Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Khalifah gelaran mulia bagi manusia

Mar 15, 2024 | 05:30 AM



Ketika penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam as, Allah swt tidak memperkenalkan Baginda sebagai ‘insan’ atau kalimat seerti dengannya yang lebih kerap digunakan dalam ayat-ayat lain dalam Al-Quran bagi merujuk kepada manusia.


Malah, Allah swt menggunakan kalimat ‘khalifah’ yang begitu sarat dengan makna.


Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”


Lantas, apakah yang dimaksudkan dengan ‘khalifah’ itu?

Dari segi bahasa, khalifah membawa maksud menggantikan tempat sesuatu. Ia juga digunakan untuk menunjukkan kedudukan seseorang sebagai penguasa, ketua atau wakil.

Berdasarkan takrif bahasa sahaja, segelintir ulama berpendapat khalifah merujuk kepada tugas manusia iaitu menjadi wakil Allah swt dalam menegakkan keadilan dan kebenaran serta memastikan kesejahteraan di bumi.


Dalam konteks tafsir pula, menurut Ibn Kathir, khalifah difahamkan sebagai satu makhluk yang beranak pinak dan menghasilkan generasi demi generasi sepanjang ia menghuni bumi.

Khalifah ini bukan khusus bagi Nabi Adam as kerana tidak sesuai gambaran yang disebutkan malaikat sebagai ‘orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah’ bagi seorang nabi.


Bahkan, berkenaan pertanyaan malaikat, Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ia bukanlah atas dasar mempertikaikan tindakan Allah swt atau atas sebab cemburu, seperti yang disangka segelintir masyarakat.


Tanggapan tersebut tidak tepat kerana para malaikat diciptakan secara fitrahnya sentiasa dalam ketaatan kepada Allah swt.


Namun, pertanyaan tersebut lebih cenderung kepada ingin mengetahui kebijaksanaan (hikmah) di sebalik menciptakan manusia.

Kemudian, Allah swt mengabadikan jawapan bagi persoalan tersebut dalam ayat yang sama, menerusi firman-Nya: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”


Kenyataan ini merangkumi pemahaman bahawa Allah swt akan menghantar utusan-Nya seperti nabi-nabi dan rasul yang akan menghasilkan golongan yang beriman, syuhada, ulama dan sebagainya dalam kalangan manusia, lalu daripada golongan soleh ini, kebaikan dapat tersebar dan keburukan dicegah sebaik mungkin.


Aayat ini seolah-olah menerangkan bahawa manfaat daripada penciptaan manusia itu lebih besar dan utama daripada melakukan kebinasaan dan kerosakan di bumi.

Oleh itu, boleh kita fahami bahwa gelaran khalifah menjadi satu gelaran mulia buat manusia. Namun, gelaran ini juga terkandung tanggungjawab yang berat yang perlu digalas manusia.

Antara tugas manusia selaku khalifah di bumi adalah:

Pertama: Peranan manusia adalah memastikan keadilan diamalkan dalam setiap aspek seperti hubungan antara manusia, dalam jual beli, politik dan sebagainya.

Ia sejajar dengan firman Allah dalam Surah Sad, ayat 26: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”


Kedua: Tugas manusia adalah sebagai pemimpin yang diamanahkan memelihara bumi dan mewujudkan persekitaran yang aman bagi setiap penghuni bumi.

Islam menganjurkan agar manusia memastikan keberlanjutan alam semesta dan ekosistem berjalan dengan lancar sebagaimana Allah swt menyediakannya supaya ia dapat dimanfaatkan manusia dan sebagai satu bentuk kenikmatan daripada Allah swt.


Malah, setiap perilaku kita di dunia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Ketiga: Peranan terbesar seorang khalifah adalah untuk beribadah dan menyembah Allah swt.


Selain di peringkat peribadi, menjadi tugas khalifah terus melakukan kerja dakwah agar kalimah tauhid terus tersebar di muka bumi.

Sebagaimana tujuan penciptaan manusia telah disebutkan dengan jelas dalam Surah Az-Zariyat, ayat 56, “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”


Sebagai rumusan, dengan kesedaran tentang peranan seorang khalifah, ia dapat memberikan pencerahan mengenai tujuan kita sebagai seorang Muslim.

Ia juga menekankan betapa pentingnya setiap Muslim bersikap proaktif dalam menjalankan peranan tersebut di mana pun dia berada dan di dalam apa juga bidang yang diceburi sebagai sumbangannya kepada agama Islam dan satu bentuk manifestasi ketaatan kepada Allah swt.


Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >