Syarikat media sosial X menarik balik larangan carian Taylor Swift pada 30 Januari, selepas menyekat pengguna daripada membuat carian nama selebriti tersebut berikutan sebaran imej lucah palsu penyanyi pop itu di laman media sosial minggu lalu.
Carian diaktifkan semula dan platform media sosial bertekad “akan terus berwaspada terhadap sebarang percubaan menyebarkan kandungan sedemikian dan akan mengeluarkannya jika kami menemuinya,” kata Encik Joe Benarroch, ketua operasi perniagaan di X, dalam satu kenyataan.
Carian nama Taylor Swift pada petang Ahad di platform media sosial yang dahulunya dikenali sebagai Twitter menghasilkan mesej ralat, “Sesuatu telah berlaku. Cuba muat semula.”
X menyifatkan langkah itu sebagai tindakan sementara yang dilakukan dengan “berhati-hati.”
Satu imej Swift, yang dinobat “Warga Terbaik” majalah Time pada 2023, telah dikongsi di X dan ditonton 47 juta kali sebelum akaun itu digantung, menurut laporan media Amerika Syarikat.
Larangan carian dibuat selepas Rumah Putih mengulas kejadian tersebut pada 26 Januari, menyifatkan imej palsu itu “membimbangkan” dan menekankan bahawa syarikat media sosial mempunyai tanggungjawab mencegah penyebaran maklumat salah tersebut.
Sejak jutawan Elon Musk memperoleh Twitter pada 2022, beliau menghadapi kritikan ekoran siaran kontroversinya sendiri, mendorong banyak pengiklan di platform itu menarik balik perbelanjaan kerana takut dikaitkan dengan kandungan berbahaya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg