Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zul Ariffin gementar bawa watak dukun pempengaruh

Ada permintaan bikin filem ‘Don Dukun 2’ selepas filem seram komedi ‘Don Dukun’ kutip RM3 juta dalam enam hari
Nov 25, 2024 | 5:30 AM
Pelakon, Zul Ariffin, berasa gementar menantikan sambutan pada filem komedi seram, ‘Don Dukun’, yang kini ditayangkan di Malaysia dan Singapura.
Pelakon, Zul Ariffin, berasa gementar menantikan sambutan pada filem komedi seram, ‘Don Dukun’, yang kini ditayangkan di Malaysia dan Singapura. - Foto INSTAGRAM ZUL ARIFFIN

Sebut sahaja nama pelakon sasa Malaysia, Zul Ariffin, ramai yang mengaitkan bintang itu dengan filem aksi seperti, Sangkar dan Sheriff: Narko Integriti.

Bagaimanapun, apabila anda menyaksikan Zul, atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 38 tahun, dalam filem seram komedi, Don Dukun, yang kini ditayangkan di pawagam Malaysia dan Singapura, pastinya tercuit hati anda dan tertanya-tanya mengapakah beliau mencuba watak sebagai dukun pula.

Zul yang ditemui laman web, Harian Metro, di sesi pratonton filem tersebut pada 6 November di pawagam GSC berkata beliau sebenarnya gemuruh ketika menjalani penggambaran filem, Don Dukun, di Kelantan.

“Tak ada filem yang buat saya rasa gemuruh seperti filem ini. Setakat ini, Don Dukun, adalah karya yang membuatkan saya gemuruh di set. Duduk seorang diri pun saya rasa gementar.

“Sebelum ini, berapa banyak kamera pun di depan saya, dengan siapa pun saya berlakon, saya tak gemuruh sebab untuk lakonan, saya dah buat usaha melatih diri bertahun-tahun,” katanya.

Menurutnya, rasa ingin melakukan yang terbaik membuatkannya rasa gemuruh, namun, beliau sendiri berjaya mencari huraian untuk mengawal gemuruhnya.

“Saya sendiri tertanya-tanya, apa yang membuatkan saya gemuruh. Mungkin ada sedikit tekanan sebab saya nak berikan yang terbaik dan pada masa sama, ada ketikanya kepenatan.

“Jadi, selalunya saya akan duduk sekejap, kumpul semula tenaga dan teruskan dengan penggambaran,” katanya.

Dalam filem arahan pengarah Waan Hafiz itu, Zul memegang watak sebagai Don Arif, seorang dukun perawat era baru yang juga bertekad merakam setiap sesi rawatan rasukan yang dikendalikan untuk mendapatkan lebih ramai pengikut di media sosial.

Filem itu turut membariskan pelakon hebat, antaranya, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Ropie, Datuk Yusof Haslam, Sharifah Aryana, Sharifah Husna, Serra Kamal dan ramai lagi.

Penggambaran filem tersebut dijalankan di Kuala Lumpur dan Kelantan dengan tempoh keseluruhan mengambil masa 22 hari.

Dalam pada itu, selepas memperolehi kutipan memberangsangkan sebanyak RM3 juta ($903,397) dalam tempoh enam hari tayangan di Malaysia, filem Don Dukun sudah menerima permintaan untuk menghasilkan Don Dukun 2.

Pengarahnya, Waan Hafiz, berkata, maklum balas sebegitu mencetus semangatnya untuk merealisasikan permintaan itu, namun pada masa yang sama masih berdepan kebimbangan.

“Memang saya lega dan gembira melihat maklum balas rakyat Malaysia yang menerima baik filem itu. Semoga ramai lagi terus beri peluang untuk menyokong dan menontonnya di pawagam.

“Hakikatnya, sudah ada yang minta buat Don Dukun 2 pula tapi segalanya akan bergantung kepada keuntungan akhir kutipannya. Buat masa sekarang, kami menyasarkan ia mampu mencapai RM10 juta,” ujarnya.

Dengan kutipan tersebut, filem itu berada di carta teratas 10 pawagam GSC serata Malaysia bahkan dirasakan sesuai kerana memenuhi cita rasa pelbagai lapisan penonton.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg