Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Wings tebar sayap ke alam teater untuk konsert di S’pura

Band legenda akan main lampu, video dan kostum demi hibur peminat dan suntik kelainan
Jul 07, 2023 | 05:46 PM



Persahabatan dan ukhuwah sesama mereka dijaga dengan baik agar setiap anggota band legenda Wings dapat terus menyajikan hiburan bermutu buat peminat yang tidak jemu memberi sokongan.

Justeru, tiada sikap “Aku lebih. Kau kurang...” yang boleh mengeruhkan jalinan persaudaraan lantas memecahbelahkan perpaduan mereka.

Semua anggota band itu adalah pemimpin yang berhak bersuara dan tidak diperlekeh kata-katanya.

Itulah pegangan Wings yang dikongsi vokalisnya, Datuk Awie, 54 tahun, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, kepada Berita Harian, sebagai menjelaskan sebab band yang berusia 38 tahun ini mampu terus bertahan sehingga ke hari ini.


Konsert demi konsert diadakan secara konsisten tanpa perlu mengadakan persembahan yang khusus meraikan ulang tahun band.

Bahkan selepas muncul dalam konsert Formula 1 (F1) di F1 Singapore Airlines Singapore Grand Prix dan Wings Live di Esplanade, mereka kembali lagi dalam konsert rok teatrikal, Wings The Rock Emperor, pada 29 Julai ini di The Star Theatre.


Konsert itu merupakan anjuran MSN Event Management.

Kata Awie sebagai mewakili rakan-rakannya, Eddie (pemain bes), Black (pemain dram), Edrie Hashim (gitaris) dan Syam (gitaris):

“Kita memang bersaudara dan dianggap ‘brothers’ dari dahulu sampai sekarang. Susah senang sudah dilalui bersama. Kami bergabung dengan adanya anggota asal Wings, Syam dan Edrie, anggota paling muda yang kami ‘import’ untuk menyertai kami dalam perjalanan seni ini.

“Kami seia sekata, sehati sejiwa. Kami boleh beri dan menerima idea. Jangan ada perasaan ‘Aku lebih, kau kurang’. Semua anggota adalah ketua yang berhak menyuarakan idea. Masing-masing sedia ditegur untuk membina nama Wings.

“Walaupun usia kami tak semuda mana dan dalam perjalanan penghujung hidup, semangat dan tenaga masih kuat dalam mencari sesuatu yang dapat menghiasi industri muzik Asia yang tak seberapa besar.

“Ada perancangan untuk majukan muzik kami di Indonesia juga.”

Konsert kali ini yang diberi judul Wings The Rock Emperor ini, ujar Awie, lebih pada berunsurkan teatrikal dan elemen pementasan, permainan cahaya, paparan video, kostum menarik dan perjalanan sesebuah kisah yang disejajarkan dengan lagu yang disajikan.


“Kami faham akan kehendak penonton yang tidak mahu benda sama kerap diulang-ulang dalam konsert. Justeru, kami usahakan sesuatu yang berbeza dan tidak pernah ditonton.

“Persembahan hanya satu malam sahaja. Masa yang diperuntukkan pun tidaklah panjang. Kami ingin mengetengahkan unsur drama konsert ini.

“Jadi kami berdoa agar diberi kesihatan yang baik agar kami dapat memberikan persembahan yang menghiburkan buat semua,” tambahnya.

Pemilihan lagu, ujar Awie, adalah yang dapat membangun momentum persembahan sehingga tiada yang akan terlelap dalam persembahan.

Kalau disajikan lagu balada perlahan yang hit tetapi bikin longlai badan juga bukan sesuatu yang diinginkan Wings.

Wings yang dikenali kerana lagu malar segar seperti Sejati, Taman Rashidah Utama dan Hukum Karma juga akur dengan permintaan ramai yang lebih sukakan lagu lama daripada baru.


Walaupun kumpulan ini sedang dalam proses menghasilkan lagu baru, Awie berasakan ramai yang dewasa dengan irama Wings lebih bersemangat apabila mendengar lagu lama.

“Itu yang kadangkala buat kami terfikir, mengapa perlu buat lagu baru?” tambahnya.

Awie juga menganggap penting untuk Wings hadir di Singapura bagi konsert dan persembahan secara tetap kerana negara ini banyak meninggalkan kenangan manis untuknya pada awal penglibatan Wings di persada seni.

“Sememangnya, dahulu saya saban minggu akan ke Singapura. Saya lihat banyak yang telah berubah di sini termasuk jalan-jalannya. Boleh sesat sekarang sebab dah lain. Tapi saya mesti cari sup tulang merah dan anggap Beach Road ‘port’ saya.

“Kalau tak makan sup tulang merah, macam tak lengkap kunjungan ke Singapura,” katanya.

Mengenai mengapa payah mencari band rok baru dalam kalangan anak muda kini, tidak seperti pada era Wings dan Search ‘meletup’ dahulu, Awie berkata:

“Saya rasa jiwa dan semangat serius nak jadi ‘rocker’ kini dah tak ada sebab ramai yang rasa tiada masa depan. Beza dengan zaman saya dahulu di mana muzik itu jiwa dan periuk nasi saya. Saya tak pernah bekerja dalam bidang lain kecuali muzik. Seratus peratus hidup saya untuk muzik.

“Budak sekarang rasa lebih menjamin masa depan kalau mereka ada kerja tetap masuk 9 pagi, balik 5 petang. Muzik hanya hobi dan kerja sampingan.

“Tak ramai yang nak berkorban untuk bina nama jadi penghibur. Mereka nak yang selamat. Mereka tahu akan ada kegagalan dalam bidang muzik dan sukar nak beranikan diri melalui proses getir yang saya dan teman-teman Wings lalui.

“Sebab itu kita lihat band rok datang dan pergi kini. Kami bagaimanapun ingin mencari pelapis bagi memeriahkan industri ini. Kalau hanya ada satu dua lagu, bagaimana nak bikin konsert yang biasanya sajikan 20 hingga 25 lagu? Sebab itu, Wings sedang mencari pelapis kini.”

Demi konsert Wings The Rock Emperor ini, Awie dan rakan-rakannya gigih berlatih dan menganggap diri mereka ‘antisosial’ kerana terperap dalam studio buat masa ini.


Namun, Awie rasa bersyukur dan puas kerana dalam kesibukan bermuzik, mereka juga meluangkan masa untuk beribadah bersama dan merancang umrah buat kali kedua secara berkumpulan pada Januari depan.

“Pada November lalu, kunjungan ke umrah adalah panggilan yang kami tidak dapat tolak. Kami sudah berpuluh tahun berkecimpung dalam dunia muzik rok. Salah dan silap pastinya banyak.

“Apabila dapat peluang kerjakan umrah secara bersama untuk merehatkan dan menenangkan fikiran, berada di depan Kaabah dan mengunjungi makam Rasulullah, ia nikmat besar sebab ia jarang berlaku.

“Alhamdullillah teruja nak pergi umrah lagi tahun depan secara berkumpulan sebab semangat positif dan perjuangan penuh ketenangan untuk jadi insan yang lebih baik inilah yang kami ramai-ramai harapkan,” kata Awie.

Tiket Wings The Rock Emperor berharga $88 hingga $268 boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >