Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Dengan siapa kita mahu bersama dalam syurga?

Ustaz Mohammad Khalid Mohd Rafi perjelas antara keinginan manusia di syurga adalah mengecapinya bersama keluarga, orang-orang tersayang
Sep 08, 2023 | 05:30 AM



Kalau kita dapat masuk syurga nanti, siapa agaknya yang kita mahu bersama kita?

Anda teragak-agak mencari jawapannya?

Tentulah bersama orang-orang yang kita cintai, dengan Nabi Muhammad saw dan sahabat-sahabat Baginda, syuhada, solihin dan wali Allah, serta tidak lupa dengan keluarga dan rakan-rakan kita, ya tak?


Menjelaskan perkara ini, Ustaz Mohammad Khalid Mohd Rafi, seorang pendakwah bebas, berkata antara keinginan manusia di syurga nanti adalah untuk tidak mengecapinya seorang diri sahaja tetapi bersama keluarga dan orang-orang yang dia cintai.

Memulakan hujahnya dalam majlis syarahan ‘Amanat Asatizah’ di Masjid Yusof Ishak dengan mauduk ‘Membentuk Keluarga Yang Mendambakan Syurga’, beliau, yang juga hakam di Mahkamah Syariah, memetik perintah Allah swt yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka...” (Surah At-Tahriim, ayat keenam).


“Ayat ini dan banyak lagi ayat Al-Quran serta hadis Nabi saw menekankan akan tanggungjawab kita terhadap keluarga kita, tidak hanya terbatas pada urusan keduniaan sahaja, tetapi mencakupi urusan akhirat juga.


“Oleh itu kita sedar bahawa tanggungjawab sebagai seorang suami atau ketua keluarga adalah untuk menyemaikan prinsip-prinsip yang mulia serta nilai-nilai suci dalam pembentukan jati diri setiap ahli keluarga kita, untuk memperkasakan mereka di dunia dan memartabatkan mereka di akhirat,” jelas beliau.

Menyambung, Ustaz Khalid berkata selepas menjalankan tanggungjawab ini, barulah seseorang itu dapat menikmati segala ganjaran nikmat yang dia inginkan bersama orang-orang yang dia cintai, sesuai dengan firman Allah swt dalam Surah Fussilat, ayat ke-31, yang bermaksud:


“... Dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”


“Inilah yang kita inginkan – kehidupan di syurga yang mana Allah akan mengurniakan kepada kita segala yang kita hajati.

“Antara keinginan manusia di syurga nanti adalah untuk tidak mengecapi kenikmatan itu seorang diri sahaja, tetapi bersama keluarga,” tambah Ustaz Khalid.

Keinginan ini dicatatkan dalam Al-Quran menerusi firman Allah swt: “Iaitu Syurga ‘Adn yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh daripada ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka...” (Surah Ar-Ra’d, ayat 23).


Mengupas maksud ayat ini, Ustaz Khalid berkata, menurut Tafsir Ibnu Kathir, orang-orang ini akan masuk ke syurga bersama orang-orang yang mereka cintai, termasuk bapa, ibu, isteri-isteri dan anak-anak daripada golongan Mukmin yang layak masuk ke syurga.


Dalam hadis berkaitan, beliau menambah bahawa Nabi saw pernah bersabda bahawa seseorang itu akan masuk ke dalam syurga bersama orang-orang yang dia cintai, dan apabila mendengar kata-kata Rasulullah saw itu, Anas ra terus mengumumkan kecintaannya kepada Baginda, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq ra dan Sayidina Umar Al-Khattab ra.


Pakej Naik Taraf Premium Sahaja

Di syurga nanti juga, Allah swt sediakan ‘pakej’ premium atau naik taraf, terang Ustaz Khalid.


“Maksudnya, bayangkan di syurga nanti, jika ayah kita mungkin berada di tingkatan kedua, sedangkan kita diletakkan di tingkatan keempat, maka Allah swt akan mengabulkan doa serta permintaan ayah kita supaya kita dibawa bersama ke syurga di mana dia ditempatkan.


“Begitu juga dengan teman-teman yang selalu bersama kita beramal dan beribadah di masjid, mereka juga akan bersama kita di syurga kita ditempatkan.

“Jangan risau, di syurga nanti, tidak ada pakej turun taraf,” ujar beliau sambil tersenyum.

Perkara ini diterangkan dalam Surah At-Tuur, ayat 21, yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”


Namun, Ustaz Khalid menegaskan bahawa kemasukan ke syurga pastinya bersyarat iaitu orang-orang yang diajak masuk ke syurga itu beriman kepada Allah swt.


“Kalau tidak beriman dan tidak beramal – walaupun sedikit – maka tidak akan diberikan pengkhususan ini.

Lihat sahaja contoh Nabi Nuh as dengan anaknya; walaupun hubungan ayah dengan anak, Allah tidak memberikan keselamatan kepada anak Nabi Nuh as.


“Lihat apa yang berlaku pada Nabi Luth as dan isterinya. Walaupun mereka pasangan suami isteri, Allah tidak memberikan keselamatan kepada isteri Nabi Luth.


“Keistimewaan untuk sama-sama masuk ke syurga ini bukan khas bagi kaum suami atau lelaki sahaja, tetapi isteri juga mendapatkan keistimewaan yang sama melainkan jika pasangan mereka adalah seseorang yang tidak layak mengecapi darjat tersebut. Seperti Asiah, isteri Firaun merupakan antara wanita yang terunggul di dalam syurga sedangkan kita tahu di mana tempatnya Firaun,” kata beliau.

Perkara Yang Perlu Diperhatikan

Untuk membawa keluarga secara berkelompok dan keseluruhan ke dalam syurga, beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

1. Pilih pasangan yang soleh tatkala bernikah

Empat perkara yang diajarkan kepada kita tatkala memilih pasangan adalah pilih yang cantik, nasab yang baik, berharta dan agamanya. Nabi saw berkata “beruntunglah mereka yang memilih agama”.


Menjelaskan, Ustaz Khalid berkata: “Maksudnya di sini adalah ketiga-tiga faktor lain boleh diambil kira tetapi jangan sampai menggadaikan yang keempat... kalau semua faktor lain ada tetapi tidak punya agama, maka ini akan menjadi satu ujian.”

2. Bangunkan misi dan visi bersama

Bincang dengan pasangan dan keluarga untuk bangunkan misi dan visi bersama untuk mencapai kejayaan.

3. Doakan kebaikan bagi mereka

Doakan isteri, suami dan anak-anak. Berikut antara contoh doa daripada Al-Quran.

“Ya Allah, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada seksa neraka.” (Surah Al-Baqarah, ayat 201).


“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah Al-Furqaan, ayat 74).


“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim, ayat 40).


4. Didik keluarga dengan berhemah

Bagaimana? Yang pertama dari sudut teladan. Tunjukkan contoh daripada perbuatan lebih daripada ucapan. Ambil kesempatan biar anak kita lihat kita doakan untuk ibu bapa kita, belajar agama, pergi ke masjid, bayar zakat dan melakukan ibadah agar ia meninggalkan bekas dalam ingatan mereka supaya suatu hari nanti, mereka akan mencontohi kita.

5. Didik keluarga dengan cara memberi nasihat

Gunakan kata-kata yang baik dalam mengajar anak membuat kebaikan dan perlu banyak bersabar. Allah swt memberikan gambaran mengenai perkara ini menerusi firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 17 yang bermaksud:


“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”


6. Berhikmah/guna kebijaksanaan ketika memberi nasihat

Bicara dengan manusia apa yang mereka faham, mengikut tahap kefahaman mereka supaya senang difahami. Gunakan kisah atau cerita yang terkandung dalam Al-Quran untuk terangkan situasi. Gunakan pelajaran daripada setiap kejadian yang berlaku dan kaitkan ganjaran yang boleh dinikmati dalam syurga daripada amalan mereka di dunia.

7. Memberikan nafkah kepada keluarga dengan nafkah yang baik dan dari sumber yang halal

8. Memberi lingkungan yang terbaik kepada keluarga

Contohnya, pendidikan agama terletak pada pundak/bahu ketua keluarga iaitu ayah atau suami. Ayah atau suami perlu faham mengenai perihal agama supaya dapat menasihat isteri dan anak-anak mengenai hukum dan aturan yang betul. Ini kerana menjadi tugas mereka mendidik isteri dan anak-anak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >