Di sebalik fizikalnya yang kecil, Cik Shasha Malik, 34 tahun, bagai memiliki semangat besi semberani yang kental.
Sebagai ibu dua anak kecil – seorang berusia dua tahun dan seorang lagi baru lima bulan – beliau tidak hanya sibuk menguruskan rumah tangga, bahkan juga berusaha membina perniagaan dari rumah demi masa depan keluarganya.
Lulusan Diploma Perakaunan dari Politeknik Nanyang (NYP), Cik Shasha pernah bekerja dalam bidang audit dalaman dan pemasaran digital sebelum memutuskan untuk menceburi dunia keusahawanan.
Pengalaman bekerja sepenuh masa itulah membuka matanya tentang peluang perniagaan yang boleh diteroka berdasarkan bakatnya dalam pemasaran digital.
“Saya jatuh cinta dengan dunia perniagaan sejak 2017,” kata anak bongsu tiga beradik itu.
Pada 2018, beliau membuka agensi pemasaran digitalnya sendiri, bagi membantu syarikat Muslim meningkatkan kehadiran digital mereka.
Menurut Cik Shasha, perniagaannya itu berkembang sihat dengan beliau berjaya mendapat banyak langganan dan mampu menggajikan beberapa pekerja.
Namun siapa sangka panas yang diharapkan berpanjangan, menjadi muram apabila awan berarak mendung dan hujan melembapkan semangat yang tadinya berkobar-kobar.
Pada 2020, Cik Shasha didiagnosis dengan prolactinoma, sejenis ketumbuhan di otak yang menjejas sistem reproduksinya.
Doktor memberitahunya bahawa beliau mungkin sukar hamil.
Akibat tekanan perasaan, beliau mengambil keputusan untuk menutup agensi pemasaran digitalnya dan menumpukan perhatian pada keadaan kesihatannya.
Mengenai anak, beliau berkata: “Saya hampir putus asa, tetapi saya memilih untuk terus berusaha.”
Mujurlah, beliau akhirnya dikurniakan cahaya mata, sekali gus membuktikan keajaiban tetap berlaku.
Kesal dengan keputusan beliau menghentikan agensi pemasaran digital, Cik Shasha memikirkan cara untuk bangkit semula, menggunakan segala bakat yang beliau ada dalam perniagaan dalam talian.
Beliau kemudian diberi inspirasi untuk memulakan perniagaan membekal cenderahati untuk majlis perkahwinan dan korporat, dengan menyediakan hadiah yang boleh ditempah berdasarkan permintaan khusus pelanggan.
Justeru pada 2020, Cik Shasha melancarkan Hadia SG, sebuah perniagaan hadiah peribadi dari rumah.
Bermula dengan rekaan sampul duit Raya yang unik, perniagaannya berkembang pesat, menjana lebih $15,000 dalam tempoh singkat.
Namun, 2023 dan 2024 menjadi tahun penuh cabaran. Keluarganya dilanda ujian bertubi-tubi.
Ini termasuk penipuan pengubahsuaian rumah yang merugikan mereka $20,000; kemalangan motosikal melibatkan suaminya, Encik Muhd Arif Hairudin, seorang anggota polis, yang kemudian menyebabkan Cik Shasha terpaksa menguruskan keluarga dan perniagaan sendirian.
“Ada masa saya hampir menutup perniagaan ini kerana terlalu penat,” akui Cik Shasha.
Di tengah kesulitan, Cik Shasha, menemui semula semangatnya.
Beliau mula mencipta jenama Magnet Surah, produk Islam yang membolehkan kanak-kanak dan keluarga mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dengan hanya satu klik.
Alat berbentuk kotak tipis yang boleh dilekatkan di pintu peti sejuk atau bahan yang boleh menggenggam besi semberani.
Reka bentuknya hasil sentuhan kreativiti Cik Shasha sendiri.
“Awalnya, saya ingin anak saya lebih dekat dengan Al-Quran. Dia mula menghafal basmalah hanya dengan bermain magnet ini,” ceritanya dengan bangga.
Proses penghasilan Magnet Surah melibatkan penyelidikan mendalam.
Ia termasuk mendapatkan nasihat daripada ustaz dan memastikan audio yang digunakan adalah daripada sumber yang sahih.
Produk itu bukan sekadar perniagaan, malah usaha dakwah untuk memudahkan pembelajaran Al-Quran dalam kalangan keluarga.
Antara surah yang dirakamkan dalam magnet itu ialah surah al-Mulk, ayat Kursi, surah At-Tawbah, surah Al-Furqan, surah Maryam dan banyak lagi.
Sambutan bagi Magnet Surah begitu baik sehingga beliau sudah dapat memperolehi kembali modal dalam tempoh beberapa bulan ia dipasarkan.
Walau sibuk menguruskan anak-anak dan kesihatan sendiri, Cik Shasha tetap bersemangat mengembangkan perniagaannya.
Beliau bercita-cita melancarkan lebih banyak produk Islam dan suatu hari nanti memiliki ruang operasi yang lebih besar.
“Impian saya ialah membina aset yang boleh menyokong ibu bapa saya juga.
“Ayah saya sudah berusia, tapi beliau masih bekerja keras sebagai pemandu Grab.
“Saya ingin suatu hari nanti beliau boleh bekerja bersama saya dalam perniagaan ini,” ujarnya dengan mata berkaca.
Cik Shasha mengakui walau sering berdepan dengan rasa penat dan emosi yang turun naik, terutama kerana tahap hormon prolaktinnya yang masih tinggi, namun, beliau enggan menyerah.
“Setiap kali ada rezeki daripada perniagaan, ia mengingatkan saya bahawa Allah sentiasa ada.
“Saya ingin ibu-ibu di luar sana tahu jika saya boleh, anda juga boleh!” tegasnya.
Encik Muhd Arif yang mengusulkan agar penulis mengetengahkan kisah isterinya untuk dikongsi kepada pembaca ruangan ini.
“Shasha inspirasi buat saya dan anak-anak. Walaupun kecil, semangatnya seperti gunung,” akui sang suami dengan bangga.
Ikuti perjalanan Cik Shasha di Instagram @hadiasgofficial dan saksikan bagaimana seorang ibu bertubuh kecil ini terus berjuang untuk keluarga, iman dan memburu impiannya.
Bagi Cik Shasha, kekuatan dirinya bukan terletak pada sebesar mana cabaran itu dihadapi, tapi sekuat mana beliau mampu bangkit kembali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg