Setelah lama berkelana di Amerika Syarikat, penyanyi dan penggubah lagu Malaysia, Yuna, 38 tahun, mengambil tempoh rehat lebih lama di Kuala Lumpur untuk mengubati rindu.
Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, berkata beliau bahkan akan berada di Kuala Lumpur hingga Oktober demi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan masyarakat seni.
“Saya dan suami buat keputusan pulang ke Malaysia lebih lama. Alhamdulillah, keputusan ini diterima baik.
“Jadi, saya ambil langkah buat ‘base’ atau membangun pangkalan di sini sebab berasakan kehidupan di Kuala Lumpur jauh lebih baik.
“Saya mahu pulang dan memberi sumbangan kepada masyarakat serta arena muzik di Malaysia.
“Saya sudah tua, penat nak jalan-jalan. Saya mahu duduk di Malaysia dan sarapan nasi lemak, setiap hari.
“Memandangkan saya juga ada komitmen, biarlah saya di Kuala Lumpur hingga Oktober ini,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) ketika ditemui pada sidang media program realiti, Gimme The Mic, terbitan Astro di The Bee, Publika, pada 11 Julai.
Beliau merupakan antara juri program itu bersama komposer prolifik Ajai; penyanyi dan penggubah lagu, Hael Husaini; dan bintang Indonesia, Bunga Citra Lestari, yang juga kakak ipar Yuna.
Yuna berkata beliau teruja berada dalam program yang mengetengahkan ramai bakat seperti dirinya yang berusaha mencari ruang dalam wadah media sosial.
“Sebenarnya, saya tidak fikir panjang untuk sertai program ini.
“Sebelum ini, saya terima banyak tawaran menjadi juri, tapi tidak berkesempatan untuk buat kerja menyeronokkan ini sebab berada di Los Angeles.
“Bagi program ini, saya perlu berada di Malaysia selama dua bulan. Sudah tentu saya perlu beri komitmen terbaik.
“Jadi, ini adalah masa tepat sebab saya memang balik lama untuk bekerja dan bersama keluarga. Saya sukakan idea mencari bakat yang belum digilap, bukannya artis yang sudah ada nama atau mapan. Kita boleh tengok bakat yang menarik.
“Itu jugalah sebab saya mahu jadi sebahagian daripada program ini. Saya nampak diri saya sebagai peserta. Itu yang saya cakap, jom buat,” katanya.
Yuna berkata beliau akan tampil dengan beberapa lagu baru dan berharap dapat menjayakan lebih banyak program amal.
Beliau menambah: “Saya ada lagu baru, insya-Allah keluar tahun ini (2024). Ada empat lagu yang sudah saya rakam selama beberapa bulan.
“Selain itu, ada beberapa program lagi dan saya berharap boleh melakukan banyak program amal bersama suami.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg