Topik diikuti
Pergi ke BHkuTokoh perbankan, alam sekitar dinobat penerima anugerah Her World
CEO wanita pertama DBS Group, Tan Su Shan; pengasas bersama saluran media pendidikan, Kong Man Jing, diiktiraf
Tokoh perbankan, alam sekitar dinobat penerima anugerah Her World
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita sulung DBS Group, Cik Tan Su Shan, mencipta sejarah apabila memimpin bank itu ke kedudukan dalam kalangan 20 bank terbesar di dunia.
Lebih membanggakan, sumbangan Cik Tan, 58 tahun, tidak terbatas kepada dunia perbankan, kata majalah Her World, dalam satu kenyataan pada 6 Oktober.
Beliau malah turut giat memperkasa wanita dalam sektor kewangan menerusi peranannya sebagai Presiden Pengasas Persatuan Wanita Kewangan Singapura (FWA), yang menggalakkan pendidikan, kemajuan dan pengiktirafan wanita dalam bidang kewangan, selain menyokong usaha kebajikan yang memberi tumpuan kepada golongan wanita.
Bermula sebagai projek yang dibiayai sendiri bersama sekitar 15 sukarelawan wanita, rangkaian itu kini berkembang kepada sekitar 200 anggota individu dan 30 anggota korporat.
Atas pencapaiannya dalam bidang perbankan serta usaha memperjuangkan kemajuan wanita, Cik Tan dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Her World 2026 pada 6 Oktober.
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, hadir sebagai tetamu terhormat dalam majlis anugerah itu di Hotel METT Singapore, di Fort Canning Park, yang meraikan wanita cemerlang atas pencapaian dan pengaruh mereka dalam bidang masing-masing serta sumbangan mereka kepada masyarakat.
Cik Tan, yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang perbankan, turut menduduki tempat keenam di peringkat sejagat dan pertama di Asia dalam senarai Most Powerful Women in Business (Wanita Paling Berpengaruh dalam Dunia Perniagaan) oleh majalah perniagaan, Fortune tahun ini (2026).
Beliau juga menduduki tempat ke-29 dalam senarai Power Women (Wanita Berpengaruh) Forbes pada 2025.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Cik Tan berkata anugerah itu bukan sahaja satu penghormatan peribadi, bahkan mencerminkan sokongan dan kerjasama yang diterimanya daripada rakan sekerja, keluarga serta rakan-rakan sepanjang perjalanan kerjayanya.
“Anugerah ini bukan sahaja satu penghormatan peribadi, malah bukti sokongan kukuh dan kerjasama daripada rakan sekerja, keluarga serta rakan-rakan saya, yang memainkan peranan penting dalam perjalanan saya selama ini.
“Ia juga merupakan pengiktirafan kepada ramai individu dan pasukan cemerlang yang saya berpeluang bekerjasama, menimba ilmu dan berkhidmat bersama,” katanya.
Ketika berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dari 2012 hingga 2014, Cik Tan juga merupakan antara tokoh awam terawal yang memperjuangkan pembekuan telur wanita secara elektif di Singapura, sebelum langkah itu dibenarkan pada 2023.
Melangkah ke hadapan, beliau menambah: “Dalam dunia yang sedang melalui perubahan besar, saya percaya sifat asas manusia seperti empati, sifat ingin tahu, kreativiti, daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.”
Majlis sama turut menyaksikan pengasas bersama saluran media pendidikan, Just Keep Thinking, Cik Kong Man Jing, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Wanita Muda Her World 2026.
Lebih dikenali sebagai Biogirl MJ, Cik Kong membangunkan saluran itu ketika masih bertugas sebagai guru Sains pada 2019.
Apa yang bermula sebagai projek berasas minat itu kini berkembang menjadi jenama media pendidikan alam sekitar terbesar di Singapura, dengan lebih 750,000 pengikut di pelbagai wadah media sosial.
Usahanya menjadikan isu alam sekitar lebih mudah difahami golongan muda turut membawanya ke pentas antarabangsa, termasuk Persidangan Perdagangan Hidupan Liar Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) dan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP).
Beliau turut bekerjasama dengan City Developments Limited (CDL) untuk mengubah sebuah gerabak MRT yang tidak lagi digunakan menjadi CDL EcoTrain, sebuah ruang pembelajaran interaktif bagi kanak-kanak.
“Bagi saya, pengiktirafan ini turut menjadi milik mereka yang terdahulu dan telah membuka jalan, serta mereka yang bersama-sama saya hari ini – para mentor, rakan seperjuangan, masyarakat dan pasukan Just Keep Thinking, selain mereka yang akan meneruskan perjuangan ini selepas kami, khususnya golongan belia dan kanak-kanak yang menjadi sumber inspirasi saya setiap hari.
“Saya berharap kita dapat terus memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mengambil berat, memperjuangkan isu-isu penting dan membawa perubahan,” katanya.
Anugerah ‘Her World Woman of the Year’, yang diperkenalkan pada 1991, mengiktiraf wanita berwawasan yang pencapaian mereka membawa perubahan berkekalan kepada masyarakat.
Anugerah Pencapai Wanita Muda Her World pula diperkenalkan pada 1999 untuk mengiktiraf wanita muda yang berani mencabar batas konvensional dan menunjukkan potensi mencapai tahap kejayaan lebih tinggi dalam bidang masing-masing.
Ketua Editor Her World, Cik Elizabeth Lee, berkata kedua-dua pemenang berjaya memecahkan tembok halangan dalam dunia kewangan di peringkat tertinggi, manakala Cik Kong pula berjaya mendekatkan isu sains, kemampanan, dan perubahan iklim kepada generasi baharu.
“Menerusi kerja keras, ketabahan dan semangat, mereka menunjukkan bahawa kejayaan bukan sekadar mencapai kedudukan tertinggi.
“Ia juga mengenai membuka peluang, memberi inspirasi kepada orang lain dan menggunakan pengaruh yang dimiliki untuk menghasilkan perubahan yang bermakna,” katanya.