Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejiranan mesra warga emas: Semoga jadi ruang kuat tubuh, hidup jiwa

Aug 20, 2025 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Singapura yang kini sudah 60 tahun usianya, sedang melangkah masuk ke fasa baru.

Dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri Lawrence Wong banyak menyentuh hal penting untuk masa depan negara.

Antara topik yang disentuh dan paling dekat di hati saya adalah rancangan untuk membina Kejiranan Sihat Menua – kejiranan mesra warga emas yang memberi peluang kepada kita menua dengan bermaruah, dengan tujuan, dan dengan rasa bahagia.

Sebagai seorang wanita, khususnya wanita Melayu/Muslim, saya terfikir tentang bagaimana daya usaha itu boleh memberi makna besar kepada kita yang sudah melalui pelbagai peringkat kehidupan.

Di usia muda, kita telah menumpukan seluruh tenaga untuk membina kerjaya, ada yang sanggup mengorbankan masa sendiri demi keluarga, ada yang mengasuh anak-anak hingga mereka berjaya berdikari.

Dan kini, apabila usia semakin meningkat, kita tidak mahu sekadar “menunggu hari”.

Kita mahu terus hidup dengan sihat, dengan kawan, dengan kegiatan yang menceriakan, dan dengan ruang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Bayangkan jika di kejiranan kita terdapat pusat masyarakat yang sentiasa hidup dengan kegiatan, daripada senaman ringan hingga ke kelas pengajian agama.

Ada rakan sebaya untuk berbual, ada tenaga pengajar untuk membimbing, dan ada tempat untuk sekadar singgah melepaskan rasa sunyi.

Bukan itu sahaja, rumah dan kemudahan awam juga lebih mesra warga emas, lif mudah diakses, jalan yang selamat, bahkan bantuan kecil di rumah seperti baik pulih atau pemeriksaan kesihatan asas.

Hal yang kelihatan kecil ini sebenarnya besar ertinya apabila tenaga kita sudah berkurangan.

Bagi ramai wanita, kesihatan sering kali diletakkan ke tepi kerana lebih sibuk menjaga orang lain.

Maka apabila usia meningkat, kita berharap ada kemudahan perubatan yang mudah diakses dan mampu ditanggung.

Dan kerana ramai antara kita pernah juga menjadi penjaga, baik untuk pasangan, ibu bapa, atau adik-beradik, kita tahu betapa perlunya ada sokongan buat penjaga juga.

Rehat seketika, bantuan emosi, atau sedikit panduan boleh membuatkan beban itu terasa lebih ringan.

Namun, sebagai wanita Melayu/Muslim, ada pula harapan khusus.

Kita mahu kejiranan yang meraikan budaya dan agama kita.

Daripada makanan halal di pusat kegiatan, hingga ruang yang membolehkan kita belajar Al-Quran, menghadiri ceramah agama, atau sekadar duduk dalam suasana yang mengingatkan kita kepada nilai Islam.

Pada usia begini, hati sering mencari ketenangan rohani.

Dan betapa indahnya jika ia boleh dipenuhi di tengah masyarakat sendiri, tanpa perlu pergi jauh.

Saya membayangkan satu hari nanti, apabila saya atau rakan-rakan sebaya meniti persaraan, kejiranan yang kita diami bukan sekadar tempat tinggal.

Ia akan menjadi ruang yang menghidupkan jiwa, menguatkan tubuh, dan mendekatkan kita dengan orang sekeliling.

Usia tua tidak seharusnya dilihat sebagai fasa memperlahankan rentak, tetapi sebagai fasa “mengisi” – mengisi dengan rasa syukur, dengan kasih sayang, dengan persahabatan, dan dengan ibadah.

Jika Kejiranan Sihat Menua benar-benar menjadi kenyataan seperti yang dibayangkan, ia bukan sekadar projek fizikal, bahkan hadiah bermakna buat generasi wanita yang telah banyak berkorban demi keluarga dan negara.

Kerana pada akhirnya, kita semua ingin menua bukan sahaja dengan sihat, bahkan juga dengan tenang, dihargai, dan tidak pernah rasa sendirian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg