Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SalamSG Ramadan dekatkan masyarakat dengan masjid

Kempen galak Muslim hidupkan semangat agama dengan program menarik di masjid sepanjang Ramadan
Feb 21, 2025 | 5:30 AM
Pengerusi SalamSG Ramadan 2025, Encik Fa’izal Abdul Rahim, berharap maklumat yang dikongsi SalamSG dapat memudahkan lebih ramai orang untuk datang ke masjid. 
Pengerusi SalamSG Ramadan 2025, Encik Fa’izal Abdul Rahim, berharap maklumat yang dikongsi SalamSG dapat memudahkan lebih ramai orang untuk datang ke masjid.  - Foto MUIS

Menyandang peranan untuk menerajui kempen SalamSG 2025 bagi Ramadan merupakan tanggungjawab berat.

Ia memerlukan pelbagai usaha dan penyelarasan, di samping menyandang pelbagai peranan.

Namun, melihat kepada peluang untuk membawa masyarakat lebih dekat kepada masjid, ia mendorong pengerusi bersama SalamSG Ramadan 2025, Encik Fa’izal Abdul Rahim, untuk melakukan sebaiknya.

“Walaupun terdapat cabaran, ia berbaloi kerana kesan positif yang boleh diberikan kepada masyarakat.

“Melalui kempen seperti ini, kita dapat membawa masyarakat lebih dekat ke masjid… berkongsi apa yang dilakukan oleh masjid dan melaksanakan program yang menarik bagi pelbagai segmen masyarakat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Dilancarkan pada 8 Februari, SalamSG Ramadan 2025 bertujuan menggalakkan masyarakat menghidupkan semangat keagamaan mereka.

Ia diterajui masjid tempatan dan disokong Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Seorang lagi pengerusi bersama bagi SalamSG Ramadan 2025 ialah Ustaz Mohammad Fairuz Shah.

Encik Fa’izal, yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif bagi Masjid-Masjid Al-Khair dan Assyakirin, serta Ustaz Fairuz, yang merupakan Pengerusi Masjid Yusuf Ishak dan Masjid An-Nahdhah, akan memimpin pasukan tersebut dalam melaksanakan program sepanjang Ramadan di bawah kempen SalamSG.

Pengerusi bagi SalamSG Ramadan 2025, Encik Fa’izal Abdul Rahim (kiri) bersama ahli Pasukan Projek SalamSG Ramadan iaitu Eksekutif Kanan, Perhubungan Masyarakat Masjid Al-Khair, Cik Farah Nabilah Roslee dan Penolong Pengurus Masjid Al-Khair, Encik Nur Azhar Azman.
Pengerusi bagi SalamSG Ramadan 2025, Encik Fa’izal Abdul Rahim (kiri) bersama ahli Pasukan Projek SalamSG Ramadan iaitu Eksekutif Kanan, Perhubungan Masyarakat Masjid Al-Khair, Cik Farah Nabilah Roslee dan Penolong Pengurus Masjid Al-Khair, Encik Nur Azhar Azman. - Foto MUIS

Bertemakan ‘Bina Keyakinan, Pupuk Kebijaksanaan’, SalamSG 2025 akan menekankan pada tiga nilai utama – Keyakinan, Ketahanan, Pemerkasaan.

Menurut Encik Fa’izal, struktur bagi nilai tersebut mempunyai kelebihan khususnya bagi masyarakat Islam Singapura.

“Keyakinan ialah kita fahami ibadah yang kita lakukan bukan sekadar ibadah… ia adalah untuk (mengamalkan ibadah) dengan lebih yakin dan lebih dekat dengan Allah.

“Ketahanan ialah sesuatu yang saya rasa sangat diperlukan secara berterusan dalam masyarakat. Itu juga sebahagian daripada Islam, iaitu bangkit semula selepas ujian.

“Masyarakat yang berdaya ialah apabila kita tahu bagaimana untuk mengamalkan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan kita,” jelasnya.

Masyarakat Islam mampu menikmati pelbagai program yang akan dijalankan di masjid sepanjang Ramadan.

Selain kuliah harian, tazkirah selepas solat tarawih, sesi bacaan Al-Quran berjemaah dan pelbagai program rohani yang memperkaya pengalaman Ramadan serta menanamkan nilai-nilai SalamSG akan diadakan.

Antaranya, SalamSG Gives, yang akan melibatkan kakitangan masjid dan sukarelawan untuk mengagihkan hamper Ramadan kepada keluarga berpendapatan rendah, akan diadakan pada 22 Februari.

Program Cabaran Belia Ramadan (RYC), yang merupakan wadah bagi belia mendapatkan pemahaman lebih mendalam tentang Ramadan, akan dibuka kepada belia berumur 13 hingga 17 tahun.

Kem selama dua hari satu malam itu – 15 hingga 16 Mac – bertujuan memperkasa belia sebagai pembawa perubahan untuk menyumbang secara positif.

Pada 17 Mac, Tazkirah Nuzul Al-Quran akan diadakan untuk menerapkan pemahaman yang lebih baik tentang bagaimana prinsip Al-Quran boleh digunakan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

Pada 21 Mac, Night of Power akan menyaksikan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menyampaikan ceramah untuk memupuk rasa tanggungjawab bersama dan perkembangan rohani semasa Ramadan.

Satu risalah Ramadan yang mengandungi 30 amalan ringkas untuk memperkaya pengalaman Ramadan juga akan diedarkan di masjid-masjid pada hari pertama solat tarawih.

Selain itu, saluran WhatsApp SalamSG juga disediakan untuk membolehkan orang ramai mendapat perkembangan mengenai masjid, mesej inspirasi dan renungan sepanjang Ramadan.

Encik Fa’izal berharap menerusi maklumat dan wadah yang dikongsi SalamSG, ia dapat memudahkan lebih ramai orang untuk datang ke masjid.

“Tanpa SalamSG, masyarakat akan tetap datang ke masjid (untuk Ramadan).

“Namun, menerusi maklumat yang dikongsi SalamSG, kami berharap ia dapat mengajak (lebih ramai) masyarakat untuk datang ke masjid dan menjadikan Ramadan mereka lebih bermakna,” ujarnya.

Maklumat bagi acara utama SalamSG Ramadan, risalah Ramadan, solat tarawih dan lokasinya serta program dan perkhidmatan berkaitan Ramadan (contohnya, pengagihan bubur dan berbuka puasa) yang disediakan masjid boleh didapatkan di laman web ramadan.sg.

Tanpa SalamSG, masyarakat akan tetap datang ke masjid (untuk Ramadan).  Namun, menerusi maklumat yang dikongsi SalamSG, kami berharap ia dapat mengajak (lebih ramai) masyarakat untuk datang ke masjid dan menjadikan Ramadan mereka lebih bermakna.
 Encik Fa’izal Abdul Rahim, Pengerusi SalamSG Ramadan 2025.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg