Subuh
5:35
Syuruk
6:52
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:07

MENTUA bawa berkat BERGANDA

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Hidayah
32
0

MENTUA bawa berkat BERGANDA

Ustazah Siti Aminah terangkan kedudukan dan keistimewaan ibu bapa kandung dan mentua
Sep 16, 2022 | 05:30 AM

BERUNTUNGNYA anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa yang masih hidup yang dapat mendoakan kesejahteraan hidup kita di dunia dan menjadi salah satu jambatan bagi kejayaan hidup di akhirat.

Apa lagi bagi kita yang mempunyai lebih daripada sepasang ibu bapa baik ibu bapa mentua, tiri mahupun susuan - ia satu anugerah yang amat besar lagi bermakna daripada Allah swt.

Bukan sahaja ia satu nikmat terbesar, bahkan peluang berbakti, berbuat baik dan doa daripada mereka boleh menjadi salah satu asbab terbinanya jambatan bagi kita ke syurga.

Demikian jelas Ustazah Siti Aminah Sapian, eksekutif kanan Unit Al-Quran (MeQar) Masjid Mujahidin kepada Berita Harian ketika membayangkan salah satu tajuk yang bakal dibincangkan dalam Episod 2 Program Duhai Bonda: Ibu Mentuaku, yang bakal diadakan di masjid itu pada 24 September ini.

Ceramah perdana itu, yang merupakan sambungan kepada episod pertama yang diadakan tahun lalu, bakal dijayakan oleh asatizah setempat, termasuk Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, Ustaz Hidayat Ismail dan Ustaz Shahid Sazali.

Antara lain, episod kali ini akan membincangkan tanggungjawab wanita yang dipanggil sebagai ibu, umi, mama dan emak serta tanggungjawab kita kepada ibu mentua, sama ada yang baru, yang sedia ada atau bekas ibu mentua.

Memulakan hujahnya, Ustazah Siti Aminah, yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin (Tafsir) daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, berkata:

"Sesetengah daripada kita direzekikan dengan keberkahan doa daripada seorang ibu dari alam buaian hinggalah alam dewasa, yang berupa suatu nikmat yang tinggi atas sebab doa ibu yang bagai tidak ada hijab dengan Allah swt.

"Ada pula di antara kita yang dianugerahkan Allah swt dengan kehadiran ibu mentua yang penyayang.

"Anugerah ini pasti disyukuri oleh menantu yang telah kehilangan ibu kandung. Cantiknya aturan Allah swt. Dia yang mengambil, dan Dia yang menggantikan."

Sayangnya, sambung Ustazah Siti Aminah, stigma negatif terhadap ibu mentua masih melekat dalam pemikiran sesetengah anggota masyarakat.

Contoh yang dipaparkan dalam filem Ibu Mertuaku arahan P. Ramlee yang menggambarkan seorang ibu mentua yang bengis, kejam dan garang seakan terbawa-bawa hingga ke hari ini.

Lantaran, kata beliau, anak menantu sentiasa skeptis terhadap mentua mereka.

KEDUDUKAN IBU BAPA KANDUNG DENGAN IBU BAPA MENTUA DALAM ISLAM

Islam, tambah Ustazah Siti Aminah, memposisikan kedudukan ibu bapa mentua sama darjat dengan ibu bapa kandung.

Ini sesuai dengan firman Allah swt yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kededua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri." (Surah An-Nisaa': 36).

"Surah ini menerangkan kewajipan seseorang menghormati orang tua, menyayangi, mentaati perintah mereka (selagi tidak bercanggah dengan syariat), berkhidmat serta menjaga kehormatan mereka.

"Apapun perilaku yang seharusnya kita buat terhadap ibu atau orang tua, begitu juga halnya terhadap mentua. Ini kerana mereka bukan siapa-siapa, mereka adalah ibu bapa pasangan kita dan mereka juga mahram muabbad kita.

APA ITU MAHRAM 'MUABBAD'?

Mahram, yang berasal daripada perkataan Arab, bermaksud semua orang yang dilarang atau diharamkan untuk dinikahi kerana sebab keturunan, persusuan dan pernikahan dalam syariat Islam.

Muabbad pula bermaksud selamanya.

Justeru, ikatan antara mentua dengan menantu adalah selama-lamanya mahram.

"Istimewanya hubungan antara menantu dengan mentua ini adalah dengan terjadinya ikatan pernikahan antara sepasang suami isteri, hubungan antara menantu dengan mentua menjadi mahram muabbad, iaitu mereka diharamkan bernikah selama-lamanya.

"Andai bersentuhan, wuduk kedua-dua mereka tidak akan batal," terang Ustazah Siti Aminah.

"Dalam surah An-Nisaa', Allah swt berfirman: "Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nisaa' 23)."

LAYANAN KEPADA BEKAS MENTUA

Hubungan antara mentua dengan menantu kekal istimewa jika pasangan anak dan menantu telah bercerai. Bagaimanapun, tidak menjadi kewajipan bagi seorang bekas menantu memberi nafkah kepada bekas mentuanya kerana seseorang itu perlu mengutamakan tanggungjawabnya kepada yang lebih utama, ujar Ustazah Siti Aminah.

"Yang perlu dititikberatkan adalah bagaimana seorang bekas menantu atau mentua dapat terus menjalin silaturahim, lebih-lebih lagi jika pasangan yang sudah bercerai itu mempunyai anak, demi menjalin hubungan yang baik antara cucu dengan datuk nenek," kata beliau.

KESIMPULAN

Berbakti dan berihsan kepada ibu atau orang tua adalah kunci dikabulkan doa.

Menurut Ustazah Siti Aminah, ini seperti yang diceritakan dalam kisah Uwais Al-Qorni, yang terkenal tentang kebaktiannya kepada ibunya.

"Rasulullah saw menyebut bahawa sesiapa pun yang melihat Uwais, maka hendaknya meminta doa ampunan daripadanya. Sungguh tinggi darjat Uwais hinggakan Rasulullah saw sendiri berpesan kepada sahabat Baginda agar minta keberkahan daripada doanya.

"Begitulah darjat seseorang anak yang meletakkan orang tuanya di atas segala-segalanya.

"Peranan anak atau menantu perlulah sentiasa mengutamakan orang tua atau mentua dari segala aspek," tambah Ustazah Siti Aminah.

Dari sudut peranan sebagai menantu perempuan khususnya, beliau menasihatkan kaum Hawa yang sudah bergelar isteri supaya berusahalah untuk beralah dan mendahulukan mentua.

"Dalam hierarki kehidupan seorang suami, seorang suami perlu mendahulukan ibu bapanya.

"Suami yang baik akan bertanggungjawab terhadap ibu bapanya, ibu bapa mentua dan keluarganya sendiri.

"Sebagai isteri kita sepatutnya membantu suami menjadi anak dan suami yang soleh.

"Ini kerana satu hari nanti, pastinya kita juga menjadi mentua, dan sudah tentu ingin menjadi mentua yang terbaik di mata anak menantu kita," kata beliau.

Maklumat mengenai program di Masjid Mujahidin boleh didapatkan dengan melungsuri mujahidinmosque.mimbar.sg atau menerusi FB: @mujahidinmosque atau Instagram: @mujahidinmosque


KEISTIMEWAAN HUBUNGAN MENANTU DENGAN MENTUA

"Justeru, ikatan antara mentua dengan menantu adalah selama-lamanya mahram.
Istimewanya hubungan antara menantu dengan mentua ini adalah dengan terjadinya ikatan pernikahan antara sepasang suami isteri, hubungan antara menantu dengan mentua menjadi mahram muabbad, iaitu mereka diharamkan bernikah selama-lamanya.
Andai bersentuhan, wuduk kedua-dua mereka tidak akan batal."

- Ustazah Siti Aminah Sapian, eksekutif kanan Unit Al-Quran (MeQar) Masjid Mujahidin.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3