Sejak kecil, Cik Sarah Nurul Ain Suhaimi sudah terdedah pada aroma harum daun buluh yang direbus, dan kehangatan dapur.
Di situlah neneknya, Cik Radiah Abdul Wahab, kini 75 tahun, tekun membalut pulut berinti menjadi kuih cang – juga dikenali sebagai bak cang atau zongzi dalam masyarakat Cina.
Kini, pada usia muda 23 tahun, beliau bukan sekadar mewarisi resipi tradisional itu, malah mengangkatnya ke pentas perniagaan menerusi Sarah’s Dumplings.
Ia merupakan sebuah jenama yang bukan hanya mengekalkan cita rasa asli kuih cang, bahkan turut menjadikannya lebih bersifat terangkum buat masyarakat Melayu/Muslim.
“Saya belajar buat kuih cang daripada Nenek. Dulu, Kongkong saya – datuk saya yang berbangsa Cina dan memeluk Islam – teringin makan bak cang. Jadi Nenek belajar buat, dan saya pula belajar resipi itu dan teruskan sampai sekarang,” ujar Cik Sarah, yang merupakan anak sulung tiga beradik.
Namun kejayaannya bukan datang begitu sahaja.
Ibunya, Cik Aini Goh Mohamed Zain, 49 tahun, seorang pegawai kanan perbankan dengan pengalaman lebih 25 tahun, menjadi tunjang penting dari segi kawalan mutu dan aspek pengurusan.
Bahkan Cik Aini sendiri pernah menjual kuih cang secara sambilan pada hujung minggu, beroperasi dari rumah, mengambil tempahan daripada kawan-kawan kerja dan kenalan.
Cik Sarah, yang ketika itu masih pelajar, mengakui seronok membantu ibunya, terutama dalam mencatatkan tempahan.
Didorong minatnya dalam bidang tersebut, Cik Sarah yang ketika menuntut di Politeknik Nanyang, mengambil kursus Perniagaan Makanan dan Minuman.
Kata Cik Aini: “Saya bukan sekadar mahu Sarah ikut jejak saya dalam dunia kewangan, tetapi saya mahu dia berani ambil risiko yang dikira.
“Jadi saya minta Sarah bentangkan pelan satu, tiga, lima tahun. Bila beliau tunjuk komitmen, barulah saya setuju bantu dari segi pelaburan.”
Cik Sarah lantas memulakan perniagaannya pada 2020 selepas tamat pengajian dalam jurusan perniagaan dan pemasaran dari Universiti Murdoch, Australia Barat.
Pelaburan awal bernilai sekitar $30,000 disalurkan oleh bapanya, Encik Suhaimi Abdul Rahman, seorang eksekutif perbankan, bagi menampung kos pengubahsuaian dan kelengkapan dapur.
Kuih cang tradisional merupakan sejenis kuih yang terdiri daripada pulut berinti – seperti daging ayam, lembu, cendawan, dan buah berangan – dibungkus dalam daun buluh dan dikukus selama beberapa jam.
Di Sarah’s Dumplings, keenakan ini diberi nafas baharu.
“Kami mula dengan perisa asas – ayam dan daging. Tapi pelanggan cadangkan tambah telur masin, cili padi... dan akhirnya, terciptalah perisa paling laris kami: daging lembu cili padi dengan telur masin,” jelas Cik Sarah dengan bangga.
“Saya mahu lebih ramai orang Melayu rasa keenakan kuih tradisional Cina yang autentik, dalam versi halal,” tambah beliau.
Tidak hanya berhenti di situ, beliau juga memperkenalkan versi istimewa seperti rendang, kerang, dan bercadang untuk mencipta dumpling manis, hasil permintaan pelanggan.
“Saya suka dengar maklum balas pelanggan dan eksperimen resepi. Ini cara saya kekalkan kreativiti sambil menyesuaikan perniagaan dengan kehendak pasaran,” tambahnya.
Antara pencapaian terbesarnya, kata Cik Sarah, ialah apabila beliau menerima tempahan dalam jumlah yang besar daripada hotel bertaraf lima bintang dan restoran Cina ternama di Singapura sempena pesta Bot Naga, meliputi antara 300 dengan 600 tempahan dalam satu masa.
Pada hari-hari biasa, beliau boleh menghasilkan purata 260 bungkus kuih cang sehari.
Beliau menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar apabila restoran Cina memilih syarikatnya untuk membekalkan kuih cang sedangkan terdapat banyak lagi peniaga Cina yang menawarkan produk itu.
Sejauh ini beliau memasarkan perniagaannya menerusi media sosial seperti Instagram dan Facebook dengan tempahan boleh diambil dari dapur pusatnya di The Promenade@Pelikat, 183 Jalan Pelikat, #01-18 (kawasan Hougang).
Terdapat juga khidmat penghantaran ke rumah, selain menemui pelanggan secara langsung di pasar malam atau reruai di acara ekspo.
Walaupun perniagaan itu nampak menyelerakan dari luar, hakikatnya ia menuntut tenaga, masa dan ketahanan jiwa.
“Saya tiada staf tetap. Kebanyakan masa saya seorang diri, dengan bantuan adik-beradik dan ibu bila perlu.
“Sukar dapat pekerja tetap kerana proses membuat kuih ini sangat rumit dan memerlukan ketelitian tinggi,” jelasnya.
Dua adiknya, lelaki, berusia 19 tahun dan 14 tahun.
Selain cabaran tenaga kerja, beliau juga berdepan tekanan kos sewa dan bahan mentah yang kian meningkat.
Namun harga jualannya tetap dikekalkan demi menjaga kesetiaan pelanggan.
Pengorbanan paling besar mungkin datang dari aspek sosial – masa untuk diri sendiri dan teman sebaya hampir tiada.
“Saya tak banyak kawan sekarang. Kalau nak keluar dengan saya, maksudnya kena tolong kat gerai juga. Tapi saya okey, sebab inilah jalan yang saya pilih,” tambahnya.
Walaupun tumpuannya kini adalah kuih cang, Cik Sarah menyimpan hasrat untuk membuka kafe sendiri suatu hari nanti.
“Saya memang sejak kecil nak ada perniagaan sendiri. Pernah terfikir jadi cikgu, tapi akhirnya saya ikut haluan dalam perniagaan makanan,” kongsinya.
Visi jangka panjangnya? Mewujudkan kilang pemprosesan agar produknya boleh dipasarkan secara besar-besaran, termasuk ke peringkat antarabangsa.
Namun baginya, apa yang lebih penting adalah memastikan kuih tradisional itu terus dikenali dan dihargai.
“Saya nak bawa rasa asli kuih cang kepada masyarakat kita. Kalau kita tak cuba atau kenalkan kepada generasi muda, nanti hilang begitu saja,” ujar Cik Sarah.
• Dibuat daripada pulut dan berisi daging atau bahan lain seperti cendawan dan buah berangan.
• Dibungkus menggunakan daun buluh, kemudian dikukus atau direbus.
• Merupakan makanan tradisional masyarakat Cina yang lazimnya dimakan ketika perayaan Bot Naga.
• Versi halal kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg