Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Kenapa Ramadan dinanti?

Ustazah Nur Azyan perjelas kelebihan terkandung dalam bulan mulia yang bakal tiba beberapa hari lagi
Mar 25, 2022 | 05:30 AM



BAGAI tidak terasa Ramadan, yang ditunggu-tunggu dan didambakan umat Islam, bakal menjelang tidak lama lagi.



Namun, mengapa Ramadan, bulan istimewa buat umat Nabi Muhammad saw, amat dinanti-nanti?



Memulakan perbincangan dengan Berita Harian mengenai kelebihan Ramadan, Ustazah Nur Azyan Roslan, Eksekutif Pendidikan Islam Masjid Al-Falah, berkata:



"Alhamdulillah dan syukur kepada Allah swt yang menganugerahkan kepada umat Islam bulan yang ditunggu-tunggu iaitu Ramadan yang mulia.



"Ia bulan yang diberi keistimewaan daripada 12 bulan Hijrah seluruhnya. Ramadan adalah bulan yang menyaksikan Al-Quran diturunkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad saw dan ibadat puasa disyarakkan.



Ini sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 185: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur".



"Satu lagi sebab umat Islam berkobar-kobar menyambut Ramadan adalah kerana dalam bulan yang khusus ini, Allah swt telah menjadikan satu malam yang istimewa yang menyaksikan setiap amalan yang dilakukan akan dilipatgandakan pada malam tersebut. Malam itu dikenali dengan lailatulqadar atau Malam Al-Qadr."



Menurut Ustazah Nur Azyan, yang memiliki ijazah sarjana muda bidang Usuluddin (Akidah dan Falsafah) daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, Allah swt berfirman dalam surah Al-Qadr, 1-5:



"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"



"Setiap anugerah yang diberikan oleh Allah swt ini tidak lain dan tidak bukan agar umat Islam berlumba-lumba mencari keredaan Allah swt dalam apa jua ketaatan, lebih-lebih lagi dalam Ramadan yang penuh kemuliaan," tambah Ustazah Nur Azyan.



Dalam Ramadan juga, terang beliau, Allah swt menawarkan kelebihan pahala amalan kerana ia bulan yang dimuliakan-Nya. Pelbagai peristiwa besar berlaku dalam Ramadan, antaranya pembukaan kota Makkah, Nuzul Al-Quran (penurunan Al-Quran) dan Malam Al-Qadr.



Seperti yang diriwayatkan Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu'abul Iman, Ramadan membuka ruang kepada semua umat Islam menggandakan amal soleh dan balasan pahala bagi amalan yang wajib digandakan sebanyak 70 kali ganda dan amalan sunah pula digandakan kepada pahala amalan fardu dan wajib.



"Hal ini sewajarnya menjadi salah satu motivasi bagi umat Islam supaya bangun dan beramal. Ini memandangkan ganjaran besar pasti menunggu seorang Muslim yang melaksanakan solat fardu dengan rapi, mentarbiah keluarga dengan sebaiknya, melaksanakan tugas sebagai pekerja dengan integriti, menyantuni sesama insan, mendirikan solat tarawih dan tahajud dalam keadaan dia berpuasa pada siang harinya," ujar Ustazah Nur Azyan.



CARA TUNJUK KESYUKURAN SAMBUT KETIBAAN RAMADAN



Menjelaskan, Ustazah Nur Azyan berkata Ramadan seharusnya disambut dengan rasa gembira dan penuh rasa syukur kerana ia adalah keistimewaan yang hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad saw.



"Sebaik-baik cara meraikan Ramadan adalah dengan menunaikan amalan khusus yang diwajibkan dengan bersungguh-sungguh; terutama menunaikan ibadat puasa dan mengeluarkan zakat fitrah.



"Ibadah puasa adalah wasilah untuk melahirkan sifat syukur dan takwa kepada Allah swt kerana jika nafsu disekat daripada sebahagian keperluan daruriyat seperti makan dan minum semata-mata untuk mengharapkan keredaan Allah dan berasa takut akan kemarahan dan kemurkaan Allah swt, maka ketika itu jiwa akan lebih mudah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram dan maksiat.



"Dengan takwa yang dibina dalam jiwa, akan terlahir kesedaran bahawa insan adalah makhluk yang lemah dan nikmat-nikmat yang Allah berikan tidak ternilai."



Menerangkan maksud nikmat yang tidak ternilai itu, beliau berkata lumrah bagi manusia mudah lupa pada Pemberi Nikmat apabila mata dan hatinya dikaburi oleh dunia.



"Apabila nikmat itu direhatkan, barulah dia tersedar akan keperluan hamba kepada Penciptanya. Dan ini adalah sebaik-baik keperluan insan bagi menyuluh perjalanannya di dunia hingga ke akhirat nanti.



"Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa"." (Surah Al-Baqarah, ayat 183).



KESIMPULAN



Pendek kata, Ramadan dan segala kelebihan yang terkandung di dalamnya adalah satu nikmat yang diberikan Allah swt kepada hamba-hamba-Nya.



"Bersyukurlah kita atas nikmat Ramadan ini. Bayangkanlah betapa Pengasih Allah swt yang sentiasa memberi kita peluang mendapat pahala yang begitu banyak dan membuka pintu taubat untuk hamba-Nya yang banyak berdosa sepanjang tahun. Namun, Allah swt menutupi aib kita.



"Oleh itu, marilah kita persiapkan diri kita dengan memperbanyak amal dalam Ramadan yang akan datang tidak lama lagi. Beristiqamahlah dalam beramal soleh setelah Ramadan agar kita senantiasa diredai Allah.



"Amat rugi jika seseorang telah mendapat momentum beramal soleh dalam Ramadan, namun kemudian amalan itu dilonggarkan selepas bulan mulia ini berlalu pergi.



"Kita tidak dapat menjangka ajal maut kita. Kita hanya dapat berharap agar apabila tiba masanya kita kembali ke rahmatullah, kita berada dalam keredaan Allah swt.Wallahuaklam," ujar Ustazah Nur Azyan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >