Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

SEKITAR RAMADAN

Muhasabah ke arah Ramadan lebih cerah

Apr 18, 2021 | 05:30 AM



KINI, hampir seminggu Ramadan telah berlalu. Sebahagian daripada kita mungkin belum menghidupkan semangat Ramadan dengan sebaiknya. Mungkin juga, ada yang telah merancang pada awalnya tetapi belum lagi kesampaian melaksanakannya.



Begitulah keadaanya seperti tahun-tahun lalu. Namun, kita belum terlewat untuk memastikan amalan Ramadan kita kali ini, bertambah lagi mutunya. Ini kerana kita mampu memerah keringat khususnya pada tiga suku malam, pada lebihan Ramadan yang masih ada ini.



Muhasabah diri boleh dijadikan sebagai langkah progresif yang pertama. Momentum yang belum cukup agresif, tidaklah wajar kita ikuti rentaknya dan menjadikan alasan untuk kita tidak melaksanakannya. Lakukanlah muhasabah atau penilaian diri sebagai langkah pertama agar kita menjadi lebih progresif pada bulan mulia ini.



Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil, dan dijadikan dorongan untuk kita terus beramal pada bulan yang suci ini.



RENUNGKAN KELEBIHAN RAMADAN DAN IMPAKNYA



Ini agar dapat menimbulkan kembali semangat sambil menyedari akan banyak kelebihan Ramadan yang belum kita raih. Antaranya, seperti yang disebut dalam hadis Nabi saw yang masyhur dengan maksud:



"Barangsiapa berpuasa (pada bulan) Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni." (HR Bukhari dan Muslim)



Jika direnungkan kelebihan ini, iaitu penghapusan dosa, ia merupakan salah satu keperluan yang terpenting demi kejayaan dan kebahagiaan hakiki setelah mati. Ini kerana jika timbangan dosa lebih berat daripada timbangan pahala, seseorang itu boleh dibalas dengan siksaan neraka, semoga Allah swt selamatkan kita daripada keadaan itu.



Kelebihan lain termasuk pahala ibadah yang digandakan, lebih-lebih lagi pada Malam Qadar atau juga dikenali juga sebagai lailatulqadar yang terletak di antara sepuluh malam terakhir bulan yang mulia ini. Dengan merenungi kebaikan ini serta impaknya yang positif dalam diri, semoga ia dapat menjadikan kita lebih bersemangat agar terus memperbaiki diri secara bertahap-tahap dan ke arah kecemerlangan seperti yang dianjurkan oleh agama.



INGAT AKAN KERUGIAN YANG BOLEH MENIMPA ORANG BERPUASA



Nabi saw bersabda yang bermaksud:



"Berapa banyak orang berpuasa (namun) tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga saja." (HR Ibnu Majah).



Hadis ini menjelaskan tentang hakikat yang boleh menimpa sesiapa saja agar kita bermuhasabah akan mutu amalan kita sepanjang Ramadan ini.



Pesanan Nabi saw ini juga secara tidak langsung mengingatkan kita agar beramal dengan baik dan mengelakkan perbuatan dosa yang boleh menghapuskan atau mengurangkan pahala, hatta di luar Ramadan. Ini dapat dikaitkan dengan sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, bahawa ada seorang lelaki menceritakan tentang seorang wanita kepada Baginda.



Wanita ini terkenal dengan sikap kuat beribadahnya, banyak mengerjakan kebaikan dan rajin bersolat, puasa serta bersedekah akan tetapi, sentiasa menyakiti jirannya dengan 'lidahnya' atau dengan kata-kata nistanya. Maka Nabi saw mengatakan bahawa wanita itu akan masuk ke neraka.



Dengan memahami implikasi ini, kita dapat bermuhasabah dan memikirkan apakah antara perbuatan dosa atau akhlak buruk kita yang mungkin menjejaskan amal saleh kita selama ini, dan mungkin juga boleh menghalang kita daripada masuk ke syurga?



UTAMAKAN YANG WAJIB



Melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram adalah tanggungjawab asas bagi setiap Muslim. Pada bulan Ramadan yang cukup barakah ini, mungkin ada yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat wajib lima waktu seperti yang dituntut oleh agama. Mungkin juga ada antara kita yang melakukan yang wajib tetapi juga tidak meninggalkan yang haram. Dan mungkin ada yang melakukan yang wajib yang merupakan hak Allah swt, tetapi tidak memenuhi hak makhluk-Nya seperti malas berusaha dan mencari nafkah untuk keluarga walaupun tidak pernah meninggalkan solat dan puasa, atau sebaliknya.



Maka, berusahalah agar dapat menunaikan tanggungjawab tersebut secara konsisten. Sekiranya tiada masalah melakukannya dengan kekal, kita boleh pula merancang untuk menaikkan taraf mutu ibadah wajib kita seperti menghayati makna Surah Al-Fatihah semasa solat. Dan jika tiada masalah menghayati makna surah, maka kita boleh juga berusaha untuk menghayati tafsir surah tersebut.



Mutu sesuatu ibadah, wajib ataupun sunah, tiada hadnya. Perhatikan kisah Sayidina Ali bin Abi Talib ra setelah beliau dipanah oleh musuh. Beliau meminta agar dicabut anak panah tersebut ketika beliau sedang bersolat. Dan beliau sama sekali tidak merasakan kesakitan apabila anak panah tersebut dicabut daripada tubuhnya kerana beliau sangat khusyuk ketika beribadah.



Kesimpulannya, pasti ada penambahbaikan yang boleh kita semua lakukan, sekurang atau sebanyak mana amalan Ramadan kita selama ini. Allah swt mengurniakan kekuatan akal, jasmani dan rohani yang boleh diperbaiki untuk mempertingkat lagi kemampuan diri bagi mencari keredaan-Nya dengan beristiqamah.



Maka ambillah peluang yang masih ada pada Ramadan ini, pentingkan pembaikan diri, sasarkan kebahagiaan hakiki, agar kita mampu meninggalkan dunia ini dengan tenang pada suatu hari nanti.




  • Penulis Ketua di Pejabat Imam di Masjid Al-Ansar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >