KOFU (Japan): Pihak berkuasa wilayah Yamanashi merancang menaikkan bayaran masuk pendaki Gunung Fuji daripada 2,000 yen ($17) kini ke antara 3,000 dengan 5,000 yen, menurut sumber pada 25 November.
Wilayah itu mempunyai matlamat untuk menggabungkan bayaran tersebut dengan caj berasingan yang dikutip secara sukarela untuk kerjasama pemuliharaan, ditetapkan pada 1,000 yen bagi seorang pendaki, untuk gunung tertinggi negara itu.
Masyarakat tempatan telah mengadu bahawa bayaran sukarela itu rumit dan mengelirukan.
Dengan Gunung Fuji terletak berdekatan Yamanashi dan wilayah bersebelahan Shizuoka, pihak berkuasa Wilayah Shizuoka juga sedang mempertimbang usaha mengutip bayaran masuk antara 3,000 dengan 5,000 yen bagi seorang pendaki bermula musim panas seterusnya, setelah menamatkan bayaran kerjasama pemuliharaan secara sukarela sedia ada.
Pihak berkuasa Yamanashi telah mengemukakan kepada masyarakat tempatan tiga rancangan bagi menaikkan bayaran masuk iaitu ke 3,000, 4,000 dan 5,000 yen seorang.
Bayaran masuk akan digunakan untuk perbelanjaan kakitangan keselamatan serta tujuan lain.
Pihak berkuasa Yamanashi memperkenalkan bayaran masuk untuk mendaki Gunung Fuji dan had bagi bilangan pendaki kepada 4,000 sehari pada musim panas 2024.
Sebuah pintu masuk sementara telah dipasang di stesen kelima Jejak Yoshida yang paling popular, digunakan kira-kira 60 peratus daripada pendaki Gunung Fuji, dengan orang ramai dilarang memasukinya dari 4 petang hingga 3 pagi, kecuali mereka yang menggunakan penginapan gunung.
Sewaktu musim ‘hiking’ semasa musim panas dari 1 Julai hingga 10 September, kira-kira 204,000 orang mendaki Gunung Fuji dari dua wilayah tersebut – sekitar 92 peratus dari 2023, secara keseluruhan.
Setelah mempekenalkan sekatan itu, pihak Yamanashi menyaksikan pengurangan besar dari segi kegiatan mendaki pada waktu malam. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg