Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ziana Zain ketepi sangsi demi konsert di S’pura

Di sebalik irama sedih remuk jiwa, pelantun lagu ‘Madah Berhelah’ syukuri peluang beri semangat baru buat peminat
Jul 3, 2024 | 5:30 AM
Ziana Zain
Ziana Zain sentiasa menyemaikan jiwa dan minda positif dalam memberi inspirasi kepada peminat yang telah menyokongnya dalam kerjaya seni selama ini. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pada usianya yang mencecah 56 tahun pada 2 Mei lalu, bintang kesayangan ramai, Ziana Zain, tertanya-tanya mampukah beliau menyentuh hati ramai dengan lontaran suara dan gaya persembahan yang dikhuatiri tidak sehebat zaman gemilangnya.

Bagaimanapun, Ziana, atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, meraih keyakinan untuk mengadakan konsert solo pada skala besar selepas 20 tahun tidak berbuat demikian berbekal kata-kata perangsang adiknya, Anuar Zain.

Dua tahun lalu, apabila Ziana dan Anuar bergabung tenaga di The Star Theatre untuk menghiburkan lautan peminat mereka dalam konsert, Anuar Zain & Ziana Zain Live In Singapore 2022, semangatnya terpanggil untuk mengadakan konsert solo di Kota Singa.

Justeru, bak pucuk dicita, ulam mendatang, ini dapat direalisasikan selepas syarikat penganjur konsert, Muse+, yang diterajui penyanyi rap Singapura, Atrez, ‘melamarnya’ untuk konsert di The Star Theatre pada 28 September.

Konsert itu menyusuli konsert, Ziana Zain Concert 2024, di Megastar Arena di Kuala Lumpur pada 25 Mei.

Dalam satu sidang media di The Malayan Council@Esplanade pada 29 Jun, Atrez menjelaskan bahawa biduanita pujaan ramai itu ibarat bintang ‘telan kaset’ kerana suaranya yang masih bertenaga ketika menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi dan mendayu-dayu.

Kata Ziana:

“Ia merupakan satu impian menjadi nyata bagi mengadakan konsert besar di Singapura setelah lebih 20 tahun tidak berbuat demikian.

“Setelah membuat persembahan bersama adik saya, Anuar Zain, di Singapura pada 2022, saya terasa betapa saya rindukan penonton di Kota Singa.

“Saya hanya menanti masa yang tepat untuk mengadakan konsert solo walaupun dalam hati saya sangsi sebab pada usia 56 tahun, mampukah saya terus menyanyi tanpa henti dalam konsert skala besar selama lebih dua hingga tiga jam?

“Jangan nota saya dan lagu saya pula ‘lari’ entah ke mana-mana. Tapi maklum balas yang saya terima daripada peminat adalah mereka datang bukan kerana ingin menilai kemampuan saya pada usia sebegini.

“Bukan faktor usia yang jadi penentu, tetapi kehadiran saya di depan peminat yang ramai adalah yang amat mereka hargai. Anuar banyak memujuk saya dan akhirnya, saya sahut cabaran beliau.

“Saya mula bersenam... tak pernah-pernah buat begitu sebab saya nak mantapkan stamina saya. Tidak mudah nak raih semula tenaga itu pada usia sebegini.”

Menurutnya, mengadakan sebuah konsert tidak semudah mana. Ia bak satu penantian melahirkan cahaya mata yang memerlukan dirinya kekal perkasa hari demi hari.

Beliau juga ragu-ragu sebab terlalu banyak konsert yang diadakan pada 2023 dan 2024.

“Namun, saya yakinkan diri saya bahawa saya mampu melakukan sebaik mungkin pada usia saya yang dah cecah 56 tahun ini.

“Perasaan melihat seisi dewan penuh dengan peminat sangat memuaskan.

“Selepas saya nyanyikan lagu terakhir di Kuala Lumpur, saya dapat pula tawaran untuk buat persembahan di Singapura.

“Justeru. saya amat berbesar hati. Saya berusaha ke arah menghasilkan persembahan yang berjaya dengan izin Allah,” katanya penuh semangat waja.

Bagi Ziana, beliau hanya mengharapkan kekuatan daripada Allah dan bersedia bekerja keras demi amanah dan tanggungjawabnya sebagai penghibur.

“Bidang nyanyian bukan sekadar periuk nasi saya, tetapi saya memiliki tanggungjawab besar terhadap peminat saya.

“Saya pernah tanya peminat tegar mengapa mereka minati saya dan sanggup datang ke konsert saya.

“Mereka kata bukan sahaja kerana lagu saya malar segar, bahkan mereka suka dengan suara saya dan ia memberi diri mereka kebahagiaan.

“Dengar sahaja macam tu, saya terfikir betapa besarnya tanggungjawab saya sebagai penghibur, mengalahkan Yang Berhormat (YB) pula!

“Saya bersyukur kerana amanah nak senangkan hati orang ini datang dengan doa peminat untuk kesihatan dan kesejahteraan diri saya.

“Maka, selagi Allah kurniakan saya tenaga, saya akan terus menghiburkan peminat saya yang saban tahun tanya bila nak bikin konsert,” tambahnya.

Ziana, yang dilahirkan di Merlimau, Melaka, dikenali melalui lagu seperti Madah Berhelah, Kemelut Di Muara Kasih, Setia Ku Di Sini, Puncak Kasih, Anggapan Mu dan Tiada Jodoh Antara Kita.

Lagu-lagu yang mengisahkan tentang jerih perih bercinta, perpisahan, pengkhianatan cinta, keagungan cinta dan serba-serbi kisah manusia yang putus terpaksa biasanya menyentuh perasaan mereka yang pernah melalui peristiwa serupa.

Ziana akur kadangkala ada beberapa lagu yang akan serta-merta membuatnya menangis kerana benar-benar mengena pada kehidupan peribadinya.

Ibu empat anak itu menganggap ketenangan dalam hatinya menyelinap meskipun pernah mengalami krisis rumah tangga yang membawa pada perpisahannya dengan bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, kerana pemikiran positif yang disemai dalam mindanya.

“Saya mendapat penawar dengan menyerahkan segala permasalahan dan gejolak jiwa pada kebijaksanaan yang Maha Esa mengatur hidup saya. Saya yakin Dia tahu apa yang terbaik buat saya.

“Saya juga tersentuh apabila buat konsert di Kuala Lumpur dengan ikhtiar saya berkongsi inspirasi sebagai seorang ibu tunggal.

“Pesan saya kepada kaum Hawa yang menjadi ibu tunggal, kita kuat. Kita dapat bangkitkan semangat kita asal sahaja kita tidak jadikan keadaan kita itu terus-terusan menjadi masalah.

“Kita harus menganggap akan ada terkandung kebaikan dan hikmah untuk diri kita dengan setiap ujian yang diberi.

“Saya dapat banyak pesanan peminat yang merupakan ibu tunggal bahawa mereka rasa diperkasa dengan kata-kata inspirasi saya yang membuatkan mereka ingin terus hidup,” tambah Ziana.

Tiket ‘Ziana Zain Konsert 2024 Singapore’ ini boleh diperolehi menerusi pautan, www.startix.sg. Hanya tinggal dua kategori tiket sahaja yang tinggal untuk tempahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg