Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panduan hilangkan kesan kotoran degil pada pakaian

Jul 16, 2025 | 5:30 AM
dakwat pena, kotor
Baju yang terkena dakwat pena. - Foto DOBI HARUM

Kita semua pernah berdepan dengan keadaan apabila pakaian kesayangan terkena kotoran yang sukar dihilangkan.

Sama ada terkena dakwat, karat, kunyit atau minyak, setiap jenis kotoran memerlukan pendekatan berbeza.

Berita baiknya, anda tidak perlu berbelanja besar untuk membeli pencuci khas – banyak bahan yang boleh digunakan, sebenarnya sudah ada di dapur!

Berikut panduan praktikal untuk menangani pelbagai jenis kotoran degil pada pakaian, seperti yang disarankan laman web, Dobi Harum.

1. Kesan Karat

Campurkan perahan limau nipis dengan sesudu kecil garam halus. Gosok campuran itu pada bahagian berkarat, biarkan selama beberapa minit, kemudian cuci dengan air sabun dan bilas seperti biasa.

2. Dakwat Pena

Terdapat beberapa kaedah yang boleh dicuba:

Susu Tepung: Bancuh tiga sudu susu tepung dengan sedikit air pekat, sapu pada kesan dakwat selama 30 minit sebelum dicuci.

Limau Nipis dan Garam: Gosok dengan campuran limau nipis dan garam. Jika tidak hilang, rendam dengan air suam bercampur limau nipis dan garam selama lima minit.

Cuka: Titiskan cuka pada dakwat, biarkan lima minit dan gosok perlahan.

Penyembur Rambut: Sembur pada dakwat, biarkan kering, bilas dengan air dan sedikit cuka, kemudian cuci seperti biasa.

3. Kunyit

Sapu sabun pencuci pinggan pada kesan kunyit dan biarkan selama 15 hingga 20 minit. Kemudian basuh seperti biasa.

4. Cat

Rendam pakaian dalam minyak tanah selama beberapa jam. Selepas itu, basuh dengan sabun dan bilas bersih.

5. Minyak

Jangan basahkan dahulu. Sapukan sabun mandi terus ke bahagian berminyak, gosok hingga kotoran hilang sebelum dibilas.

6. Tahi Lalat (kulapuk atau kulat yang tumbuh pada permukaan pakaian lembap)

Campur secawan cuka makan ke dalam setengah baldi air. Rendam pakaian semalaman, kemudian basuh dan jemur hingga betul-betul kering.

7. Gam Kuat

Gunakan pencair iaitu thinner (boleh dibeli di kedai perkakasan). Basahkan pakaian, sapu pencair dan gosok berulang kali hingga gam tanggal sepenuhnya.

8. Darah

Basahkan bahagian berdarah. Gosok dengan garam halus, sabun mandi atau tuang sedikit minuman Coca-Cola dan gonyoh sehingga bersih.

9. Kesan Peluh

Biasanya terdapat di bahagian kolar atau lengan. Gosok dengan syampu atau sabun mandi dan berus perlahan hingga bersih.

10. Luntur Warna daripada Pakaian Lain

Rebus air dengan detergen dan perahan limau nipis, masukkan pakaian ke dalam air mendidih tersebut. Atau rendam pakaian dalam air bercampur cuka makan.

11. Gula-Gula Getah (Chewing Gum)

Pencair atau ‘Thinner’: Sapukan pada bahagian yang terkena dan sental hingga tertanggal.

Air batu dan Minyak: Letak ketulan ais pada kesan gula-gula getah hingga mengeras, kikis perlahan-lahan, kemudian sapu sedikit minyak masak untuk membersihkan baki.

12. Getah Pisang

Sapu kapur pada kesan getah, biarkan seketika, kemudian basuh seperti biasa dengan detergen.

13. Kopi atau Teh

Rendam pakaian dalam air suam bersama detergen, perahan limau nipis dan sedikit serbuk penaik. Kemudian cuci seperti biasa.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg