Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daripada komik ke cerita jiwa

Pelukis ilustrasi Nurjannah Suhami guna komik sebagai medium sentuh isu kesihatan mental
Nov 12, 2025 | 5:30 AM
Lukisan komik berjudul, ‘That Time I Cringed So Hard I Ended Up on These Walls?’, karya Nurjannah Suhami, dipamerkan di Funan Underground Pedestrian Link, berdekatan Funan Mall, hasil tugasan khas Pesta Penulis Singapura (SWF).
Lukisan komik berjudul, ‘That Time I Cringed So Hard I Ended Up on These Walls?’, karya Nurjannah Suhami, dipamerkan di Funan Underground Pedestrian Link, berdekatan Funan Mall, hasil tugasan khas Pesta Penulis Singapura (SWF). - Foto ihsan NURJANNAH SUHAIMI

Bagi Nurjannah Suhaimi, setiap perkara kecil dalam kehidupan seharian, walau yang paling membosankan sekalipun, punya cerita menarik yang menanti untuk diungkap.

“Saya suka melihat perkara biasa sebagai sesuatu yang boleh jadi luar biasa,” kata lulusan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu yang kini menjadikan komik sebagai wadah untuk menyentuh isu kesihatan mental dan keinsafan diri.

Kini, pada usia 29 tahun, Nurjannah mencipta sejarah tersendiri apabila karya komiknya bertajuk, That Time I Cringed So Hard I Ended Up on These Walls?, dipamerkan di jambatan pejalan kaki bawah tanah Funan atau Funan Underground Pedestrian Link, berdekatan Funan Mall, hasil tugasan khas Pesta Penulis Singapura (SWF).

Pameran itu berlangsung dari 15 Oktober hingga 30 November 2025, dan menampilkan sisi diri pelukis muda ini yang tidak takut untuk mentertawakan kesilapan sendiri.

“Saya terinspirasi oleh pengalaman peribadi… setiap kali saya mengenang keputusan masa lalu, saya akan ‘cringe’ (malu).

“Tapi kemudian saya sedar, detik-detik itulah yang membentuk siapa saya hari ini,” ujar Nurjannah sambil tersenyum.

Ketawa Pada Diri Sendiri

Dalam karya komik itu, watak utama bernama Apollo kembali ke masa lalu untuk menghentikan “peristiwa paling memalukan” dalam hidupnya.

Namun dia mendapati “musuh misteri” yang cuba menggagalkan rancangannya adalah dirinya sendiri yang sudah dewasa.

Melalui kisah itu, Nurjannah ingin menyampaikan mesej bahawa rasa malu atau ‘cringe’ adalah sebahagian daripada proses menjadi lebih baik.

“Ramai orang berhenti mencuba hanya kerana mereka malu dengan cubaan pertama mereka. Tapi sebenarnya, rasa malu itu tanda kita sedang berkembang,” katanya.

Anak kedua personaliti komedi dan pengacara Singapura, Suhaimi Yusof, Nurjannah dibesarkan dalam persekitaran kreatif.

Namun, perjalanan seninya lebih bersifat mengkaji dan bermuhasabah diri.

Melalui komik seperti, Worlds Apart: A Conversation about Mental Health, yang dihasilkannya bersama penulis Wayne Rée, beliau menzahirkan perjuangan dalaman manusia dalam bentuk metafora visual yang mudah dihayati.

“Ada perkara yang lebih mudah ditunjukkan daripada diceritakan.

“Dalam komik, pembaca tidak hanya melihat watak… mereka menjadi watak itu.

“Ia menjadikan kisah tentang kesihatan mental lebih mudah difahami dan dirasai,” jelasnya.

Dari Jurnal ke Dinding Funan

Nurjannah mengakui dirinya bukan pelukis komik yang dilatih secara formal.

Namun, disiplin dan rasa ingin tahunya tinggi. Beliau sentiasa membawa buku nota dan pena ke mana-mana, mencatat idea sebelum ia hilang.

“Menulis dengan tangan membantu saya mengekalkan fokus. Kalau guna telefon, saya akan tergoda buka aplikasi lain,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Beliau juga sering melukis menggunakan pena penanda tanpa pemadam, supaya tidak terlalu takut membuat kesilapan.

“Kesilapan adalah sebahagian daripada proses kreatif. Dengan itu saya belajar untuk lebih yakin dan jujur pada hasil sendiri,” katanya.

Buku, Understanding Comics, karya Scott McCloud, menjadi panduan penting buatnya, membuka mata tentang bagaimana komik boleh menjadi medium komunikasi yang kuat dan penuh emosi.

Apabila ditanya bagaimana beliau mengimbangi humor dengan kerentanan diri, Nurjannah menjawab dengan jujur:

“Humor bagi saya ialah kebenaran yang disembunyikan di sebalik jenaka. Dalam karya saya, saya guna humor bukan untuk menutup ketidaksempurnaan, tapi untuk meraikannya.”

Sebagai contoh, dalam komik terkiniya, watak Apollo digambarkan sebagai peminat muzik ‘emo’, satu sisi dirinya yang sering dianggap ‘cringe’, tetapi tetap penting dalam perjalanan jati dirinya.

“Bila kita boleh ketawa pada diri sendiri tanpa merendahkan diri, di situlah bermulanya keaslian,” ujarnya.

Warisi Semangat Kreatif

Walaupun sering meragui diri sendiri, Nurjannah belajar untuk menerima pujian dengan hati terbuka.

“Saya dulu terlalu keras mengkritik diri sendiri.

“Tapi bila orang kata mereka tersentuh dengan karya saya, saya belajar untuk percaya pada kekuatan mesej yang saya sampaikan,” katanya.

Beliau juga mengakui ayahnya sebagai sumber inspirasi yang besar.

“Ayah seorang yang sangat gigih dan berani mencuba perkara baru. Bila saya rasa buntu, saya boleh berbincang dengannya kerana dia memahami dunia kreatif,” tambahnya.

Kini, selain berkarya, Nurjannah turut mengendalikan akaun Instagram @roses.from.the.quran, di mana beliau bersama rakan-rakan dari Rose of Madinah menzahirkan kisah mualaf melalui komik – menggabungkan dakwah, seni, dan empati dalam satu ruang kreatif.

Sebagai kesinambungan kepada pameran tersebut, SWF akan menganjurkan sesi perbincangan bertajuk, Try Not To Cringe Challenge: First Drafts, pada 16 November 2025, dari 4 petang hingga 5 petang di Auditorium Ngee Ann, Muzium Tamadun Asia (ACM).

Bersama-sama Nurjannah, acara itu turut menampilkan pemuzik dan penulis, Daryl Qilin Yam, yang akan berkongsi tentang draf pertama mereka yang paling ‘cringe’, dan bagaimana ia akhirnya membentuk karya terbaik mereka.

Panel itu akan meneroka konsep ‘kecacatan awal’ sebagai bahagian penting dalam proses kreatif, memanusiakan perjalanan seorang penulis dan seniman yang tidak selalu indah dan sempurna.

Program itu dikurasi oleh penerbit komik bebas, Difference Engine, dan dijayakan khas oleh SWF.

Dapatkan pas masuk menerusi tempahan di laman web, SWF untuk menyertai acara ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg