perlu menyusukan bayi atau mengurus anak kecil sepanjang hari.
Untuk yang ada anak kecil, pastikan ada baju tambahan untuk disalin seandainya anak muntah atau pakaian mula tidak selesa selepas banyak berjalan.
C - Cahaya
Hiasi rumah dengan cahaya lampu kelap-kelip untuk menambah seri dan kehangatan suasana Aidilfitri.
D - Dulang
Gunakan dulang untuk menyajikan minuman dan makanan, agar tampak lebih manis dan sopan. Mengangkat gelas kosong dengan menggunakan jari-jemari agak kurang bersih.
E - Emosi
Jaga emosi apabila bertemu saudara-mara yang mungkin ada pertelagahan atau rasa kurang senang sebelum ini. Elakkan topik senstifi dalam perbualan.
F - Fesyen
Walaupun ingin bergaya, pastikan fesyen yang dipilih masih sopan dan sesuai dengan suasana keluarga serta ibadah.
G - Gubahan
Hiasi rumah dengan gubahan bunga segar atau hiasan buatan sendiri untuk mencipta suasana lebih istimewa.
H - Hijab
Bagi wanita berhijab, pilih tudung yang selesa dan mudah digayakan agar tidak menyukarkan pergerakan sepanjang hari.
I - Ikhlas
Sentiasa ikhlas dalam memberi, sama ada dalam bentuk duit Raya, juadah, atau sekadar senyuman dan doa.
J - Jemputan
Bersikap terbuka dalam menerima kunjungan tetamu dan mengatur masa lawatan agar tidak membebankan tuan rumah.
K - Kuih Raya
Biar sesedap mana pun kuih Raya yang dihidangkan, berpada-padalah memakannya. Setiap kalori gula, lemak dan tepung harus dikira. Jangan sampai simpan botol di pangkuan dan habiskan satu balang kuih atau kerepek sendiri!
L - Lembut hati
Gunakan kesempatan ini untuk bermaafan dengan anggota keluarga dan sahabat handai.
M - Makan
Makan secara bijak, elakkan pembaziran dan utamakan kesihatan walaupun banyak makanan enak dihidangkan.
N - Niat
Mulakan setiap amalan dan sambutan dengan niat yang baik, termasuk dalam memberi dan berkongsi kegembiraan.
O - Oleh-oleh
Bawa buah tangan kecil seperti kerepek atau kuih sebagai tanda penghargaan apabila berkunjung ke rumah orang.
P - Pengangkutan
Sama ada memandu pengangkutan sendiri atau menggunakan khidmat kereta privet, rancangkan perjalanan agar tidak terburu-buru untuk sampai ke destinasi. Yang penting, pandu dengan selamat dan nikmati keseronokan sepanjang perjalanan dengan hiburan lagu-lagu Hari Raya.
Q - Quran
Luangkan masa untuk membaca Al-Quran dan memahami maknanya sebagai pengisian rohani di bulan Syawal.
R - Rumah Terbuka
Jika mengadakan rumah terbuka, pastikan ia diatur dengan baik agar tetamu selesa dan tuan rumah tidak terbeban.
S - Sensitif
Bersikap peka apabila bersembang dengan saudara-mara, elakkan soalan yang tidak disukai seperti bertanya tentang jodoh... “bila nak kahwin?”, “bila nak dapat anak?” dan sebagainya. Lebih baik mendoakan kesejahteraan masing-masing daripada mengajukan soalan yang tidak sensitif.
T - Tetamu
Raikan tetamu dengan segera menghidangkan makanan, kuih-muih tanpa membiarkan mereka menunggu lama. Kalau tiba masuk waktu solat, siapkan tempat untuk mereka menunaikan tanggungjawab tanpa menanti mereka bertanyakan tempat.
U - Ucapan
Gunakan kata-kata yang baik dan elakkan membangkitkan isu sensitif ketika bersembang dengan saudara-mara.
V - Variasi
Cuba variasikan menu Hari Raya dengan juadah moden di samping makanan tradisional untuk memberi kelainan. Sesuaikan juadah dengan usia tetamu – ada pilihan yang tidak pedas untuk kanak-kanak.
W - Wangian
Gunakan wangian yang lembut dan segar agar sentiasa rasa selesa sepanjang Hari Raya.
X - ‘X-Factor’
Tambahkan keistimewaan dalam sambutan seperti tema warna keluarga atau sesi fotografi untuk kenangan.
Y - Yakin Diri
Berpakaian dan berhias dengan keyakinan, tidak perlu membandingkan diri dengan orang lain.
Z - Ziarah
Jadikan ziarah sebagai peluang merapatkan hubungan, bukan sekadar rutin tahunan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg