Dengan misi, ‘Buka Kunci Ikon dalam Anda’, Kelab Wanita Ikon Singapura (IkonSG) akan dilancarkan secara rasmi menerusi acara minum teh bertema, ‘Bloom Where You Are – Perkongsian, Sokongan dan Kekuatan Tinggi, oleh Wanita, untuk Wanita’, pada 24 Oktober, di De Villa, Centrium Square.
Acara yang dijangka diadakan di bekas Serangoon Plaza itu bakal dihadiri puluhan wanita daripada pelbagai latar belakang.
Ia bertujuan meraikan kekuatan, kepimpinan dan keupayaan wanita untuk berkembang dalam apa jua peranan mereka.
Presiden IkonSG, Cik Fadilah A. Majid, yang juga usahawan dan pengasas Spa Jelita serta Hamidah’s Kitchen, berkata kelab itu berperanan sebagai wadah bagi memperkukuh suara wanita melalui kerjasama, inovasi dan impak komuniti.
“Setiap wanita mempunyai kekuatan tersendiri. IkonSG ingin menjadi ruang di mana wanita bukan sahaja disokong, bahkan diraikan sebagai ikon dalam bidang masing-masing,” katanya.
Acara itu turut menampilkan Presiden Ikon Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed (mesra dipanggil Datuk Azie), sebagai tetamu terhormat dan penyampai ucaptama bertajuk, ‘Kerana Setiap Wanita Adalah Kisah Kuasa’.
Datuk Azie, yang terkenal sebagai, The Pipe Lady Malaysia, kerana menjadi satu-satunya wanita di negara jiran yang mengetuai perniagaan industri sistem air dan perpaipan, juga merupakan pengasas bersama jenama kecantikan SimplySiti, bersama penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut beliau, setiap wanita memiliki kisah kekuatan yang mampu mengubah diri dan masyarakat.
“Kita tidak perlu menunggu waktu atau tempat yang sempurna untuk berkembang. Kita boleh ‘mekar’ di mana kita berada,” katanya.
IkonSG turut memperkenalkan lima tonggak perjuangan dalam pelan tindakannya iaitu memperkukuh ekonomi wanita, memperluas pendidikan, menjaga kesihatan dan kesejahteraan, melindungi keselamatan dan maruah wanita, serta memperkasa masyarakat melalui tanggungjawab sosial.
Barisan kepimpinannya terdiri daripada wanita daripada pelbagai latar kerjaya termasuk, Cik Shila Yatiman (Timbalan Presiden & Ketua Kewangan); Cik Zuhriyyah Ariffin (Timbalan Presiden & Ketua Operasi); serta beberapa naib presiden dan penasihat dari Malaysia dan Singapura.
Melalui sesi perbualan, Women & Wealth Talk, jaringan karyawan dan projek kemasyarakatan akan datang, IkonSG berhasrat melahirkan lebih ramai wanita yang berkeyakinan dan berdaya saing.
Acara itu berlangsung pada 24 Oktober, dari 2 hingga 5 petang di De Villa, Centrium Square, dengan setiap penyertaan dikenakan bayaran $50 seorang (termasuk hidangan minum lewat petang atau ‘high tea’).
Hubungi 8750-9018/9625-5913 atau e-mel kelabwanitaikon.sg@gmail.com untuk penyertaan. – HANIM MOHD SALEH


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg