Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hidayah

Maulud dekatkan umat, perdalam cinta kasih pada Nabi

Ustaz Sallim Jasman jelaskan pelbagai kebaikan, faedah besar majlis Maulidur Rasul
Sep 29, 2023 | 05:32 AM



Tanggal 12 Rabiulawal yang jatuh pada Khamis, 28 September, merupakan satu tarikh keramat yang menyaksikan umat Islam menyambut Maulidur Rasul bagi merai dan memperingati kelahiran Nabi Muhammad saw sebagai rahmat terbesar dan anugerah paling agung yang dikurniakan Allah swt untuk alam semesta ini.


Masjid-masjid di Singapura, misalnya, mengadakan pelbagai majlis mulai semalam hingga ke hujung minggu ini dan seterusnya, malah ada yang telah mula mengadakan acara serupa sejak 1 Rabiulawal, untuk menghidupkan perayaan bagi menunjukkan rasa cinta, penghargaan dan bagi mengenang sejarah, perjalanan hidup dan perjuangan Baginda saw menyampaikan risalah Islam kepada seluruh umat.


Meluahkan rasa syukur Maulidir Rasul terus disambut di Singapura, Ustaz Sallim Jasman, mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, yang juga anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), berkata:

“Alhamdulillah semua masjid di Singapura menyambut Maulidir Rasul dengan menganjurkan pelbagai kegiatan dan tidak lupa mengadakan acara tazkirah atau ceramah mengenai sejarah, perjalanan hidup dan perjuangan Rasulullah saw.


“Dengan mengingati selalu sejarah hidup Nabi saw dan ajaran Baginda akan dapat menjadikan kita orang yang terdidik dengan akhlak yang baik, sempurna dan tidak menyeleweng daripada garis pandu yang digariskan oleh Rasulullah saw.


Banyak kebaikan
dan faedah

Meneruskan bicara, Ustaz Sallim, yang telah mencurahkan khidmat di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Mahkamah Syariah sejak 1970 hingga 2006, dan pernah menerima Anugerah Obor Ummah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) atas sumbangannya dalam pelbagai aspek dakwah pada 2018, menambah bahawa sambutan Maulud Nabi mempunyai banyak kebaikan dan faedah.

“Walaupun tidak ada galakan daripada Nabi saw, para sahabat dan ulama tersohor mengenai sambutan serupa diadakan hari ini, ia tetap mempunyai begitu banyak kebaikan dan faedahnya.


“Dengan adanya perayaan Maulidur Rasul, kita dapat mengenali nabi kita, Nabi Muhammad saw, dengan lebih dekat, dengan lebih baik dan dengan lebih terperinci.


“Sebenarnya, kalau kita mahu lakukan perkara-perkara yang baik, kita perlulah ikut contoh yang ditunjukkan Nabi Muhammad saw,” jelas Ustaz Sallim dalam satu interviu bersama Berita Harian pada Rabu.


Perkara ini diterangkan sejelas-jelasnya oleh Allah swt menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia (agung).” (Surah Al-Qalam: 4).


Dalam satu lagi ayat, Allah swt berfirman: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzaab:21).


Mengambil pengajaran daripada kededua ayat ini, Ustaz Sallim berkata contoh-contoh yang baik daripada Baginda saw tidak akan dapat diteladani masyarakat kalau tidak diketengahkan oleh asatizah menerusi wadah-wadah tertentu.


“Antara wadahnya adalah dengan mengadakan majlis Maulud. Dengan cara inilah mereka dapat menceritakan kelebihan nabi kita, Muhammad saw, kisah hidup, perjuangan dan contoh-contoh yang ditunjukkan Baginda. Dan, tentunya itu pun belum cukup dan perlu diteruskan dengan mendalaminya menerusi wadah, kelas dan ceramah lain,” ujar beliau.


Dah kenal baru rasa
syok dan puas

Jadi apa yang ada dalam majlis-majlis Maulud?

“Daripada pengamatan saya, majlis Maulud yang diadakan di Singapura kebanyakannya berbentuk tazkirah, syarahan atau ceramah dakwah yang diselang-selikan dengan nasyid, jamuan dan sebagainya.

“Acara tazkirah ini, terutamanya, sangat berguna kepada masyarakat, lebih-lebih lagi bagi golongan muda, kerana mereka mesti diajar dan mengetahui kisah sejarah, contoh-contoh dan perjuangan Rasulullah saw.


“Walaupun mungkin ada yang bertanya ‘tak memadaikah kalau kita mengucapkan selawat sahaja’, kita perlu terangkan kepada mereka bahawa tidak akan sempurna ucapan selawat itu kalau kita tidak mengenali orangnya, iaitu Baginda Rasulullah saw.


“Kita mesti kenal siapa orang itu (Nabi saw) baru kita boleh berikan doa kerana selawat itu maknanya doa. Tak mungkin kita dapat berikan doa yang ikhlas kalau kita tidak kenal orangnya,” jelas Ustaz Sallim lagi.


Beliau menambah, dengan menghadiri majlis-majlis Maulud yang turut mengadakan syarahan atau forum agama yang membincangkan dan menerangkan mengenai akhlak nabi kita dan perjuangan Baginda, akan menambah lagi rasa cinta kasih kita pada Rasulullah saw.


“Kalau sudah kenal, baru rasa syok, rasa sedap dan puas apabila kita mengucapkan selawat pada Baginda. Mudah-mudahan dengan demikian akan menambah keberkahan dalam hidup kita. Itu sebabnya kalau kita tak kenal orangnya, tak sempurnalah,” ujar beliau.

Kepentingan majlis ilmu

Menyambung lagi hujah mengenai kelebihan menganjurkan Maulidur Rasul, Ustaz Sallim menekankan bahawa ia perlu diteruskan kerana di dalamnya terkandung satu bentuk tazkirah... majlis ilmu bagi menerangkan tentang agama Islam sebagai peringatan.

“Semua orang digalak menuntut ilmu. Meskipun banyak pengetahuan yang dapat diperolehi di Facebook atau media sosial, contohnya, tetapi ia tidak akan sama dengan belajar agama daripada sumber yang betul. Kita kalau nak belajar agama mesti dari sumber yang betul dan ikut cara yang betul, tidak boleh setakat sedut sini, sedut sana.

“Jadi di antara majlis tazkirah yang ada adalah majlis tazkirah yang dianjurkan setahun sekali oleh masjid-masjid di Singapura sempena sambutan Maulidur Rasul... alhamdulillah semua masjid di sini ada berbuat demikian,” kata Ustaz Sallim sambil melahirkan rasa syukur.

Kesimpulan

Menggulung hujahnya, beliau berpendapat bahawa majlis Maulud Nabi adalah perkara baik yang dapat mendekatkan masyarakat dan individu kepada Rasulullah saw – satu wadah berkesan yang membolehkan umat zaman sekarang mengenali diri, kisah peribadi dan perjuangan hidup Rasulullah saw menyampaikan Islam.


Beliau memetik firman Allah swt daripada Surah Al- Anbiya’, ayat 107, yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”


Mentafsirkan ayat ini, Ustaz Sallim menambah bahawa untuk membolehkan kita mendapatkan rahmat itu, kita mesti mengenali nabi kita dengan lebih dekat.

“Dengan lebih mengetahui sejarah, perjalanan hidup dan perjuangan Baginda saw dan sebagainya, barulah kita boleh bercakap mengenai Islam dengan lebih baik.


“Kalau kita tidak tahu sejarah Islam ini, bagaimana kita nak katakan bahawa Islam itu agama yang syumul iaitu menyeluruh dan sempurna?

“Jadi bagi saya, walaupun tidak ada dalil yang mengatakan Maulud Nabi itu diharuskan atau diwajibkan, dari segi hukum-hakamnya, kita dapati bahawa ia memang diharuskan kerana faedahnya sangat banyak dan besar.

“Ini lebih-lebih lagi untuk kehidupan bermasyarakat di Singapura ini supaya kita semua dapat hidup secara berdisiplin mengikut disiplin yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw,” ujar Ustaz Sallim mengakhiri bicara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >