Apabila sebuah karya penulis tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa, ia bukan sahaja satu pencapaian peribadi, bahkan satu detik bersejarah yang mengangkat nama Singapura di persada sastera.
Itulah yang dirasakan Maria Mahat, seorang penulis Melayu/Islam Singapura, apabila novelnya, Maybe This Is Love, terbitan Rumaa Books, tersenarai sebagai buku terlaris di Malaysia, malah kini habis dijual di kedai buku tempatan seperti Wardah.
“Apabila Maybe This Is Love mencapai nombor 1 di wadah Iman Publication semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada Mei lalu, saya rasa sangat terharu dan teruja,” kata Maria, mantan Penerbit Kanan Televisyen Mediacorp (1994 hingga 2004) itu.
“Saya sebenarnya tidak menjangkakan sambutan itu, malah sempat risau sama ada pembaca Malaysia dapat mengaitkan diri dengan latar Singapura dalam cerita ini.
“Tetapi apabila ia benar-benar menduduki tangga teratas, saya sedar tema seperti cinta, identiti, iman, keluarga dan pilihan adalah (bersifat) sejagat, dan ia mampu menyeberangi sempadan,” tambah Maria, 53 tahun.
Lebih manis lagi, novel tersebut turut menduduki tangga ‘Nombor 1’ dalam senarai MPH Malaysia Bestseller (18 hingga 24 Julai 2025), serta tersenarai di ‘Nombor 9’ dalam The Straits Times Bestseller List (28 Jun 2025).
Bagi Maria, melihat nama seorang penulis Melayu berada sebaris dengan penulis antarabangsa lain adalah satu pengalaman luar biasa.
“Bila nampak nama sendiri tersenarai bersama penulis Asia dan antarabangsa, memang macam mimpi. Saya sendiri terkejut,” kongsinya.
Kejayaan Maybe This Is Love mencerminkan kisah-kisah yang lahir daripada pengalaman tempatan boleh menyentuh hati pembaca daripada pelbagai latar belakang.
Bagi Maria, sambutan pembaca begitu memberangsangkan.
“Ada pembaca yang meluahkan perasaan sehingga membuatkan saya menitiskan air mata kerana cukup tersentuh.
“Saya sedar bagaimana cerita ini membantu mereka meneroka isu peribadi masing-masing,” ujarnya.
Rumaa Books turut menganjurkan sesi bacaan dan perbincangan maya, dan menurut Maria, pembaca Malaysia lebih berani serta terbuka berkongsi pandangan mereka.
“Kadang-kadang seram juga, tapi seronok! Berbeza dengan pembaca Singapura yang lebih berhemah, walaupun bila mereka menyampaikan maklum balas, ia biasanya sangat mendalam dan menyentuh hati,” katanya.
Walaupun mengakui pasaran buku Melayu di Singapura “sangat kecil”, Maria tetap percaya adalah penting untuk terus berkarya.
“Pasaran memang kecil, tetapi kita perlu hasilkan cerita yang baik dan boleh pergi jauh.
“Jangan hanya syok sendiri. Karya yang bagus mampu menembusi sempadan, dan penerbit yang mempunyai rangkaian antarabangsa boleh membawa karya kita ke pasaran luar,” katanya.
Bagi beliau, menulis bukan sekadar hiburan, malah satu cara mendokumentasikan pengalaman masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
“Suara kita perlu didengar, bukan sahaja di tanah air kecil ini bahkan juga di pentas dunia. Dahulu, penulis Melayu banyak mengangkat isu identiti dan kebangsaan.
“Hari ini, kita juga perlu menulis tentang pengalaman kontemporari, fantasi, dan tema sejagat – tanpa hilang akar budaya kita,” ujarnya.
Selain novel, Maria aktif menghasilkan buku kanak-kanak, termasuk siri Kawan Haiwan dan Siri Kembar Adriana dan Amalia, yang mendapat sambutan menggalakkan.
Tumpuannya bukan sekadar bercerita, bahkan juga membantu kanak-kanak meningkatkan kecelikan huruf dalam bahasa Melayu.
“Saya mahu anak-anak seronok membaca sambil memperkaya kosa kata mereka.
“Saya percaya bacaan awal yang menyeronokkan akan memupuk cinta terhadap bahasa dan budaya kita,” jelasnya.
Dalam pandangannya, pembangunan sastera Melayu di Singapura memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
“Penerbit buku bahasa ibunda, terutama Melayu dan Tamil, perlukan sokongan jangka panjang, bukan sekadar geran sekali-sekala.
“Kita bukan hanya entiti komersial... kerja kami lebih mirip perusahaan sosial kerana kami menjaga bahasa, identiti, dan budaya,” tegas beliau.
Pada 2025, beliau akan menghadiri Pameran Buku Antarabangsa Frankfurt (Oktober 2025) serta Pameran Buku Kanak-Kanak Antarabangsa Busan (Disember 2025), selain menganjurkan bengkel, Be a Published Author (Menjadi Penulis Yang Karyanya Diterbitkan), bersama penerbit tempatan.
“Saya bersyukur ada sokongan daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA).
“Inilah yang kita perlukan; bukan sahaja untuk penulis seperti saya, bahkan untuk seluruh ekosistem penerbitan Melayu,” katanya, penuh harapan.
Buku kanak-kanak terbarunya, Kuih Mana Pilihan Zara?; Onde-Onde, Lopes atau Keria pula akan dilancarkan pada Oktober 2025.
Beliau juga akan mengeluarkan buku gred pertengahan bahasa Inggeris pada Februari 2026 dengan sebuah syarikat penerbitan sejagat, Penguin Random House Southeast Asia.
“Ini adalah kisah yang sangat mendalam, dan saya akan berkongsi lebih banyak kemas kini dengan anda tidak lama lagi,” kongsi penulis yang telah membuktikan karya penulis Singapura mampu berdiri sama tinggi di pasaran antarabangsa.
“Saya harap, dengan kejayaan ini, saya dapat membuat masyarakat kita bangga.
“Nama Melayu Singapura boleh berada di mana-mana, bahkan di carta antarabangsa. Itu yang memberi semangat untuk saya terus menulis,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg