Gen G
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Giliran Iman Fandi sinari papan iklan Times Square

Jul 18, 2024 | 10:52 AM
ARTIS WANITA SINGAPURA: Penyanyi Iman Fandi merupakan artis Singapura terkini yang dipapar pada papan iklan Times Square, Bandar New York, pada 19 Jun sebagai sebahagian daripada kempen ‘Equal’ kendalian wadah penstriman, Spotify. 
ARTIS WANITA SINGAPURA: Penyanyi Iman Fandi merupakan artis Singapura terkini yang dipapar pada papan iklan Times Square, Bandar New York, pada 19 Jun sebagai sebahagian daripada kempen ‘Equal’ kendalian wadah penstriman, Spotify.  - Foto UNIVERSAL MUSIC SINGAPORE

MUHAIMIN SUZAINI
msuzaini@sph.com.sg

Wajah penyanyi dan peragawati Singapura, Iman Fandi, terpampang megah pada papan iklan di Times Square, New York City (NYC) pada 19 Jun.

Dalam satu hantaran di Instagram pada 20 Jun, artis wanita berusia 24 tahun itu berkata:

“Ketika kecil, sesuatu yang saya selalu impikan adalah untuk melihat wajah saya dipaparkan pada papan iklan.

“Tidak pernah saya sangka bahawa saya akan tampil pada papan iklan di NYC bersama (wadah penstriman) Spotify. Saya masih ingat lagi panggilan yang saya terima untuk peluang ini dan saya benar-benar tidak mempercayainya sehinggalah perlu menjalani sesi mengambil gambar pada hari berikutnya.”

Iman menyertai artis seperti Stefanie Sun, Tanya Chua, Jasmine Sokko dan Shazza dalam kempen Equal, yang dikendalikan wadah penstriman itu, di NYC.

Kempen ini bertujuan menonjolkan peranan wanita dalam muzik, podcast dan video digital serta memupuk kesaksamaan dalam industri muzik.

Iman merupakan puteri kepada ikon bola sepak Singapura iaitu Fandi Ahmad dan bekas peragawati, Wendy Jacobs.

Beliau membuat penampilan sulung dalam arena muzik profesional sebagai penyanyi pop/R&B dan penulis lagu pada 2021, yang menandatangani kontrak dengan label rakaman Universal Music Singapore.

Single pertamanya berjudul Timeframe dan Love Me Little More telah mencatatkan lebih satu juta penstriman di Spotify.

Beliau juga baru-baru ini mengeluarkan single Leave You On Read dan sedang menyiapkan album sulungnya.

Pada 2023, Iman menyumbang sebagai salah seorang pemuzik tempatan untuk lagu tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), Shine Your Light.

Iman, yang juga aktif sebagai peragawati sejak usia 14 tahun, pernah muncul di majalah seperti Elle Singapore dan Harper’s Bazaar Singapore, serta bekerjasama dengan jenama seperti Adidas dan Celine.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg