Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Watak ‘penyondol’ buka mata Fazura

May 13, 2024 | 4:55 PM
Lakonan Nur Fazura dalam drama ‘Lelaki Itu’ meraih pujian, bukti tak semua orang ketiga dalam sesebuah hubungan bersifat jahat.
Lakonan Nur Fazura dalam drama ‘Lelaki Itu’ meraih pujian, bukti tak semua orang ketiga dalam sesebuah hubungan bersifat jahat. - Foto NSTP
Fazura memainkan watak Imani iaitu isteri kedua kepada Syed Mirza lakonan Datuk Adi Putra dalam drama, ‘Lelaki Itu’, yang ditayangkan di saluran TV3 dan aplikasi Tonton.
Fazura memainkan watak Imani iaitu isteri kedua kepada Syed Mirza lakonan Datuk Adi Putra dalam drama, ‘Lelaki Itu’, yang ditayangkan di saluran TV3 dan aplikasi Tonton. - Foto TV3

Pengalaman menjadi ‘orang ketiga’ dalam sesebuah perhubungan membuatkan aktres popular, Nur Fazura, 40 tahun, berpendapat tidak semua ‘penyondol’ berniat jahat.

Meskipun pengalaman hanya dikutip menerusi watak Imani iaitu isteri kedua kepada Syed Mirza lakonan Datuk Adi Putra dalam drama Lelaki Itu, peranannya itu sudah cukup membuat Fazura menyelami gejolak jiwa wanita yang terpaksa berkongsi kasih atas sebab tertentu.

Barangkali ia bukanlah pendapat popular, namun, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin beranggapan, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan di bahu wanita, sedangkan ada banyak punca menyebabkan kejadian merampas suami orang berlaku.

“Sejujurnya, masa mula-mula dimaklumkan oleh penerbit, Erma Fatima, saya bakal bawa watak ‘penyondol’, saya sangat takut.

“Saya tengok juga adakah watak ‘penyondol’ sekadar nak rampas suami orang ataupun ada mesej yang ingin disampaikan.

“Bagaimanapun, selepas berbincang dan faham alur ceritanya, saya terima. Lagipun, Erma begitu terbuka apabila saya berkongsi idea mengenai watak Imani itu.

“Dalam drama Lelaki Itu, kita boleh lihat bagaimana Imani berkahwin dengan Syed Mirza. Imani menjadi mangsa perkahwinan toksik apabila sering didera suami, manakala Syed Mirza berdepan situasi isteri yang terlalu sibuk.

“Selepas berkahwin, Imani mendapat kasih sayang yang tidak pernah diperoleh sebelum ini. Imani juga sering mengajar suaminya ke arah kebaikan seperti mengerjakan solat.

“Mereka melengkapi antara satu sama lain. Jadi, kita dapat lihat tidak semua ‘penyondol’ itu jahat, sekadar nak rampas suami orang atau mahukan harta semata-mata,” katanya kepada BH Online.

Berbanding karakter ‘penyondol’ lain yang sering menjadi mangsa kecaman netizen, namun sebaliknya pula berlaku bagi pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 dalam drama, Lelaki Itu.

Fazura meluahkan rasa syukur kerana lakonannya itu meraih pujian.

“Saya pernah melahirkan kebimbangan kepada Erma mengenai watak Imani selepas drama ditayangkan. Namun, Erma meminta saya tidak perlu risau kerana saya adalah ‘penyondol’ tanpa sengaja dan pasti disayangi.

“Bagaimanapun, saya tak nafikan, apabila sudah sampai ke penghujung cerita, ada juga yang kecam.

“Namun, saya faham dan tak ambil hati kerana saya hanya ikut skrip dan dibayar gaji untuk berlakon,” ungkapnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg