Rasa sakit akibat haid sering dianggap sebagai perkara biasa bagi ramai wanita.

Namun, bagi Cik Nur Syahirah Ruhazat, 28 tahun, ia bukan sesuatu yang harus dipandang remeh.

Dorongan itu lahir daripada pengalamannya melihat rakan-rakan beliau bergelut dengan rasa sakit akibat haid, sebelum akhirnya disahkan menghidap penyakit seperti endometriosis atau Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).

Endometriosis ialah keadaan perubatan kronik apabila tisu yang menyerupai lapisan dalam rahim tumbuh di luar rahim.

PCOS pula merupakan gangguan hormon dan metabolik yang menjejas fungsi rahim.

Terdetik satu persoalan besar dalam fikiran Cik Syahirah.

Bagaimana jika darah haid itu sendiri boleh membantu mendedahkan sama ada terdapat perkara yang tidak kena?

Kini, penyelidik yang merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) Genetik (Bioinformatik) di Institut Pasteur, Perancis itu sedang meneliti sama ada darah haid boleh dijadikan kaedah alternatif tidak invasif dan mudah diakses untuk pengesanan awal endometriosis.

Cik Syahirah merupakan penerima Biasiswa PPIS-Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) 2026, sekali gus menjadi penerima kelima sejak kerjasama itu dimulakan.

Sebelum ini, beliau pernah menerima Biasiswa Merit Possiswazah LBKM pada 2025.

Minat Cik Syahirah terhadap kesihatan wanita mekar secara bertahap-tahap selepas beliau melihat sendiri bagaimana haid yang amat sakit itu boleh dianggap sebagai lumrah.

Seorang rakannya mengalami senggugut yang begitu buruk sejak usia muda sebelum akhirnya didiagnosis dengan endometriosis ketika berusia 22 tahun.

“Bila kita muda, orang selalu anggap sakit akibat haid adalah normal.

“Kita fikir memang sepatutnya sakit atau darah memang banyak. Tapi ada satu tahap apabila kesakitan itu begitu teruk sehingga menjejas kehidupan. Itu mungkin petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Pengalaman itu membuat beliau sedar bahawa ramai wanita mungkin hanya mengetahui tentang keadaan seperti endometriosis atau PCOS selepas bertahun-tahun menanggung gejalanya.

“Saya berada pada satu tahap dalam kehidupan di mana saya perlu fikir apakah yang mahu saya kaji.

“Saya sedar saya berada dalam kedudukan yang membolehkan saya melakukan sesuatu mengenainya (endometriosis),” ujar beliau.

Dalam penyelidikannya, Cik Syahirah menggunakan bioinformatik – bidang yang menggabungkan biologi, sains komputer dan perangkaan – untuk meneliti data biologi.

Secara khusus, beliau mengkaji mutasi somatik, iaitu perubahan pada DNA yang berlaku secara spontan dalam sel bagi melihat sama ada maklumat sedemikian boleh dikesan melalui darah haid dan seterusnya membantu memahami endometriosis.

Cik Nur Syahirah Ruhazat menggunakan bioinformatik untuk meneliti data berkaitan endometriosis, dengan harapan penyelidikannya dapat membuka jalan kepada kaedah diagnosis yang lebih mudah dan kurang invasif.
Cik Nur Syahirah Ruhazat menggunakan bioinformatik untuk meneliti data berkaitan endometriosis, dengan harapan penyelidikannya dapat membuka jalan kepada kaedah diagnosis yang lebih mudah dan kurang invasif. - Foto ihsan NUR SYAHIRAH RUHAZAT

Menurutnya, salah satu kelebihan utama darah haid adalah kebolehcapaiannya.

“Kita tidak perlu mengambil darah. Ini sesuatu yang wanita memang keluarkan setiap bulan,” ujarnya.

Beliau berharap kajiannya kelak dapat membantu wanita mendapatkan diagnosis lebih awal dan melalui kaedah yang kurang invasif berbanding pembedahan.

Cik Syahirah juga melihat biasiswa yang diterimanya itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap perjalanan akademiknya, malah, satu amanah.

Beliau, yang bercita-cita menjadi saintis sejak sekolah menengah, berkata sokongan itu mengingatkannya bahawa penyelidikan harus membawa manfaat kepada masyarakat.

Bagi beliau, kejayaan kajian itu akhirnya harus diukur melalui perubahan yang dirasakan wanita dalam kehidupan mereka.

“Ia mengingatkan saya untuk betulkan niat. Banyak penyelidikan dibiayai oleh masyarakat, jadi kita mempunyai tanggungjawab memastikan apa yang kita kaji benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti