Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak lagi sendiri: Ibu bangkit bawa harapan untuk penjaga lain

Faiza Sanip, kongsi perjalanan sukar 12 tahun jaga anak lelaki hidap skizofrenia, yang ubah kehidupannya daripada wanita berkerjaya kepada penjaga sepenuh masa
Aug 13, 2025 | 5:30 AM
Cik Faiza Sanip menghadapi cabaran menjaga anak beliau yang menghidap skizofrenia secara sepenuh masa, di samping berdepan kekeliruan, stigma masyarakat dan kurangnya sokongan. 
Cik Faiza Sanip menghadapi cabaran menjaga anak beliau yang menghidap skizofrenia secara sepenuh masa, di samping berdepan kekeliruan, stigma masyarakat dan kurangnya sokongan.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ketika Cik Faiza Sanip meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus pendidikan di pertubuhan pendidikan Islam, Perdaus Singapura, beliau tidak menyangka kehidupannya akan berubah sepenuhnya

Anak lelakinya yang berusia 18 tahun ketika itu disahkan menghidapi skizofrenia.

Untuk menjaganya, Cik Faiza, 56 tahun, perlu membuat keputusan daripada menjadi wanita berkerjaya kepada penjaga sepenuh masa yang berjuang secara fizikal, emosi dan rohani.

Menyingkap detik iti, Cik Faiza, berkata: “Pada peringkat awal, dia (anaknya) pandang kosong, tidak responsif langsung. Saya rasa macam saya hilang anak saya.”

Itulah gambaran kesedihan Cik Faiza ketika mengimbas kembali saat-saat awal menyedari perubahan drastik anak keduanya daripada enam beradik, yang ketika itu sedang menuntut di prauniversiti satu.

Ibarat terputus dari dunia luar, keliru dan keletihan

Enam bulan pertama dipenuhi tanda tanya. Anaknya menjauhkan diri, enggan ke sekolah, dan hanya berdiam tanpa sebab.

Pada mulanya, pihak sekolah menyangka ia masalah tingkah laku biasa.

Namun, naluri seorang ibu dan nasihat neneknya yang pernah bertugas di hospital akhirnya mendorong anggota keluarga membawa anaknya untuk mendapatkan penilaian perubatan.

Diagnosis awal tidak menyebut skizofrenia, hanya “perlukan bantuan mengawal emosi”.

Namun setahun kemudian, gejala semakin memburuk – halusinasi, murung, dan terpisah daripada realiti.

Anaknya terpaksa berhenti sekolah.

“Tak ramai yang faham. Bila saya ceritakan kepada kawan, ramai beri nasihat yang mengelirukan seperti jangan makan ubat, jangan bawa ke hospital, takut makin teruk,” kongsi Cik Faiza.

Selain daripada menjaga anak beliau secara sepenuh masa, kekeliruan, stigma masyarakat dan kurang sokongan menyebabkan beliau dan anggota keluarganya hampir keletihan secara sepenuhnya.

Beban kewangan bertambah. Emosinya goyah. Fizikalnya seakan lumpuh.

Beliau mengalami angin ahmar ringan pada 2023 kerana tekanan emosi dan kesihatan yang berpanjangan.

Namun, pandangnya terhadap masa depan anaknya secara perlahan-lahan menjadi lebih mantap apabila Cik Faiza bertemu dengan wakil Caregivers Alliance Limited (kini dikenali sebagai Mindfull Community) ketika menghadiri sebuah konsert di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Saat seseorang bertanya dengan tulus: “Awak penjaga, ya? Awak okey?” – beliau menangis serta-merta.

“Sebab waktu tu, tiada siapa pernah tanya saya, sebagai penjaga, bagaimana perasaan saya.”

Beliau kemudian menyertai program latihan Caregivers-to-Caregivers (C2C) anjuran Mindfull, yang dijalankan dalam talian ketika pandemik Covid-19.

Di situlah beliau akhirnya berasa tidak keseorangan.

Beliau memperoleh bukan sahaja ilmu tentang skizofrenia dan kaedah penjagaan yang betul, malah mendapat sokongan masyarakat yang memahami keadaannya.

“Sebagai Muslim, kita ada iman sebagai kekuatan kita. Tapi apabila ada kawan-kawan seperjuangan yang faham apa kita lalui, ia sangat membantu,” ujarnya.

Daripada peserta, beliau menjadi penggerak perubahan

Pengalamannya memberi inspirasi dan beliau dapat membantu orang lain.

Dengan latar belakang pendidikan dan latihan, beliau mula menjadi sukarelawan pengajar.

Akhirnya, Mindfull melantiknya sebagai pengurus program sepenuh masa, dengan fleksibiliti bekerja dari rumah agar beliau masih boleh menjaga anaknya.

Salah satu sumbangan terbesarnya? Memperjuangkan pelaksanaan kursus C2C dalam bahasa Melayu, yang pertama seumpamanya.

“Ramai penjaga Melayu hadiri kursus Inggeris, tapi mereka lebih selesa dalam bahasa Melayu.

“Apabila saya sampaikan dalam bahasa sendiri dan kongsi pengalaman saya, mereka rasa lebih terbuka. Ini penting untuk hapuskan stigma,” kata Cik Faiza.

Anaknya itu yang kini berusia 30 tahun, berada dalam keadaan terkawal tetapi memerlukan pemantauan berterusan.

Menurutnya, stigma seperti anggapan penyakit mental berpunca daripada sihir atau kurang iman sangat berleluasa.

Apabila ilmu disampaikan dalam bahasa yang difahami, ramai mula sedar sokongan perubatan, terapi dan kaunseling adalah langkah terbaik ke arah pemulihan.

Buat mereka yang masih mencari jawapan, Cik Faiza, mempunyai pesanan:

“Jangan putus asa. Ada sinar di hujung terowong. Kita tidak keseorangan. Bantuan dan sokongan itu ada, maka carilah.”

Beliau menekankan pentingnya penjaga diberi ruang untuk menjaga diri sendiri juga.

Ini kerana perjalanan menjaga insan tersayang yang menghidap penyakit mental seperti skizofrenia atau demensia, adalah panjang dan memenatkan.

Malah, beliau menyokong suami menjaga bapa mentuanya yang menghidap demensia.

“Penjaga juga manusia. Kita perlukan rehat, sokongan emosi dan kewangan, dan ilmu untuk bertahan dalam jangka masa panjang.”

Sokongan yang lebih meluas diperlukan

Kisah Cik Faiza mencerminkan realiti yang dilalui oleh ramai penjaga di Singapura – sunyi, senyap, namun sarat pengorbanan.

Justeru, wujud keperluan mendesak bagi sistem sokongan yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Itulah matlamat pelancaran, Geran Pemacu Sokongan Penjaga OrangeAid Income, pada 25 Julai.

Ia satu daya usaha bersama antara Income Insurance dengan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) bagi memperkukuh keupayaan Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA), dalam membantu penjaga seperti Cik Faiza.

“Apabila pihak swasta seperti Income dan pihak awam seperti NCSS bekerjasama, kita boleh bantu lebih ramai penjaga tanpa terlalu bergantung pada dana pemerintah semata-mata,” katanya.

Melalui pembiayaan seperti itu, program sokongan, kegiatan riadah dan pendidikan untuk penjaga dan anggota keluarga dapat dijalankan secara percuma, menjadikan sokongan penjagaan lebih bersifat terangkum, mampan dan berkesan.

Kini, Cik Faiza bukan sahaja seorang ibu dan penjaga, bahkan juga pendidik, pemimpin masyarakat dan suara yang membawa harapan kepada ramai.

“Apa yang saya lalui ada hikmahnya. Saya diberi peluang untuk bantu lebih ramai penjaga.

“Kita mungkin tidak dapat ubah dunia serta-merta, tapi kita boleh mula dengan membina satu komuniti yang lebih penyayang, lebih memahami,” tambahnya.

Dan kadangkala, itulah permulaan yang paling bermakna.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Mindfull Community atau sokongan penjaga, anda boleh melayari pautan, https://www.mindfull.org.sg/ atau hubungi mereka secara langsung di 6460-4400.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg