Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program khas persiap pesakit kencing manis tunai haji, umrah

Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah bimbing jemaah dalam beberapa bidang termasuk penjagaan kaki, gaya hidup di Arab Saudi
Jun 5, 2025 | 7:18 PM
Jururawat amalan lanjutan atau klinisian, di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Mariana Mahadi (kiri), telah memulakan program khas – Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah – bagi membantu pesakit. Pasukannya turut terdiri daripada (dua dari kiri) Pakar Pemakanan, Cik Pang Kang Ru; Penyelaras Program, Cik Citra Dianti Sonarno; Jururawat Kanan, Cik Nurasrina Kamsani; ‘Podiatrist’ Kanan, Cik Nadiah Raman; Ahli Fisioterapi Kanan, Encik Muhammad Jazimin Haron; Perunding, Dr Tan Seng Kiong. 
Jururawat amalan lanjutan atau klinisian, di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Mariana Mahadi (kiri), telah memulakan program khas – Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah – bagi membantu pesakit. Pasukannya turut terdiri daripada (dua dari kiri) Pakar Pemakanan, Cik Pang Kang Ru; Penyelaras Program, Cik Citra Dianti Sonarno; Jururawat Kanan, Cik Nurasrina Kamsani; ‘Podiatrist’ Kanan, Cik Nadiah Raman; Ahli Fisioterapi Kanan, Encik Muhammad Jazimin Haron; Perunding, Dr Tan Seng Kiong.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seorang anggota jemaah wanita yang menghidap kencing manis hampir kehilangan salah satu jari kakinya selepas pulang daripada menunaikan umrah.

Hal itu terjadi kerana beliau tidak mengambil langkah sewajarnya selepas terpijak serpihan kaca seminggu sebelum berangkat ke tanah suci.

Akibatnya, luka di jari kakinya menjadi semakin teruk.

Kejadian itu mencerminkan trend yang diperhatikan jururawat amalan lanjutan atau klinisian, di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Mariana Mahadi, bahawa pesakit Muslim kerap mengalami komplikasi semasa dan selepas haji atau umrah akibat kurang persediaan.

Itu mendorong beliau memulakan program khas – Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah – bagi membantu pesakit kencing manis membuat persiapan menyeluruh.

Jururawat amalan lanjutan atau klinisian, di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Mariana Mahadi, bertekad memulakan satu program khas – Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah – yang bertujuan membantu pesakit kencing manis membuat persiapan menyeluruh sebelum menunaikan ibadah suci tersebut.
Jururawat amalan lanjutan atau klinisian, di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Mariana Mahadi, bertekad memulakan satu program khas – Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah – yang bertujuan membantu pesakit kencing manis membuat persiapan menyeluruh sebelum menunaikan ibadah suci tersebut. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau, yang mempunyai pengalaman jururawat selama 20 tahun – 13 tahun dalam bidang kencing manis – berkata:

“Komplikasi yang biasa berlaku termasuk serangan gula rendah, paras gula tinggi, masalah berkaitan pemakanan dan juga jangkitan. Melihat trend yang semakin meningkat ini, saya mula membaca serta buat kajian mengenainya.

“Dengan kesedaran itu, saya menjadi lebih bersemangat dan mendapat inspirasi untuk membangunkan satu program pendidikan khas untuk golongan pesakit ini, agar mereka dapat menunaikan ibadah haji atau umrah dengan selamat dan bermakna.”

Menurutnya, terdapat artikel perubatan yang membincangkan perkara tersebut. Ini termasuk perangkaan dan juga kepentingan penjagaan kendiri bagi pesakit kencing manis.

Berkongsi mengenai pesakit yang mengalami kesukaran itu, Cik Mariana berkata wanita itu tidak memberitahu doktor di klinik perubatan umum (GP) bahawa beliau menghidap kencing manis.

Lantas, doktor hanya memberinya antibiotik.

Ketika menunaikan umrah pula, lukanya semakin teruk dan kadar gulanya juga amat tinggi.

Ini sekali gus menghambat ibadah umrahnya di sana apabila beliau tidak mampu melakukan ibadahnya dengan tenang.

“Selepas pulang ke Singapura, keadaannya menjadi semakin teruk dengan ibu jari kaki kakinya hampir jadi hitam.

“Kami kemudian bawanya jumpa dengan doktor, dan pasukan kami mencadangkan agar jari tersebut dipotong. Namun, beliau tidak ingin menjalani amputasi.

“Ketegasannya itu menjadi satu titik perubahan besar dalam hidupnya – apabila beliau terus bekerjasama dengan kami untuk menyelamatkan jarinya,” ujar Cik Mariana, yang berkata kini luka di jari pesakit itu semakin baik dan kadar gulanya berada di paras selamat.

Dilancarkan pada 2024 selepas program perintis pada 2023, inisiatif itu telah melengkapkan sekitar 40 peserta berusia 30 hingga 70 tahun dengan kemahiran penting pengurusan kesihatan melalui lima sesi berstruktur.

GEM merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) dalam pendidikan kencing manis, dan terbuka kepada semua pesakit yang menghidap penyakit itu di kawasan Tengah dan utara Singapura.

Diadakan di Pusat Perubatan Admiralty, program itu menjangkau pendidikan kencing manis yang biasa dengan menawarkan panduan praktikal.

Cik Mariana berkata menerusi program yang berunsur interaktif itu, pesakit akan dibimbing dalam beberapa bidang.

Ini termasuk persiapan dari segi ubat-ubatan, pemakanan, gaya hidup dan penyesuaian dengan cuaca di Arab Saudi, penjagaan kaki, serta mengenal pasti gejala dan menanganinya apabila kadar gula atau tekanan darah berada pada tahap tidak selamat.

Sebagai peneraju program, Cik Mariana harus mengawasi program itu dan melakar kandungannya secara menyeluruh.

Di samping Cik Mariana, pasukannya terdiri daripada tujuh orang – ‘podiatrist’ (pakar perubatan bahagian kaki), ahli fisioterapi, penyelaras program, jururawat, pakar pemakanan, dan perunding.

Pasukan Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah terdiri daripada (dari kiri) pakar pemakanan, Cik Pang Kang Ru; Jururawat Kanan, Nurasrina Kamsani; ‘Podiatrist’ Kanan, Cik Nadiah Raman; Ketua Program dan Jururawat Amalan Lanjutan, Cik Mariana Mahadi; Penyelaras Program, Cik Citra Dianti Sonarno, Ahli Fisioterapi Kanan, Encik Muhammad Jazimin Haron; Perunding, Dr Tan Seng Kiong. 
Pasukan Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah terdiri daripada (dari kiri) pakar pemakanan, Cik Pang Kang Ru; Jururawat Kanan, Nurasrina Kamsani; ‘Podiatrist’ Kanan, Cik Nadiah Raman; Ketua Program dan Jururawat Amalan Lanjutan, Cik Mariana Mahadi; Penyelaras Program, Cik Citra Dianti Sonarno, Ahli Fisioterapi Kanan, Encik Muhammad Jazimin Haron; Perunding, Dr Tan Seng Kiong.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pasukan itu juga akan terus berhubung dengan pesakit – seminggu selepas mereka menunaikan ibadah, serta antara enam dengan12 bulan selepas itu.

Ini agar pesakit tidak menghadapi sebarang komplikasi dan tetap peka dengan penjagaan kencing manis.

Memandangkan program GEM khusus untuk ibadah haji dan umrah, Cik Mariana mengundang asatizah untuk mendidik pasukannya tentang pantang larang ibadah, agar program dapat disesuaikan dengan keperluan agama.

“Ustazah saya, yang berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), memberikan satu sesi taklimat secara dalam talian kepada seluruh pasukan kami.

“Sesi itu bukanlah fokus kepada aspek keagamaan secara mendalam, tetapi lebih kepada memberi penerangan umum tentang ibadah umrah dan haji – termasuk susunan rukun, pantang larang, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya yang juga mempunyai ijazah sarjana kejururawatan dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Antara kemudahan yang dapat ditawarkan program itu ialah menasihati jemaah supaya membeli sistem pemantauan glukosa secara berterusan atau (CGM).

Berbentuk seperti plaster, ia akan ditampal pada bahagian atas lengan atau perut, untuk meneliti kadar gula mereka.

Ia boleh dipakai selama beberapa hari hingga minggu, bergantung pada jenisnya. Peranti itu berfungsi secara bluetooth dan boleh berhubung dengan telefon pintar untuk menghantar data bacaan gula secara automatik setiap lima minit.

Sistem pemantauan glukosa secara berterusan (CGM) berfungsi untuk meneliti kadar gula pesakit.
Sistem pemantauan glukosa secara berterusan (CGM) berfungsi untuk meneliti kadar gula pesakit. - Foto TANGKAP SKRIN GOOGLE

Antara anggota jemaah yang sudah meraih manfaat program itu ialah Cik Faiza Sanip, 55 tahun, yang kini menunaikan ibadah haji.

Cik Faiza menghidapi pelbagai masalah kesihatan termasuk kencing manis, darah tinggi, hiperlipidemia (kolesterol tinggi), dan sedang dalam pemulihan selepas diserang angin ahmar pada 2023.

Menyertai program itu pada April, beliau berkata:

“Kebimbangan saya ialah tidak mempunyai tenaga dan kesihatan untuk menunaikan tuntutan haji yang sangat mencabar dari sudut fizikal, mental, emosi dan rohani.

“Yang paling saya bimbang, risiko saya terkena strok lagi di tanah suci dan menyusahkan orang lain untuk menolong saya.”

Cik Faiza Sanip (kanan) merupakan antara 40 pesakit kencing manis yang telah meraih manfaat daripada program khas – Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah. Beliau dilihat bersama kakak iparnya, Cik Rahayu Mohamad, ketika melaksanakan ibadah haji pada 2025.
Cik Faiza Sanip (kanan) merupakan antara 40 pesakit kencing manis yang telah meraih manfaat daripada program khas – Pendidikan dan Pemerkasaan Kumpulan (GEM) edisi Haji dan Umrah. Beliau dilihat bersama kakak iparnya, Cik Rahayu Mohamad, ketika melaksanakan ibadah haji pada 2025. - Foto ihsan FAIZA SANIP

Menurutnya, program GEM itu sangat bermanfaat untuk kededua jemaah haji dan umrah.

“Programnya menyeluruh dan kurikulumnya disusun dengan baik dan sangat terperinci. Cik Mariana membawa kita melalui persiapan sebelum, semasa dan selepas haji.

“Yang paling saya suka, ia memberi kesedaran bahawa saya masih boleh buat tuntutan haji saya dengan baik, walaupun saya menghidapi kencing manis,” tambahnya.

Beliau menambah kini berasa kurang bimbang kerana sedar tentang cara mengelak gula tinggi dan rendah, serta cara mengatasinya jika ia berlaku.

“Walaupun kita ada penyakit kronik, namun dengan ilmu dan penjagaan kesihatan yang baik, kita dapat terus beribadah dengan baik dan selesa ketika haji dan umrah,” ujarnya.

Memuji program tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kencing Manis dan Metabolik Kumpulan NHG, Profesor Madya Daniel Chew, berkata NHG berhasrat menyokong perubahan gaya hidup yang mampan bagi pesakit kencing manis.

“Di NHG, kami percaya pendidikan adalah antara cara paling berkesan dalam usaha menangani kencing manis.

“Program seperti GEM bukan sahaja membekalkan individu dengan ilmu dan kemahiran untuk mengurus keadaan mereka, tetapi turut mencerminkan komitmen kami yang lebih luas untuk memperkasa pesakit dan keluarga mereka di setiap peringkat perjalanan kesihatan mereka,” katanya.

Acara GEM edisi haji dan umrah biasanya akan diadakan dua tahun sekali dengan edisi seterusnya bakal berlangsung pada 11 Oktober 2025.

Program itu sesuai bagi jemaah yang ingin menunaikan umrah atau haji, empat hingga enam bulan sebelum berangkat.

Pesakit yang berminat untuk sertai program itu boleh menghubungi Penyelaras Program, Cik Citra Dianti Sonarno, di talian 9675-7011 atau e-mel kepada sonarno.citra.d@ktph.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg