Kenaikan kos sara hidup, seiringan dengan harga barangan runcit dan keperluan seharian yang kian bertambah merupakan antara cabaran utama bagi keluarga memerlukan.
Di atas ingatan itulah, persatuan kebajikan setempat, Vision 21, mengusahakan inisiatif amal berupa pasar raya ‘pop-up’, V21 Rahmah Mart, yang mengagihkan barangan runcit dan keperluan seharian secara percuma kepada keluarga kurang berkemampuan.
Usaha murni tersebut diadakan pada Pesta Kesihatan Vision 21 2025 yang berlangsung di Dewan 5B, Singapore Expo, pada 5 Oktober.
Pengagihan makanan itu dijalankan dengan kerjasama syarikat korporat yang menyalurkan dana bagi membiayai barangan runcit dan keperluan dapur untuk keluarga yang menerima bantuan.
Vision 21 turut bekerjasama dengan agensi pemerintah termasuk Persatuan Rakyat (PA) dalam mengagihkan barangan tersebut.
Kata Presiden Persatuan Kebajikan Vision 21, Encik Muhammad Zacree Mohd Zain, 44 tahun, kepada Berita Harian (BH):
“Antara cabaran utama yang dihadapi keluarga memerlukan ialah kenaikan kos sara hidup yang tinggi.
“Ini menyebabkan mendapatkan makanan dan barangan keperluan seharian menjadi sukar bagi mereka yang sudah pun bergelut dari segi kewangan.”
Antara acara pengagihan yang pernah dijalankan ialah Program Infaq Ramadan, di mana sebanyak 1,000 beg barangan runcit dan biskut Hari Raya diagihkan kepada keluarga yang memerlukan, dengan jumlah tajaan keseluruhan bernilai $50,000.
Semasa Pesta Kesihatan Vision 21, orang awam yang hadir hanya perlu menunjukkan kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) masing-masing untuk melayakkan diri menerima barangan runcit percuma.
Sekitar 400 beg barangan keperluan telah diagihkan sepanjang acara tersebut.
Selain pengagihan makanan, Vision 21 turut menganjurkan acara iftar beramai-ramai, termasuk Iftar Perdana Singapore Expo pada 2023 semasa acara dagangan Grand Emporium.
Sebanyak 1,000 beg barangan Hari Raya dan biskut turut ditaja, dengan nilai tajaan keseluruhan mencecah $50,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg