Bagi sesetengah wanita, memiliki satu kerjaya sudah cukup mencabar.
Namun ada juga yang memilih untuk menyulam lebih daripada satu tanggungjawab.
Ia bukan kerana ingin dilihat hebat, tetapi kerana setiap bidang itu membawa makna dan amanah tersendiri.
Itulah semangat yang dibawa pemilik jenama salon wanita, Pearlista, Cik Nurashikin Jasni, 43 tahun, yang bukan sahaja mengemudi tiga cawangan perniagaan rambut khusus buat Muslimah, malah kekal aktif sebagai ejen hartanah di PropNex Realty.
Di sebalik rutin harian yang padat, beliau tetap menjadikan kesejahteraan tiga anaknya sebagai panduan utama dalam setiap keputusan.
Bagi beliau, dunia kecantikan bukan sekadar tentang rupa.
Ia tentang menyantuni wanita, membina keyakinan, dan mencipta ruang selamat.
Dan seperti dalam dunia hartanah, setiap interaksi adalah peluang untuk memberi nilai, sama ada melalui perkhidmatan, nasihat, atau keprihatinan kecil yang mampu mengubah hari seseorang.
Cik Nurashikin, yang sebagai personaliti televisyen lebih dikenali sebagai Nura J, mengakui terlepas pandang untuk meraikan sedekad penubuhan Pearlista pada 2024.
Namun, beliau gembira salun tersebut masih teguh pada usia 11 tahun.
Pearlista lahir daripada keperluan untuk menyediakan ruang selamat dan ada privasi buat wanita Muslimah yang ingin merawat rambut mereka tanpa berasa risau.
Sebagai ejen hartanah sejak 2012, Cik Nura berkata dunia hartanah banyak memberi inspirasi dalam dunia perniagaan.
“Saya lihat ramai ejen buka kafe dan syarikat reka bentuk dalaman. Dari situ saya fikir, kenapa tidak saya buka salun untuk cipta peluang kerja?”
Namun setiap perniagaan tetap ada cabaran tersendiri.
“Salah satu keputusan paling sukar adalah menutup cawangan pertama kami di Icon@Changi.
“Tetapi ia keputusan penting yang menjimatkan kos dan membolehkan kami fokus semula. Kami anggap ia satu ‘reboot’ (but semula),” kongsi beliau.
Kini, Pearlista beroperasi dari tiga lokasi iaitu Far East Plaza, Clementi dan Woodlands.
Ia bukan sekadar salun, jenama itu turut memiliki rangkaian produk penjagaan rambut Pearlista yang merangkumi penyental kulit kepala, serum, masker, tonik, dan semburan rambut.
“Apa yang membuat saya terus bersemangat ialah hubungan saya dengan pelanggan.
“Saya tidak pernah bayangkan akan hasilkan produk sendiri, tapi keperluan mereka membentuk Pearlista,” ujar Cik Nura.
“Kami juga baru melancarkan scrub detox dengan Habbatus Sauda, seiring dengan pendekatan kami yang berpusatkan Muslim.”
Tidak berhenti di situ, beliau turut menjadikan perniagaan itu sebagai wadah untuk membantu.
Salah satu daya usahanya termasuk menyumbangkan tuala wanita kepada rumah perlindungan untuk remaja perempuan, tanda keprihatinan terhadap keperluan asas wanita muda.
“Kadang-kadang kita tak perlu hebohkan semua kebaikan, tapi saya percaya barakah datang apabila kita berkongsi,” katanya.
Anak-anaknya, Nyla, 20 tahun; Oumar, 10 tahun; dan Zeyda, enam tahun, menjadi nadi kekuatan.
“Saya tak kejar duit, saya kejar keberkatan. Anak-anak saya yang dorong saya.
“Nyla kini di Universiti Nasional Singapura (NUS); Oumar pula bercita-cita jadi pemain bola. Zeyda pula akan masuk sekolah rendah pada 2026.
“Mereka semua berbeza, dan saya sesuaikan diri ikut keperluan mereka,” ujarnya.
Bagi bakal usahawan wanita, pesannya jelas: “Jangan takut gagal. Cuba dahulu. Kalau jatuh, bangkit semula. Kegagalan adalah ruang untuk ‘reset’.”
Untuk mengurus tekanan, beliau mengamalkan rutin pagi, iaitu berjalan kaki sambil mendengar podcast, dan paling penting, menelefon ibunya yang kini berusia 73 tahun, setiap hari.
“Waktu pagi dengan mak saya tu sangat berharga. Saya akan minta dia doakan saya, terutama bila rasa tertekan,” tambahnya.
Apabila ditanya tentang pesaing, Cik Nura tersenyum.
“Dulu saya takut pesaing. Sekarang saya sedar, pesaing sebenar ialah diri sendiri. Fokus pada pelanggan yang menyokong dan bantu kita terus berkembang,” katanya.
Dengan strategi pemasaran melalui Instagram, TikTok dan Facebook, serta semangat mendengar masalah pelanggan seperti “kenapa kulit kepala cepat berbau?”, beliau terus kekal relevan dalam industri yang penuh persaingan.
“Bisnes bagi saya bukan sekadar jual produk atau servis. Ia tentang menyentuh hidup wanita, sama ada melalui rawatan rambut, nasihat hartanah atau hanya ruang untuk mereka rasa dihargai,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg