Tiada penyesalan dan kekecewaan yang dirasakan bintang rok legenda Singapura, Yazid Lovehunters, apabila perjalanannya di Gegar Vaganza 11 (GV11) terhenti pada 22 Disember.
Yazid, 62 tahun, atau nama sebenarnya Yazid Abu Bakar, hanya memanjat kesyukuran kerana diberi peluang dan ruang berada di pentas auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama lima minggu.
Bahkan, dalam segmen mendebarkan, Ada Lagu, Ada Lagi, pada penghujung konsert minggu kelima yang menampilkan dendangan duet 12 peserta GV11 bersama artis jemputan, Yazid yang merupakan dua peserta terakhir (bersama Arrora Salwa) menanti keputusan, kelihatan tenang dan tersenyum reda.
Beliau kelihatan mengucapkan kata-kata, “No problem” dan “No sweat” kepada Arrora, 39 tahun, atau nama sebenarnya, Salwa Md Razak, seakan memberi jaminan beliau tiada masalah jika tersingkir pada malam itu.
Apabila diumumkan beliau merupakan peserta yang akan meninggalkan MBSA serentak bersama pengacara GV11, Jihan Muse, 41 tahun, yang sarat mengandung dan akan berehat menanti kelahiran cahaya mata ketiganya, Yazid kekal relaks dan ‘cool’.
Beliau mendapat markah paling rendah sebanyak 67.6 peratus, tidak jauh daripada markah Arrora sebanyak 67.7 peratus.
Juara minggu kelima pula adalah Sheila Abdull, 36 tahun, yang mendapat tenaga vokal luar biasa selepas berpadu suara dengan juara GV9 dan All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Jaclyn Victor, 46 tahun.
Lagu yang dipertaruhkan ialah Ku Bersuara, dendangan asal Ernie Zakri. Markah yang diperolehi ialah 79.1 peratus.
Di tempat kedua pula adalah bintang kegemaran ramai, Liza Aziz, 61 tahun, yang ditemani kakaknya, Azlina Aziz, 62 tahun, untuk menyanyikan medley lagu, Moulin Rouge dan The Greastest Love of All. Beliau mendapat markah 78.7 peratus.
Mengulas pengalamannya di GV11 dalam sidang media yang disiarkan di YouTube, Yazid berkata:
“Saya tak fikir apa-apa pun setiap minggu apabila bertanding. Saya hanya mahu menghiburkan orang ramai.
“Saya akur ini satu pertandingan dan saya banyak belajar daripada peraduan ini, sesuatu yang tidak pernah saya timba sepanjang kerjaya seni saya sebagai seorang ‘rocker’.
“Juri pesan jangan terlalu relaks dan jangan ambil mudah sebab ia tetap satu pertandingan.
“Apa yang mereka cakap itu benar. Semua ini baru untuk saya. Saya sedikit pun tidak berkecil hati. Saya terima dan hargai setiap peluang yang diberi di GV11.
“Saya rasa saya lebih banyak perbaiki nyanyian dan persembahan saya selepas belajar di GV11, lebih daripada tempoh saya dahulu menempa nama dalam dunia hiburan.”
Pada 22 Disember, Yazid berduet bersama Ruhil Amani Hussein, 49 tahun, bagi mengembalikan kehebatan nostalgia dan irama pada lagu ikonik Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim, Doa Buat Kekasih.
Menyanyi duet juga perkara baru buat Yazid yang menjelaskan sepanjang kerjayanya, beliau kebanyakan masa menyanyi seorang diri. Lantas, apabila berduet, beliau juga perlu memahami pasangan duetnya untuk mendapatkan sinergi dan keserasian.
Ketika mengulas persembahannya, juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, 51 tahun, menyatakan ada ketikanya Yazid seakan-akan ‘diserap’ roh Ramli dan bersuara serak-serak basah seperti memiliki aura Papa Rok. Tetapi beliau kemudian kembali pada vokalnya sendiri.
“Tak perlu tu semua. Brader Yazid harus jadi diri sendiri. Saya lebih suka dengar suara Brader Yazid yang asli,” ujar Syafinaz.
Penyingkiran Yazid, peserta paling senior, yang dianggap sebagai abang yang penyayang dan prihatin kepada ‘adik-adiknya’ di GV11 itu memberi kesan kepada dua peserta yang jelas kelihatan sedih iaitu Ning Baizura, 49 tahun, dan Reshmonu, 48 tahun.
Ning yang bangkit kembali dari tempat ke-11 pada konsert minggu keempat pada 15 Disember, ke tempat ketiga pada 22 Disember, menjelaskan:
“Saya sebak dan menangis sebab saya memang suka usik Abang Yazid. Beliau pun kaki usik saya, suka berjenaka dan menceriakan keadaan.
“Apabila Abang Yazid tak ada, siapa lagi nak saya usik? Bagi saya, Abang Yazid adalah ‘rocker’ yang ‘cool’ dan ‘chill’.
“Orangnya santai dan merupakan insan yang baik hati. Saya harap selepas ini, Abang Yazid akan teruskan berkarya dan jangan lupa Ning. Kalau saya kirim pesanan WhatsApp, jawab tau?
“Kita boleh ‘jamming’ sama-sama jika saya ke Singapura atau kalau Abang Yazid datang ke Malaysia,” jelas Ning yang mendapat markah 68.8 peratus dan benar-benar memukau ramai hasil paduan suaranya bersama Datuk Jamal Abdillah bagi lagu, Kehebatan Cinta.
Reshmonu atau nama sebenarnya, Hiresh Haridas, yang keluar dari zon selesanya untuk mendendangkan lagu balada Ajai dan Kris Dayanti, Hati Ini Telah Dilukai, bersama bintang dangdut, Amelina Sharipuddin, 50 tahun, pula berkata:
“Abang Yazid adalah teman sebilik saya dalam GV11. Sekarang beliau telah meninggalkan pentas, saya dah tak ada rakan sebilik. Sunyi nampaknya.
“Tapi saya berharap Abang Yazid akan teruskan perjuangan seninya dan kekal sebagai anak seni yang bertaraf legenda dan disayangi ramai,” tambahnya yang mendapat tempat ke-10 dengan markah 58.5 peratus.
Ditanya mengenai rancangannya selepas ini, Yazid berkata:
“Saya rindu menyanyi malam setiap hari. Itulah yang saya lakukan di Singapura. Jadi, saya akan kembali dengan tugas saya. Tapi pastinya akan manfaatkan apa yang saya belajar di GV11.”
Sementara itu, sebilangan netizen mempersoal penyingkiran Yazid daripada GV11 dan berasa yang sepatutnya terkeluar adalah Arrora, Illa Sabry atau Reshmonu.
Dalam twit netizen bernama hydrageas457 di wadah X, beliau menulis:
“Kalau nak simpan peserta yang ‘eye candy’ (tampan atau cantik dipandang) dan disukai ramai dalam kalangan netizen, Abang Yazid adalah orangnya, bukan Arrora.
“Kalau betullah nak dapatkan rating, Abang Yazid adalah orang yang tepat untuk disimpan. Memang seronok menonton persembahannya.”
Ayusyera pula menambah: “Merapik betul apabila Arrora dan Illa masuk ke konsert minggu keenam dan bukannya Yazid. Keputusan ini memang memalukan.”
“Aku ni hairan macam mana Reshmonu pula layak ke pusingan keenam? Bukankah suara Abang Yazid sedap didengar dan dia pandai berlakon serta melucukan?” kata BintangPutih pula.
GV11 disiarkan setiap Ahad, mulai 9 malam, di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg