Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kiraan awal Ramadan: Kesatuan dalam kepelbagaian

Tujuan akhirnya sama iaitu untuk tentukan awal bulan Islam berdasarkan dalil serta prinsip agama yang sahih
Feb 23, 2025 | 5:30 AM
Data anak bulan pada 28 Februari 2025 bersamaan dengan 29 Syaaban 1446
Data anak bulan pada 28 Februari 2025 bersamaan dengan 29 Syaaban 1446 - Foto MUIS

Tidak menghairankan jika perbezaan dalam penentuan seperti awal Ramadan ataupun Syawal kadangkala berlaku antara negara-negara berjiranan.

Sejak zaman sahabat lagi, pernah berlaku perbezaan pada penentuan awal bulan Islam, antara mereka yang berada di negara/wilayah yang berbeza.

Kepelbagaian ini merupakan sebahagian daripada fitrah kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah swt, selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas agama.

Ibarat sebuah karya seni, keindahannya terletak pada kepelbagaian warna dan corak, bukan semata-mata pada keseragaman.

MABIMS DAN KRITERIA PENENTUAN AWAL BULAN ISLAM

Di bawah Mabims iaitu Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura, terdapat pelbagai bidang kerjasama, demi mewujudkan kesepakatan serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga maslahat dan kepentingan umat Islam.

Antara perkara yang dipersetujui dalam Mabims ialah kesepakatan menetapkan kriteria bagi menentukan sama ada awal bulan hijriah, seperti bulan Ramadan, Syawal dan sebagainya, dapat dilihat ataupun tidak.

Ia lebih dikenali sebagai Kriteria Imkanur Rukyah Mabims.

Jika anak bulan pada hari ke-29 pada sesuatu bulan hijriah, ketika Maghrib memenuhi kriteria tersebut, maka keesokan harinya akan diisytiharkan sebagai awal bulan Islam.

Sebaliknya, jika tidak memenuhi kriteria, maka keesokan harinya akan menjadi hari pelengkap bagi bulan tersebut kerana berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah (kemungkinan untuk dilihat) anak bulan dianggap tidak mungkin dapat dicerap sama ada dengan mata kasar mahu pun teleskop.

Kriteria Mabims terkini menetapkan dua garis penentu (parameter) ketika matahari tenggelam pada hari ke-29, iaitu (i) perbezaan antara matahari dengan bulan (jarak lengkung) perlu sekurang-kurangnya 6.4 darjah dan (ii) ketinggian anak bulan tidak kurang dari 3 darjah.

Apakah dasar bagi kriteria tersebut?

Antara rujukan utama kriteria tersebut adalah dapatan kajian yang dikendalikan seorang pakar falak, Mohammad Shawkat Odeh.

Iaitu berdasarkan kepada 737 cerapan anak bulan yang dilaksanakannya di seluruh dunia, tanpa bantuan alat pengimejan seperti kamera (CMOS) atau ‘charge-coupled device’ (CCD).

Ini bermakna, dalam 737 cerapan yang direkodkan, tidak pernah ada kes di mana anak bulan dapat dilihat menggunakan mata kasar ataupun teleskop jika perbezaan jarak lengkong antara matahari dan bulan kurang daripada 6.4 darjah.

PENDEKATAN YANG DIAMBIL SINGAPURA

Meskipun parameter ini telah menjadi titik persetujuan, perbezaan tetap boleh berlaku apabila mengambil kira pendekatan yang diamalkan oleh Singapura.

Terutamanya disebabkan faktor geografi dan atmosfera di Singapura.

Singapura memiliki ruang yang terhad serta terbatas bagi menyaksikan anak bulan.

Pada waktu yang sama, keadaan cuaca di Singapura yang sentiasa berawan, sentiasa menjadi cabaran bagi mencerap anak bulan.

Dari itu, Singapura telah mengamalkan kaedah Hisab, atau perkiraan, seawal 1974, bagi menentukan awal bulan Hijrah.

Termasuklah penetapan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijah.

Berdasarkan kaedah hisab, sekiranya anak bulan berpotensi untuk kelihatan pada hari ke-29 pada bulan Islam, dengan memenuhi Kriteria Imkanur Rukyah Mabim, maka keesokan harinya akan diisytiharkan sebagai hari pertama bulan Islam.

Sebaliknya, jika ia tidak memenuhi kriteria, keesokan harinya akan menjadi hari pelengkap bagi bulan tersebut.

Hal ini berbeza dengan negara-negara Mabims lain yang mengamalkan rukyah di mana kriteria tersebut dijadikan sebagai panduan sahaja.

Ini bermakna, jika anak bulan dapat dilihat, sama ada dengan mata kasar ataupun teleskop, pada hari ke-29 bulan Islam, maka keesokan hari merupakan hari pertama bulan Islam.

Meskipun perkiraan hisab pada hari ke-29 tidak memenuhi kriteria yang telah dikenal pasti.

Penggunaan Hisab di Singapura dan rukyah di negara lain mencerminkan keragaman dalam memahami dan mengamalkan Islam, semuanya mengambil kira konteks serta keperluan masing-masing.

Meskipun pendekatan yang digunakan berbeza, namun, tujuan akhirnya adalah sama iaitu untuk menentukan awal bulan Islam berdasarkan dalil serta prinsip agama yang sahih.

Setiap negara mempunyai hak serta kuasa tersendiri dalam menentukan kaedah yang sesuai mengikut konteks dan keadaan masing-masing.

ANALISIS ANAK BULAN BAGI RAMADAN 1446H

Untuk memahami dengan lebih jelas, saya mendatangkan contoh yang dekat bagi Ramadan 1446H.

Berdasarkan perkiraan hisab di Singapura, data bagi anak bulan pada hari ke-29 bulan Syaaban 1446H ketika waktu maghrib dijangkakan seperti berikut: (i) jarak lengkung: 5.1 darjah dan (ii) ketinggian anak bulan: 4.3 darjah.

Berdasarkan prinsip yang dijelaskan, ini bermakna pada 29 Syaaban tahun ini, anak bulan tidak dapat dilihat.

Kerana, ia tidak memenuhi dua parameter yang telah dikenal pasti.

Ini bermakna hari yang berikutnya iaitu 1 Mac 2025, merupakan hari pelengkap bagi bulan Syaaban bagi Singapura.

Meskipun begitu, pengisytiharan awal bulan tetap tertakluk pada pengumuman Mufti Singapura nanti.

Dengan menganalisis data anak bulan bagi negara jiran seperti Malaysia, kita mendapati bahawa anak bulan pada 29 Syaaban kelak adalah: (i) Jarak lengkung: 5.3 darjah dan (ii) ketinggian anak bulan: 4.3 darjah.

Berdasarkan kepada Kriteria Mabims dan juga perkiraan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), anak bulan dijangkakan tidak dapat dilihat di Malaysia, sama ada dengan mata kasar ataupun dengan menggunakan teleskop.

Ini bermakna, awal Ramadan 1446H bagi Singapura dan Malaysia dijangkakan akan bermula serentak pada 2 Mac 2025.

USAHA JAWATANKUASA FALAK SINGAPURA

Di Singapura, terdapat satu jawatankuasa yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Fatwa Muis, ia merupakan Jawatankuasa Falak.

Salah satu peranan Jawatankuasa Falak Singapura adalah menetapkan takwim Islam di Singapura.

Dalam proses ini, Jawatankuasa Falak turut berinteraksi dan bertukar pandangan serta kepakaran dengan pihak berkuasa di negara jiran.

Sebagai contoh, Jawatankuasa Falak telah mengadakan beberapa sesi perkongsian dapatan dan kepakaran.

Di antaranya, sesi bersama Jabatan Mufti Johor pada 19 Ogos 2024, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Ogos 2024.

Pada sesi tersebut, kedua-dua badan agama telah memberikan komitmen bahawa Ramadan 1446H dijangkakan akan bermula pada 2 Mac 2025, sama seperti Singapura.

Ini adalah kerana anak bulan tidak mungkin dapat dilihat dengan menggunakan mata kasar mahupun teleskop.

Namun, tarikh rasmi permulaan Ramadan hanya akan diketahui pada 28 Februari 2025, apabila negara Malaysia melaksanakan rukyah.

HORMATI KEPUTUSAN NEGARA MASING-MASING

Kesimpulannya, perbezaan tarikh dalam penetapan awal bulan hijriah bukanlah sesuatu yang asing di dalam tradisi Islam, malah ia juga pernah berlaku.

Begitu juga ia pernah berlaku dalam sejarah Singapura.

Apa yang lebih penting adalah kita memelihara perpaduan, menghormati keputusan setiap negara dan mengikuti ‘Ulil Amri’ ataupun pihak berkuasa di negara masing-masing.

Keputusan yang diambil, telah mempertimbangkan aspek ilmu pengetahuan, serta berdasarkan kepada prinsip agama yang sahih.

Penulis ialah Timbalan Mufti.

Untuk pemahaman yang lebih mendalam, imbas kod QR berikut untuk membaca buku yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti: Navigating Tradition and Science – Singapore’s Approach in Determining the Hijri Calendar.
Untuk pemahaman yang lebih mendalam, imbas kod QR berikut untuk membaca buku yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti: Navigating Tradition and Science – Singapore’s Approach in Determining the Hijri Calendar. - Foto MUIS
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg