Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yusof Haslam tak suka membazir, utamakan sedekah

May 9, 2025 | 2:26 PM
Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail (kiri) meraikan tetamu pada majlis rumah terbuka di kediamannya, di Taman Melawati, pada 1 Mei.
Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail (kiri) meraikan tetamu pada majlis rumah terbuka di kediamannya, di Taman Melawati, pada 1 Mei. - Foto BH Online

KUALA LUMPUR: Tiada apa yang mengubah perjalanan kehidupan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam, meskipun bergelar jutawan.

Ibaratnya seperti padi, makin tunduk makin berisi.

Biarpun perniagaan restoran semakin kencang dan filem produksi miliknya, Skop Productions, sering mendapat kutipan pecah panggung dengan nilai puluhan juta ringgit, namun itu bukan alasan untuk figura itu bermewah-mewah.

Yusof berkata beliau lebih selesa hidup bersederhana dalam segala segi dan paling penting, tidak suka membazir.

“Sejak dahulu, saya suka menjalani kehidupan secara sederhana. Jam tangan saya pun harganya kurang RM1,000. Ada juga bernilai RM100.

“Isteri pula tidak pernah beli beg tangan lebih RM3,000. Kalau nak beli beg tangan berharga lebih RM3,000, beliau minta izin saya dahulu.

“Saya bukan seorang yang kedekut, cuma saya tidak memandang pada jenama mewah walaupun ada kenalan yang sanggup membeli jam tangan bernilai RM25,000.

“Bagi saya, mutu lebih penting dari jenama, benda sama sahaja, jadi buat apa nak membazir?” katanya kepada BH Online.

Yusof menambah pengalaman melihat orang terdekat jatuh terduduk hingga terpaksa menjual aset apabila perniagaan merudum membuatkannya lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan.

“Pernah juga isteri cadangkan ubah suai rumah, namun hasrat ini terpaksa saya tolak kerana memikirkan faktor usia. Saya sudah tua, kalau zaman muda dahulu memang saya buat.

“Lagipun, saya tak mahu jadi seperti orang terdekat yang berhabisan jutaan ringgit untuk ubah suai rumah dan beli perabot baru, tapi selepas bisnes jatuh merudum segala aset terpaksa dijual.

“Malah, kediaman mewah bernilai RM5 juta ($1.51 juta) terpaksa dijual dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran. Rumah saya pun masih elok lagi,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Kelang, pada 1 Mei.

Bagi pengarah yang pernah mendapat jolokan Six Million Dollar Man itu, beliau lebih selesa jika rezeki yang ada dikongsi bersama orang yang memerlukan.

“Buat apa nak buang duit sekadar nak tunjuk kemewahan. Dengan rezeki yang Allah beri, lebih baik saya gunakan untuk tujuan bersedekah.

“Apabila Allah beri rezeki, bukan untuk kita sahaja. Kita ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat, Sebelum ini, ada juga orang dalam kesusahan datang ke rumah sepanjang Ramadan minta bantuan.

“Malah, ada yang berhutang dengan ceti, datang rumah minta bantuan. Bagi tidak menghampakan mereka, saya bantulah seikhlas hati.

“Ada juga rakan artis yang saya bantu. Bukan sekarang sahaja, bahkan sejak dahulu lagi. Cuma, saya tak adalah beri banyak. Kita beri apa yang kita mampu,” cerita Yusof.

Sementara itu, mengulas kemungkinan filem Blood Brothers: Bara Naga bakal disambung selepas mendapat sambutan hangat penonton, bapa kepada pengarah hebat, Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof, itu berkata perkara itu sememangnya berada dalam perancangan.

“Bila sesebuah filem mendapat sambutan pecah panggung yang luar biasa seperti Sembilu, Maria Mariana, Janji Diana, kalau tak sambung rugilah.

Abang Long Fadil daripada RM5 juta kutipan untuk filem pertama, sekuelnya pula meraih RM18 juta dan filem ketiga meraih RM25 juta. Insya-Allah, saya juga akan hasilkan buat Sheriff: Narko Integriti 2 dahulu, selepas itulah menyusul Blood Brothers 2, tahun depan,” kongsinya.

Terdahulu, Blood Brothers: Bara Naga meraih kutipan lebih RM70 juta selepas 25 hari tayangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg