Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

hidayah

Fahami erti untuk hayati AIDILADHA yang bakal menjelang

Jun 23, 2023 | 05:30 AM



Umat Islam di seluruh dunia menyambut dua perayaan besar (Hari Raya) setiap tahun iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Walaupun Aidilfitri dirayakan lebih meriah dan terbuka di Singapura – dengan menziarahi anggota keluarga dan rakan-rakan dengan pakaian tradisional berwarna-warni – sambutan Aidiladha nampak lebih sederhana selain penganjuran ibadah korban.

Jadi, apa sebenarnya kepentingan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 29 Jun?

KENAPA KITA SAMBUT AIDILADHA

Umat Islam berpegang pada Rukun Islam yang terdiri daripada lima perkara, yang ditetapkan Allah swt, dengan sebaik-baiknya, dan antara ibadah paling mencabar di antara kelima-lima rukun ini ialah saum (puasa sepanjang Ramadan) dan menunaikan haji (ke Makkah).


Ini sesuai dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Islam dibangunkan di atas lima (tiang); bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji ke Baitullah, dan berpuasa dalam Ramadan.” (Sahih Al-Bukhari).


Bagi Aidiladha khususnya, ia merupakan sambutan yang menandakan terlaksananya kesemua Rukun Islam iaitu dengan pelaksanaan rukun kelima iaitu ibadah haji.

Ibadah haji hanya diwajibkan sekali seumur hidup, bagi mereka yang mampu dari segi rohani, jasmani dan kewangan.

Umat Islam di seluruh dunia yang terpilih menjadi duyufurrahman iaitu ‘tetamu Allah’ menyahut seruan itu dengan menunaikan ibadah haji di kota suci Makkah.


Walaupun berasal daripada pelbagai latar belakang, budaya dan status, mereka berkumpul di tempat yang sama dengan satu objektif – untuk berserah sepenuhnya kepada Allah. Inilah masanya umat Islam menyatakan sepenuhnya kehambaan kepada Allah Yang Maha Berkuasa dengan menunaikan haji.

Ibadah ini diambil daripada pengorbanan Nabi Ibrahim as; isterinya, Hajar; dan anaknya, Nabi Ismail as.


Contohnya, ketika Hajar berada di padang pasir yang tandus, bersendirian dengan bayinya, beliau tidak putus harapan dan percaya bahawa Allah ada bersamanya. Dan sesungguhnya Allah, dengan kuasa dan rahmat-Nya, menyediakan bagi mereka air zamzam.

Air zamzam masih mengalir hingga kini, dan jemaah haji tidak melepaskan peluang meminumnya.

Sedang jemaah haji menjalani ibadah mereka di Tanah Suci, harus diingat bahawa ia bukan sekadar ritual.

Kita semua perlu mengaitkannya dengan renungan mendalam mengenai kekuatan dan ketabahan luar biasa Nabi Ibrahim as dan keluarganya.


Dengan renungan sedemikian, kita perlu memperbaharui niat dan mengingatkan diri kita mengenai tujuan utama kita dicipta – untuk menjalani kehidupan yang berpaksikan sepenuhnya kepada Allah.

Sebagai balasan atas pengorbanan yang kita lakukan kerana-Nya, Allah yang Maha Pemberi dan Maha Penyayang, mengurniakan kepada kita dengan kemeriahan sambutan Eid atau Hari Raya.


Lantas, Hari Raya Aidiladha juga adalah satu cara bagi kita menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang tidak terkira banyaknya yang dikurniakan Allah swt.


AIDILADHA HARI TERAKHIR DALAM
10 HARI TERBAIK ZULHIJAH

Allah swt berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 36, yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah adalah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah)...”


Malah, pada zaman sebelum kedatangan Islam yang menyaksikan peperangan bagai satu kebiasaan, kabilah-kabilah dilarang meneruskan pertempuran pada bulan-bulan ini sebagai menghormati kesuciannya.

Allah swt telah menjadikan Zulhijah sebagai salah satu bulan mulia dalam Islam.


Dalam Zulhijah, Allah swt akan membalas segala kebaikan dengan berlipat ganda, terutama pada 10 hari pertamanya.


Hal ini dijelaskan dalam sepotong hadis Nabi saw yang bermaksud: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah).” (Sahih Al-Bukhari).


Bagi kita yang boleh berpuasa sepanjang sembilan hari pertama Zulhijah, marilah kita berpuasa kerana ganjarannya begitu banyak sekali.

Bagi yang tidak mampu berbuat demikian, cuba supaya tidak terlepas berpuasa Arafah (puasa pada 9 Zulhijah).

Puasa ini khas bagi kita yang tidak menunaikan haji tahun ini. Nabi kita Muhammad saw, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, menyebut dalam sepotong hadis:


“Puasa Arafah (9 Zulhijah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura (10 Muharam) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Sahih Muslim).


Dan, pada hari ke-10 dan hari terakhir daripada 10 hari terbaik ini, Allah secara khusus menetapkan Aidiladha sebagai Hari Raya, malah, sambutannya dilanjutkan sepanjang empat hari (10 hingga 13 Zulhijah).

Bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia, perayaannya lebih besar berbanding Aidilfitri.

Bukan itu sahaja, bahkan puasa pada keempat-empat hari ini adalah dilarang.

Dengan memahami kesucian Zulhijah dan sebab di sebalik perayaannya akan membantu kita menyedari betapa besar dan bermaknanya Hari Raya Aidiladha.

MERAIKAN NILAI PENGORBANAN

Dalam semangat meraikan Aidiladha, umat Islam dianjurkan bertakbir selepas setiap solat bermula dari solat subuh 9 Zulhijah hingga solat asar 13 Zulhijah bagi memuliakan dan memuji Allah.

Pada pagi Hari Raya Haji pula, umat Islam dianjurkan berkumpul di masjid untuk solat berjemaah dan selepas itu, bersalam-salaman bagi menceriakan lagi sambutan.

Mereka juga digalakkan menggunakan laluan berbeza dalam perjalanan ke masjid dan apabila pulang bagi membolehkan mereka bertemu dan mengucapkan selamat kepada lebih ramai orang, untuk memperkukuh hubungan masyarakat dan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah swt.


Selain itu, umat Islam digalakkan melakukan ibadah korban.

Umat Islam percaya bahawa Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim as supaya mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as, untuk menunjukkan secara simbolik bahawa seseorang itu perlu mengorbankan apa sahaja yang mereka sayangi kerana Allah.


Ibadah menyembelih haiwan korban ini terus diamalkan bagi membolehkan semua orang menikmati kemeriahan suasana – daripada orang yang melaksanakannya kepada orang yang menerima dan memakan daging haiwan yang dikorbankan itu.

Sesungguhnya sebahagian daripada penzahiran rasa syukur kepada Allah adalah melalui pemberian sambil kita menyambut ‘hari kesyukuran’ ini.

Nabi Ibrahim as dan keluarganya telah menunjukkan kepada kita erti sebenar pengorbanan kerana Allah.


Oleh itu, pada hari-hari yang penuh keberkahan ini, giliran kita pula untuk bertanya pada diri kita sendiri – apakah yang sanggup kita korbankan hari ini untuk kembali memusatkan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah swt?


Kita berdoa agar Allah memberikan kita petunjuk dan keteguhan untuk melaksanakan segala perintah-Nya dan memasukkan kita ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang taat dan soleh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >