Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Walau mata kabur, cepat lelah, wanita gigih lawan sakit saraf

Pesakit sklerosis berbilang, Ratnah Nurul Hafizah, tubuh persatuan tingkat kesedaran awam meski sibuk dengan tugas sebagai konsultan penjenamaan peribadi
Apr 9, 2025 | 5:30 AM
Hidup Cik Ratnah Nurul Hafizah Abdullah, berubah pada 2016 apabila penglihatan pada mata kirinya kabur dan kakinya kebas. Pada mulanya, beliau menyangka ia hanyalah kesan daripada latihan seni bela diri yang amat diminatinya, Brazilian Jiu-Jitsu.
Hidup Cik Ratnah Nurul Hafizah Abdullah, berubah pada 2016 apabila penglihatan pada mata kirinya kabur dan kakinya kebas. Pada mulanya, beliau menyangka ia hanyalah kesan daripada latihan seni bela diri yang amat diminatinya, Brazilian Jiu-Jitsu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dalam kehidupan, ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk.

Bagi Cik Ratnah Nurul Hafizah Abdullah, 33 tahun, seorang konsultan penjenamaan peribadi, ujian itu hadir dalam bentuk penyakit kronik sklerosis berbilang (MS) yang mengubah segalanya.

MS adalah penyakit yang menyebabkan kerosakan pada lapisan pelindung saraf. Ia boleh menyebabkan kebas, lemah, masalah berjalan, perubahan penglihatan dan gejala lain.

Dalam MS, sistem imun menyerang lapisan pelindung yang meliputi serat saraf, yang dikenali sebagai mielin.

Ini mengganggu komunikasi antara otak dengan seluruh badan. Penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan kekal pada serat saraf.

Namun, Cik Ratnah enggan membiarkan penyakit itu membataskan dirinya walau menghadapi cabaran seperti kekaburan penglihatan, kebas anggota badan, dan keletihan.

Sebaliknya, beliau menjadikannya sebagai satu misi untuk membantu orang lain melalui firma penjenamaan peribadi, Elevo Consultancy, yang membimbing usahawan membentuk jenama berdasarkan kisah peribadi mereka.

Beliau menggunakan bakatnya dalam bidang penulisan naskhah untuk melakar cerita kemajuan pelanggannya bagi kegunaan profil di laman kerjaya seperti LinkedIn.

Bagi Cik Ratnah, hidupnya berubah pada 2016 apabila penglihatan pada mata kirinya kabur dan kakinya kebas.

Pada mulanya, beliau menyangka ia hanyalah kesan daripada latihan seni bela diri yang amat diminatinya, Brazilian Jiu-Jitsu.

Namun, selepas merujuk kepada pakar saraf, imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendedahkan keradangan otak dan luka pada saraf optik.

Pada awalnya, doktor mengesyaki migrain, tetapi akhirnya beliau disahkan menghidap MS – penyakit autoimun yang menyerang sistem saraf pusat.

Dengan diagnosis itu, beliau terpaksa mengubah banyak perkara dalam kehidupannya.

Kegiatan seni bela dirinya perlu dihentikan kerana keletihan melampau dan kebas yang dialami selepas latihan.

Begitu juga dengan pekerjaannya ketika itu dalam bidang reka bentuk grafik, yang memerlukan masa skrin yang panjang, memberi kesan buruk kepada gejalanya sehingga beliau terpaksa mencari haluan baharu.

Beliau merupakan lulusan diploma dalam bidang Ruang dan Rekaan Dalaman dari Politeknik Nanyang.

Rawatan untuk MS bukan sahaja menuntut kesabaran, bahkan juga sumber kewangan yang besar.

Di Singapura, kos rawatan boleh mencecah antara $3,000 sebulan dengan $60,000 setahun, dan kebanyakan insurans tidak melindunginya kerana ia dikategorikan sebagai “penyakit kritikal” dan bukan “penyakit kronik”.

Di samping itu, rawatan yang memberi tekanan kepada sistem imun menjadikannya mudah terdedah kepada jangkitan, sekali gus memerlukan masa pemulihan yang panjang.

Ketika hamil, beliau terpaksa menghentikan rawatan buat sementara waktu, namun ia kambuh selepas bersalin.

Walaupun tubuhnya diuji, semangatnya tidak pernah luntur.

“Saya mahu anak saya melihat saya sebagai seseorang yang terus berjuang walaupun berdepan dengan kekangan,” ujarnya.

Enggan membiarkan batasan fizikal menghalangnya, Cik Ratnah menceburi dunia keusahawanan.

Pada awalnya, beliau memulakan perniagaan snek sihat dari rumah sebelum beralih kepada pengurusan media sosial secara bebas.

Akhirnya, beliau menemui panggilan sebenar dalam Elevo Consultancy, bagi membantu usahawan berkongsi kisah peribadi mereka untuk membentuk jenama yang lebih autentik dan bermakna.

Bagi Cik Ratnah, “kelemahan pengasas jenama boleh menjadi daya tarikan terbesar – (kerana) pelanggan mahu melihat sudut insaniah dalam jenama tersebut”.

Dengan kepakaran dalam penulisan, reka bentuk grafik dan bercerita, beliau membantu membina hubungan yang lebih mendalam antara jenama dengan pelanggan.

Selain mengembangkan perniagaannya, Cik Ratnah turut aktif menyokong MS melalui Persatuan Sklerosis Berbilang Singapura (MSSS).

Beliau memperjuangkan perubahan dasar seperti subsidi rawatan MS, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat serta membina komuniti sokongan bagi pesakit MS.

Usaha itu termasuk menghasilkan podcast, mengadakan pertemuan dengan Anggota Parlimen (AP) dan Menteri serta menjalankan kempen kesedaran MS.

Namun, cabaran tetap wujud.

Ramai pesakit MS masih berasa terasing kerana kurangnya pemahaman masyarakat terhadap penyakit itu.

Baginya, MS adalah penyakit yang membuatkan seseorang berasa keseorangan, tetapi beliau menegaskan dengan berkata:

“Kita tidak boleh menghadapinya sendirian. Sistem sokongan sangat penting.”

Menjaga kesihatan menjadi keutamaan buat Cik Ratnah.

Beliau mengamalkan pemakanan tambahan seperti Vitamin D dan probiotik, serta melakukan senaman ringan untuk memastikan tubuhnya kekal bertenaga.

Di saat-saat sukar, keluarganya, terutama suami, yang bekerja sebagai Perancang Estet, dan ibunya, menjadi tonggak utama dalam kehidupannya.

Anak, yang kini berusia enam tahun pula menjadi sumber inspirasi yang mendorongnya untuk terus bangkit dan melawan segala keterbatasan yang dihadapinya.

Melangkah ke hadapan, Cik Ratnah berazam untuk mengembangkan Elevo Consultancy agar dapat mencapai kebebasan kewangan sambil mengekalkan kesan sosialnya.

Pada masa yang sama, beliau ingin terus memperjuangkan hak pesakit MS mendapat rawatan yang lebih berpatutan serta layanan yang lebih adil dalam sistem kesihatan.

Perjalanannya membuktikan bahawa walaupun MS tidak mempunyai penawar, ketabahan, penyesuaian dan sokongan mampu membawa perubahan besar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg