Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lipas? Tikus? Ibu 7 anak rela hadapi semua demi keluarga

Ibu tunggal satu-satunya wanita dalam pasukan kawalan perosak dalam syarikat
Mar 26, 2025 | 5:30 AM
Cik Norhayati Samsudin satu-satunya wanita yang bekerja dalam pasukan kawalan perosak di syarikat, Industrial & Commercial Facilities Management Pte Ltd (ICFM). 
Cik Norhayati Samsudin satu-satunya wanita yang bekerja dalam pasukan kawalan perosak di syarikat, Industrial & Commercial Facilities Management Pte Ltd (ICFM).  - Foto BH oleh KHALID BABA

Ramai wanita biasanya terjerit atau lari lintang-pukang jika terlihat lipas terbang atau tikus melintas.

Bagi Cik Norhayati Samsudin, 44 tahun, walaupun beliau sendiri bukan ‘peminat’ serangga dan tikus atau mondok, beliau sanggup mengatasi ketakutannya demi mencari rezeki untuk keluarga.

Dalam dunia kawalan serangga dan haiwan perosak yang didominasi kaum lelaki, beliau berdiri megah sebagai satu-satunya wanita dalam pasukan kawalan perosak di syarikat Industrial & Commercial Facilities Management Pte Ltd (ICFM).

Keputusan beraninya untuk menceburi bidang itu bukan sahaja mencabar stereotaip, malah menjadi bukti ketabahan seorang ibu tunggal yang ingin memastikan kesejahteraan keluarganya.

Daripada penghantaran ke kawalan perosak

Cik Norhayati dahulunya bekerja dalam industri makanan dan minuman serta sebagai penghantar barang.

Namun, jadual kerja yang tidak menentu membuat beliau sukar meluangkan masa bersama tujuh anaknya yang berusia antara 11 tahun dengan 25 tahun.

Kesibukan bekerja pada hujung minggu turut menjadi cabaran buatnya sebagai ibu tunggal.

“Saya mahukan pekerjaan yang membolehkan saya berehat pada hujung minggu agar saya dapat lebih banyak masa bersama anak-anak saya,” katanya.

Seorang rakan kemudian mencadangkan Cik Norhayati agar menyertai industri pengurusan kemudahan, khususnya dalam kawalan perosak.

Pada awalnya, beliau berasa ragu-ragu kerana bidang itu jarang diceburi wanita, ditambah pula dengan ketakutannya terhadap lipas.

Namun, beliau melihat itu sebagai cabaran yang perlu diatasi.

Lawan rasa takut, jadi Inspirasi

“Saya fikir, kalau saya dapat tunjukkan kepada anak-anak saya bahawa saya boleh mengatasi ketakutan saya, mereka juga boleh belajar untuk menghadapi cabaran dalam hidup,” ujar Cik Norhayati.

Kini, dalam tugas hariannya, Cik Norhayati bertanggungjawab menghapuskan perosak seperti serangga dan tikus dengan teknik semburan ‘fogging’ dan ‘misting’ di premis pelanggan.

Kerja ini bukan mudah – beliau perlu memakai sut perlindungan kimia dan kadangkala menyusuri tempat-tempat kotor seperti saluran sampah.

Panas, bau yang tidak menyenangkan, dan keletihan fizikal adalah cabaran yang harus ditempuhinya setiap hari.

Namun, beliau tidak pernah berundur.

“Pada mulanya memang sukar. Tapi saya belajar untuk biasakan diri.

“Saya juga ambil pendekatan untuk belajar daripada rakan sekerja lelaki saya dan tidak mahu dipandang rendah hanya kerana saya seorang wanita,” jelasnya.

Hadapi skeptisisme dengan ketegasan

Sebagai satu-satunya wanita dalam pasukan, pelanggan dan rakan sekerja sering terkejut melihatnya dalam peranan itu.

Ada yang mempersoalkan kemampuannya, tetapi Cik Norhayati tidak mahu diperlakukan berbeza.

“Saya tegas dalam kerja saya. Saya mahu dilihat sebagai seorang pekerja yang mampu, bukan kerana saya wanita atau lelaki,” katanya dengan yakin.

Beliau percaya bahawa lebih ramai wanita boleh menceburi bidang itu jika mereka diberi pendedahan yang lebih luas dan peluang yang setara.

“Wanita juga boleh buat kerja ini. Yang penting, keyakinan dan kesungguhan,” tambahnya.

Seimbang tugas dan keluarga

Sebagai seorang ibu, Cik Norhayati tetap mengutamakan kesejahteraan anak-anaknya.

Dengan jadual kerja yang lebih teratur, beliau kini mempunyai lebih banyak masa untuk bersama mereka.

Anak sulungnya yang berusia 25 tahun kini bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT), manakala yang lain masih bersekolah.

“Keluarga adalah motivasi saya. Saya mahu pastikan mereka mempunyai kehidupan yang baik dan saya mahu mereka melihat bahawa ibu mereka kuat dan berani menghadapi cabaran,” katanya.

Kesihatan dan keselamatan dalam kerja

Bekerja dalam persekitaran yang terdedah kepada bahan kimia bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan.

Oleh itu, Cik Norhayati menjalani pemeriksaan kesihatan berkala dan memastikan dirinya kekal aktif serta sihat.

“Saya pastikan saya menjaga kesihatan kerana pekerjaan ini memerlukan tenaga yang banyak,” ujarnya.

Walaupun cabarannya besar, Cik Norhayati tidak menyesal dengan keputusan yang diambilnya.

Bagi beliau, pengawalan perosak bukan sekadar pekerjaan, malah, satu bentuk perjuangan untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarga serta membuktikan bahawa wanita mampu bersaing dalam apa jua bidang yang mereka pilih.

“Tak perlu takut. Jika saya boleh buat, wanita lain pun boleh,” katanya mengakhiri perbualan dengan penuh semangat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg